FAM, CUKUPLAH SIAPA YANG ANDA CUBA BODOHKAN?
Pedulilah jika saya sudah lama
tidak begitu akrab dengan liga bola sepak tempatan, walaupun entri di sini
pernah beberapa kali menulis tentang kemelut dan nasib sukan bola sepak negara,
namun tiada sangat perubahan dalam mutu apatah lagi kepimpinan yang tidak
banyak terkesan daripada pelbagai rungutan dan sungutan peminat sukan bola sepak
di negara kita.
Insiden di negeri Presiden FAM
sendiri amat memalukan, yang lebih memalukan adalah keputusan Jawatankuasa
Pertandingan Tempatan yang begitu ghairah untuk menjatuhkan hukuman kepada
kedua-dua pasukan, dan agihan tiket yang dianggap oleh banyak pihak sebagai
berat sebelah.
Apa tidaknya, Pahang yang gagal
menjadi tuan rumah yang baik, sekali lagi mendapat peluang menjadi tuan rumah
apabila perlawanan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada esok hari. Yang lebih menghairankan adalah tindakan FAM
yang berkiblat kepada statut mereka yang jelas menampakkan ketidak adilan
kepada pasukan lawannya.
Johor Darul Takzim yang menjadi
pasukan pelawat ketika bertandang ke Kuantan tempohari sekali lagi diberikan
peranan pelawat apabila mereka bertandang ke Bukit Jalil, sepatutnya dengan
budi bicara dan semangat lelaki budiman, Pahang sepatutnya menolak untuk
dianggap sebagai tuan rumah dalam perlawanan di Bukit Jalil.
Tidak cukup dengan itu, kerana
kesalahan yang tidak mereka lakukan Johor Darul Takzim terhukum sebagai pasukan
pelawat dan hanya diperuntukkan 20,000 tiket daripada 80,000 tiket yang
disediakan untuk para penonton di Stadium Bukit Jalil. Kanak-kanak yang masih bersekolah rendah
sekalipun tahu mempertikaikan ‘aspek
keadilan’ yang dipraktikan oleh FAM!
Walaupun Persatuan Bolasepak
Negeri Pahang didenda RM100,000 dan
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula didenda RM20,000 namun jumlah itu
bukanlah merupakan satu ‘kudis’ kerana PBNJ yang mendapat status pasukan tuan
rumah bakal meraih habuan yang lebih
dengan ‘kebebalan’ dan berkiblatkan statut FAM yang lapuk.
Presiden PBNJ, Tengku Ismail
Sultan Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin masing-masing telah mempertikaikan tindakan FAM yang
dianggap tidak adil dalam agihan tiket bagi perlawanan akhir di Bukit Jalil esok. Menurut Khairy, Pahang sepatutnya tidak
mendapat tiket lebih daripada 30,000 iaitu merujuk kepada kapasiti maksimum Stadium
Darulmakmur.
Walauapapun, nampaknya FAM agak
cekap dalam menjatuhkan hukuman kepada pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia,
apa tidaknya, sehari selepas insiden di Kuantan, kedua-dua pasukan didenda
RM100,000 dan RM20,000 oleh FAM. Adakah
FAM sekadar cekap mendenda berbanding dengan peningkatan mutu bola sepak di
Malaysia.
Kelihatannya insiden di Kuantan seolah-olah sebagai isyarat
bagaimana Presiden FAM dan Jawatankuasanya membuat keputusan apabila terkena
batang hidung mereka sendiri! Cukuplah
FAM, siapa yang cuba anda bodohkan?
Ulasan