HARI-HARI TERAKHIR SEBUAH BARISAN!
Mungkin ada yang menganggap
rakyat Malaysia secara umum termasuk anda dan saya tidak siuman, ini kerana
pakatan pembangkang di negara ini berhasrat untuk menukar kepimpinan di negara
kita yang telah sedia aman dan damai. Itu sebenarnya hanyalah sebahagian realiti
yang harus kita telan.
Tidak mungkin orang seperti saya
yang telah mengharungi kehidupan yang begitu lancar dan teratur mahu mengubah
kepimpinan yang sedia ada. Ungkapan
seperti ‘why rock the boat’ sering
dilaungkan. Mengapa merubah sesuatu yang
cukup selesa?
Tidak dapat dinafikan
bahawa saya memang mendapat keuntungan dan faedah daripada teman-teman dalam
pemerintahan pada masa ini, sebut sahaja dengan tahap saya, hubungan dengan
teman-teman dalam BN sangat menguntungkan.
Malah saya mempunyai ramai rakan BN berbanding teman-teman dalam pakatan
pembangkang.
Ini bukan soal mahu merubah untuk
sekadar merubah, tetapi merubah kepada sesuatu yang lain dengan harapan akan
memberikan anjakan paradigm yang baru.
Apakah saya memperjudikan nasib generasi akan datang, anak dan cucu
saya. Memang tiada siapa dapat menduga
apakah pakatan pembangkang akan ‘lebih baik’ daripada BN pada masa ini.
Namun yang penting,
sekurang-kurangnya kita telah melihat bagaimana BN mengurustadbir negara ini
selama lebih setengah abad. Tentulah
pula ada yang berkata, memilih pemimpin bukan boleh dicuba-cuba. Orang Asia sering dikaitkan dengan budaya ‘neophobia’ , yakni takut kepada benda
yang baru.
Soalnya sampai bila kita mahu
‘bergelumang’ dengan kebobrokan yang jelas dan nyata. Berani mencuba, sekurang-kurangnya kita tahu
bahawa pakatan pembangkang yang kita pilih pada PRU ke-13 ini sama sahaja, 2
kali 5 atau cakap tak serupa bikin.
Ketika perkumpulan seperti Bersih
menuntut pelbagai penambahbaikan dan kajian semula oleh Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR), yang pertama kali pada tahun 2007, misalnya
pembersihan daftar pemilih, namun sehingga ke hari ini, pada tahun 2013 selepas
enam tahun, masih dilaungkan suara-suara dan kenyataan mengenai ‘daftar pengundi’ yang diragui berserta bukti
yang dinafikan mentah-mentah oleh SPR.
Malah SPR mendabik dada mengatakan Pilihanraya Umum di negara kita
adalah yang terbaik di dunia.
Pemerintah dan SPR seolah-olah
tidak begitu bersungguh-sungguh untuk membersihkan daftar pengundi. Tidak dapat
dinafikan memang ada usaha SPR ke arah ini, namun seperti yang diungkapkan
‘tiada kesungguhan’.
Apakah amalan demokrasi di
Malaysia, malah yang lebih spesifik adakah pengendalian pilihanraya umum di
negara kita benar-benar telus? Beranikah
Muhyiddin dan Najib atau Dr. Mahathir berani mengaku bahawa tidak terdapat keculasan
dalam pengendalian pemilihan pucuk pimpinan UMNO.
Beranikah Najib menafikan bahawa dia
sebenarnya ‘terselamat’ dengan memenangi hanya dengan majoriti 200 undi sahaja
dalam PRU 1999 dengan kapasiti seorang Menteri Kabinet kanan dengan portfolio
penting.
Tawaran pakatan pembangkang
mengenai penghapusan tol dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), penurunan
harga minyak, menghapuskan PTPTN hanyalah sebahagian daripada janji tetapi yang
lebih utama adalah usaha mengurangkan ketirisan, mengurustadbir negara dengan
cekap, agar semua yang dijanjikan dapat
dilaksanakan secara berperingkat.
Sebagai contoh, selama lebih lima
puluh tahun rakyat di Selangor tidak pernah termimpi untuk mendapat 20 meter
padu air percuma daripada Kerajaan Negeri di bawah BN namun ianya dilaksanakan
oleh kerajaan Pakatan Rakyat selepas mendapat mandat pada tahun 2008. Selepas itu, barulah kepimpinan Najib
melaksanakan pelbagai program ‘sayangi Selangor, yakini bn’ sebagai usaha untuk
merampas semula Selangor, adakah ini satu usaha yang benar-benar jujur, apabila
BN mengatakan bahawa Pakatan Pembangkang tidak akan melaksanakan janji mereka
sekadar mahu memenangi Pilihanraya Umum.
Lihatlah bagaimana BN menguasai
kesemua saluran akhbar, radio dan televisyen untuk memenangi PRU ke-13, cuba
hitungkan berapa pula yang telah dijanjikan dan dibelanjakan oleh BN dalam
usaha untuk memenangi PRU pada kali ini.
Dan kesemua ini akan ditutup dan dinafikan sebagai perbelanjaan oleh BN
dengan alasan ‘tajaan’ dan ‘dibiayai oleh rakan bn’.
Jika BN benar-benar mahu
mengamalkan seperti apa yang mereka laungkan ‘mendahulukan rakyat’ ‘telus’ dan
‘transformasi’, kaedah dan taktik kotor untuk menakut-nakutkan rakyat bahawa
pertukaran kepimpinan akan ‘membangkrapkan’ negara adalah satu penyataan yang
membodoh dan memperlekehkan minda rakyat negara ini.
Jika benar BN dikatakan cekap
memerintah dan mentadbir negara ini, tidak mungkin para cendikiawan dan ilmuwan
malah mantan pegawai tinggi pentadbiran mereka sanggup untuk beralih arah
menyokong pakatan pembangkang.
Adakah
sosok seperti mantan Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM),
mantan pegawai atasan tentera, mantan Pengetua sekolah, mantan Pengarah
Pelajaran, mantan pegawai tinggi polis dan ramai lagi daripada kalangan ahli
UMNO dan Barisan Nasional yang dipecat daripada parti mereka sebagai orang yang
tidak siuman kerana memilih untuk menentang BN.
Adakah kumpulan seperti Gerakan
Intelektual Rakyat (GATERA) yang dianggotai oleh lebih 100 orang ilmuwan yang
disegani rakyat seperti Sasterawan Negara, professor mahu memperjudikan masa
depan negara ini, mempertikaikan pula usaha-usaha yang dianggap lari daripada
adab dan susila masyarakat bertamadun.
Seperti
yang diungkapkan oleh GATERA: “Demi meraih kuasa dan mengekalkan kuasa, mereka
menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian, keganasan dan
penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan,
kesumbangan, kesamsengan, dengan tidak menghiraukan batasan agama dan budi
bahasa yang diamalkan oleh masyarakat bertamadun”
Tentulah ada sesuatu yang tidak
kena dengan amalan dan gaya serta corak pemerintahan BN yang masih lagi
mengamalkan budaya ‘hand out’ seperti
BR1M yang dikhabarkan lebih baik
daripada menurunkan harga minyak dan mengurangkan tol! Adakah membantu 10% rakyat negara ini lebih
baik daripada membantu majoriti rakyat kesemuanya yang akan mendapat nikmat
langsung dan secara tidak langsung.
Momokan bahawa Malaysia akan
kucar-kacir, huru-hara dan muflis serta akan ada campurtangan kuasa asing
hanyalah sebahagian usaha memperlekehkan minda rakyat Malaysia yang boleh
menilai sendiri apa yang sedang berlaku di sekeliling kita.
Menegur kawan-kawan kita yang
meniru di dalam peperiksaan dengan melaporkan kepada pengawas peperiksaan
adalah satu yang murni, ini kerana amalan daripada peniruan dalam peperiksaan
akan menjadi ‘darah daging’ yang akan mengheret dan menghantui kita selama
hayat kita. Mungkin rakan yang kita laporkan akan merasa marah dan berdendam
dengan kita, namun realitinya rakan kita akan merasa lebih bersyukur apabila
meningkat dewasa dan lebih matang.
Menegur BN bukan bermakna tidak
sayang, tetapi seperti yang diungkapkan oleh Brutus “Not that I loved Caeser less, but that I loved Rome more”. Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri
tinggal-tinggalkan. Cukuplah amanah yang
diberikan selama 55 tahun ini, cukuplah memenangi Pilihanraya Umum selama 12
kali. Cukuplah. Ini kalilah!
Ulasan