AKULAH, BUKAN KAU!
Apabila Perdana Menteri
1Malaysia, menandatangani MOU dengan Pertubuhan Hak Asasi Kaum India (HINDRAF)
serta bersetuju dengan ‘Blueprint – A New Dawn For
Malaysians Indians’, peranan Kongres India Malaysia (MIC) menjadi seakan tidak relevan. Parti induk bagi masyarakat India sejak 1946
itu mula merasakan kehangatan dan kegusaran apabila wakil Hindraf pula dilantik
sebagai Timbalan Menteri pasca PRU yang baru lalu.
Kini terdengar pula ura-ura bahawa Perdana Menteri akan menubuhkan Unit
Hal Ehwal Kaum India seperti yang termaktub di dalam pelan tindakan yang
dilancarkan tempohari. Yang lebih
menariknya, MIC mahukan unit yang dicadangkan itu diletakkan di bawah mereka,
yakni di bawah MIC dan bukannya Hindraf.
Apa yang gagal difahami oleh MIC adalah bahawa unit itu tidak
sepatutnya diletakkan di bawah MIC atau pun Hindraf kerana urusan dan
tanggungjawab meningkatkan sosio ekonomi kaum India di negara ini bukanlah
tanggungjawab mutlak MIC atau Hindraf tetapi
oleh Kerajaan.
Jika MIC yang mendakwa parti mereka merupakan parti induk untuk
masyarakat India, tentulah amat malang dengan usia parti 67 tahun itu
kelihatannya gagal membantu masyarakat India sehingga Perdana Menteri perlu
pula menerima tawaran daripada Hindraf.
MIC sepatutnya mengenepikan ego mereka dan bekerja bersama Perdana
Menteri untuk kelangsungan dan kemajuan kaum India di negara ini, atau pun
mengambil pendirian untuk tidak menerima sebarang jawatan Kerajaan jika
merasakan peranan mereka telah dikurangkan.
Wakil Hindraf yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri sebenarnya lebih layak mengetuai unit ini yang diletakkan secara khusus
di bawah ‘hidung’ Perdana Menteri bagi memastikan peranannya lebih berkesan.
Masyarakat India tentu ingat bagaimana MIC di bawah mantan Presidennya
yang masih mendakwa sebagai ‘winnable candidate’ menjelang Pilihanraya
Umum ke-13 yang lalu tetapi gagal untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Sungai
Siput, akhirnya untuk kali kedua MIC rebah di Sungai Siput, begitu berusaha
menghalang mana-mana parti berasaskan kaum India yang lain daripada menyertai
Barisan Nasional.
Tembok halangan itu yang menyaksikan parti-parti seperti IPF, Makhal
Sakhti dan Hindraf sendiri sebelum ini
tidak mampu menandingi MIC untuk berada dalam kelompok BN, kini dilihat telah
runtuh ketika MIC di bawah Presidennya sekarang – Datuk Seri G. Palanivel.
Apakah Perdana Menteri 1Malaysia yang bakal ditemui oleh Presiden MIC
itu akan bersedia mendengar luahan atau akan terus dengan agenda transformasi
untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum India.
Adakah MIC akan bertindak drastik jika Perdana Menteri 1Malaysia
berkeras meletakkan kepercayaan kepada Timbalan Menteri di bawah beliau untuk
mengetuai unit hal ehwal kaum India di Malaysia berbanding memberikan kepercayaan
unit itu dikendalikan oleh MIC.
Bayangkan bagaimana IPF dihalang oleh MIC ketika di bawah pimpinan
mantan presidennya sehingga parti yang diasaskan pada tahun 1991 itu hanya
diterima menjadi anggota bersekutu gabungan BN pada awal tahun 2011, selepas 20
tahun, itupun selepas pengasasnya, Tan Sri MG Pandhitan meninggal dunia!
Adakah siapa yang mengetuai unit tersebut lebih penting daripada agenda
transformasi Perdana Menteri untuk meningkatkan sosio ekonomi dan membela masyarakat India di negara ini.
Mungkin yang lebih baik ialah mengambil calon neutral dan dilantik
sebagai ketua agensi atau Ketua Pegawai
Eksekutif unit yang dicadangkan, dan calon yang boleh dipertimbangkan ialah ahli Parlimen P16 Baling yang baru
memenangi Pilihanraya Umum di kerusi panas PAS sebelum ini! Kepada MIC dan
Hindraf, selamat berebut unit anda!
Ulasan