MEROYAN PASCA PRU 13


Selepas keputusan Pilihanraya Umum ke-13 pada hari Ahad yang lalu, banyak pihak yang agak terkejut dengan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Malaysia secara umumnya. 

Pakatan Rakyat, sejak pada malam tersebut melahirkan kekecewaan akan keputusan PRU yang dikatakan penuh dengan penipuan dan ketidak adilan.  Sebagai sebuah entiti berdaftar, parti yang bertanding berhak untuk membuat bantahan dalam tempoh 21 hari sebelum keputusan PRU diwartakan.

Pakatan Rakyat telah pun merancang mengadakan perhimpunan besar di Stadium Kelana Jaya pada malam ini ketika tulisan ini dimuatnaik.  Khabarnya telah lebih 50,000 penyokong dan rakyat Malaysia yang mahu mendengar amanat pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mat Sabu, Lim Kit Siang dan ramai lagi. 

Walaupun saya tidak menyertai kerana baru sahaja kembali dari wisata di Negeri Sembilan, tetapi merasakan usaha penerangan seperti ini adalah perlu bagi memberikan pencerahan dan pendirian oleh Pakatan Rakyat tentang apa yang mereka rasakan ‘penipuan’ dalam PRU yang baru lalu.  Apa lagi wadah yang ada, selain daripada berhimpun dan mendengar sendiri kerana media seperti RTM dan BERNAMA adalah di bawah pimpinan BN.

Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional pula menemplak kaum Cina dan dikatakan rasis dalam tindak tanduk mereka.  Mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam pula yang bertanding di kerusi Parlimen P137 Bukit Katil tewas kepada PKR menuduh kaum Cina seperti tidak berterima kasih dengan segala yang dilakukannya sepanjang menjadi Ketua Menteri Melaka selama 13 tahun.

Seorang lagi calon yang terselamat daripada tsunami politik pada kali ini, Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang bertanding di kerusi Parlimen P72 Tapah juga dilaporkan berkongsi sentimen yang sama seperti Datuk Seri Ali Rustam mengenai pengundi Cina.

Saya tidak berhasrat menyalahkan pendirian dan pandangan sinis dua orang pemimpin BN seorang mewakili UMNO dan seorang lagi mewakili MIC yang merupakan rakan kongsi dalam gabungan BN.  Namun amatlah malang Malaysia mempunyai pemimpin seperti mereka berdua yang menyalahkan kaum Cina kerana prestasi mereka.  Pada saya, kedua pemimpin ini GAGAL menjadi pemimpin yang efektif untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Seperti yang diungkapkan oleh seorang ilmuwan dalam Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA), bukanlah tugas wakil rakyat atau Ahli Parlimen untuk memastikan jalan diturap, sampah dikutip tepat pada waktunya, atau memastikan tiada longkang yang tersumbat, itu bukan tugas hakiki wakil rakyat atau Ahli Parlimen.

Penolakan kaum Cina tidak bersandarkan kepada apa yang mereka diberikan, tetapi kepada apa yang mereka harapkan daripada sebuah Kerajaan yang bersifat adil, dilihat adil dan mendengar keluhan dan denyut nadi rakyatnya, bukan sekadar memberi sahaja.

Ketika kemelut dan tempelakan terhadap masyarakat Cina, akhbar Utusan Malaysia yang didokong oleh UMNO rakan kongsi terbesar dalam gabungan BN menyiarkan muka depan akhbar mereka dengan pertanyaan “apa lagi Cina mahukan” sekadar menambah kebencian terhadap BN dan UMNO serta secara tidak langsung terhadap Kerajaan.

MCA yang mewakili kaum Cina pula yang hanya memenangi separuh daripada kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU 2008 telah bertekad untuk tidak menerima jawatan dalam Kerajaan, malah ramai pemimpin mereka di peringkat akar umbi mengumumkan perletakan jawatan antaranya sebagai ahli majlis, ketua kampung, lembaga pelawat hospital malah bertindak menutup pusat khidmat mereka di beberapa kawasan.

Anehnya, Perdana Menteri 1Malaysia seolah-olah merestui tindakan akhbar Utusan Malaysia malah menyamakan tindakan ini seperti apa yang dilakukan oleh akhbar Cina pula, sesuatu yang menjadikan saya kehilangan kata-kata!

Rupanya, bukan sahaja wanita bersalin dikatakan meroyan selepas ‘bersalin’ tetapi juga para politikus pasca Pilihanraya Umum ke-13, Cina Bangkit, Melayu Ungkit!  Cukup-cukuplah minda rakyat diperlekeh oleh BN dan Utusan Malaysia.  Malaysia Boleh!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
kupasan yang menarik.,..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU