BENDERA PUTIH BN DI SELANGOR, PULAU PINANG & KAUM CINA?
Sekurang-kurangnya itulah
tanggapan umum apabila barisan kabinet yang diumumkan pada hari Rabu
lepas. Ini kerana buat pertama kalinya,
tiada Menteri yang mewakili Selangor dan Pulau Pinang malah tiada wakil kaum
Cina setakat ini walaupun telah disediakan kerusi Menteri Pengangkutan sebagai
kuota untuk MCA.
Malah pada kali ini bilangan
Menteri daripada parti MCA juga telah berkurangan berikutan keengganan MCA
untuk menerima jawatan kerajaan ekoran kekalahan yang memalukan pada PRU pada
kali ini.
Prestasi MCA adalah yang paling
teruk apabila hanya memenangi 7 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN daripada 37
kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandingi. Ini adalah prestasi terburuk oleh parti
komponen yang mewakili kaum Cina dalam gabungan BN. Berdasarkan kemenangan 18 calonnya daripada
127 yang bertanding, sepatutnya Presiden parti tersebut haruslah mengundurkan
diri secara terhormat.
Lain pun di Selangor, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO di
Selangor dan juga Pengarah Pilihanraya tidak pula mengambil tanggungjawab atas
kagagalan merampas kembali Selangor pada PRU kali ini. Mungkin budaya akauntabiliti tidak sangat
diamalkan oleh UMNO kerana lebih mengamalkan ‘transformasi’!
Lazimnya jika kekalahan atau
kegagalan sesuatu misi ataupun tugasan yang harus memikul tanggungjawab adalah
ketua yang mengambil tanggungjawabnya, tapi di Selangor yang menjadi mangsa
adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO iaitu Datuk Noh Omar yang juga
mantan Menteri Pertanian & Agrotani.
Walaupun memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya, namun kegagalan
merebut kembali Selangor telah menutup pintu untuk dilantik sebagai Menteri dalam
kabinet Perdana Menteri.
Mungkin selepas ini, Datuk Noh
Omar akan dilantik menjadi Pengerusi mana-mana agensi Kerajaan seperti MARA
ataupun SPNB yang masing-masing dikosongkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh dan
Datuk Wira Idris Haron yang dilantik menjadi Menteri Pelajaran & Pengajian
Tinggi II dan Ketua Menteri Melaka baru-baru ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Pulau Pinang pula terlepas daripada ‘hukuman’ apabila BN juga
gagal merebut negeri tersebut daripada DAP.
Malah mantan Menteri Pertahanan ini dilantik menjadi Menteri Keselamatan
Dalam Negeri dalam lantikan kabinet pasca PRU baru-baru ini.
Apabila Utusan Malaysia
menyiarkan soalan cepu emas kepada masyarakat Cina di negara ini dengan
pertanyaan ‘Apa Lagi Cina Mahu’, rupanya ini bukanlah kali pertama pertanyaan
seperti ini kepada masyarakat Cina tetapi soalan yang sama juga pernah ditanya
pasca PRU ke-12 pada tahun 2008.
Segala macam bantuan dan layanan
‘kelas pertama’ oleh BN kepada kaum Cina yang kadang-kadang mengguris perasaan
orang Melayu seakan tidak meninggalkan sebarang bekas, akhirnya BN ditinggalkan
sebagai kain buruk.
Jika Perdana Menteri menjadikan
ukuran kejayaan Selangor sebagai asas untuk memilih calon untuk menjadi
Menteri, sepatutnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga seharusnya tidak
terpilih untuk menjadi Menteri.
Mungkin selepas ini Perdana
Menteri tidak lagi berminat untuk merebut kembali Selangor, Pulau Pinang dan
tidak lagi menghiraukan kaum Cina, jika benarlah ini pendirian kerajaan BN,
maka peranan BN akan menjadi lebih kecil pada PRU yang akan datang, apatah lagi
BN akan meraikan ulangtahun ke-40 pada tahun hadapan.
Ulasan