MEROYAN PASCA PRU 13
Selepas keputusan Pilihanraya
Umum ke-13 pada hari Ahad yang lalu, banyak pihak yang agak terkejut dengan
keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Malaysia secara umumnya.
Pakatan Rakyat, sejak pada malam
tersebut melahirkan kekecewaan akan keputusan PRU yang dikatakan penuh dengan
penipuan dan ketidak adilan. Sebagai
sebuah entiti berdaftar, parti yang bertanding berhak untuk membuat bantahan
dalam tempoh 21 hari sebelum keputusan PRU diwartakan.
Pakatan Rakyat telah pun
merancang mengadakan perhimpunan besar di Stadium Kelana Jaya pada malam ini
ketika tulisan ini dimuatnaik. Khabarnya
telah lebih 50,000 penyokong dan rakyat Malaysia yang mahu mendengar amanat
pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mat Sabu, Lim Kit
Siang dan ramai lagi.
Walaupun saya tidak menyertai
kerana baru sahaja kembali dari wisata di Negeri Sembilan, tetapi merasakan
usaha penerangan seperti ini adalah perlu bagi memberikan pencerahan dan
pendirian oleh Pakatan Rakyat tentang apa yang mereka rasakan ‘penipuan’ dalam
PRU yang baru lalu. Apa lagi wadah yang
ada, selain daripada berhimpun dan mendengar sendiri kerana media seperti RTM
dan BERNAMA adalah di bawah pimpinan BN.
Perdana Menteri dan Pengerusi
Barisan Nasional pula menemplak kaum Cina dan dikatakan rasis dalam tindak
tanduk mereka. Mantan Ketua Menteri
Melaka, Datuk Seri Ali Rustam pula yang bertanding di kerusi Parlimen P137
Bukit Katil tewas kepada PKR menuduh kaum Cina seperti tidak berterima kasih
dengan segala yang dilakukannya sepanjang menjadi Ketua Menteri Melaka selama
13 tahun.
Seorang lagi calon yang
terselamat daripada tsunami politik pada kali ini, Datuk M. Saravanan, Timbalan
Menteri Wilayah Persekutuan yang bertanding di kerusi Parlimen P72 Tapah juga
dilaporkan berkongsi sentimen yang sama seperti Datuk Seri Ali Rustam mengenai
pengundi Cina.
Saya tidak berhasrat menyalahkan
pendirian dan pandangan sinis dua orang pemimpin BN seorang mewakili UMNO dan
seorang lagi mewakili MIC yang merupakan rakan kongsi dalam gabungan BN. Namun amatlah malang Malaysia mempunyai
pemimpin seperti mereka berdua yang menyalahkan kaum Cina kerana prestasi
mereka. Pada saya, kedua pemimpin ini
GAGAL menjadi pemimpin yang efektif untuk negara berbilang kaum seperti
Malaysia.
Seperti yang diungkapkan oleh
seorang ilmuwan dalam Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA), bukanlah tugas wakil
rakyat atau Ahli Parlimen untuk memastikan jalan diturap, sampah dikutip tepat
pada waktunya, atau memastikan tiada longkang yang tersumbat, itu bukan tugas
hakiki wakil rakyat atau Ahli Parlimen.
Penolakan kaum Cina tidak
bersandarkan kepada apa yang mereka diberikan, tetapi kepada apa yang mereka
harapkan daripada sebuah Kerajaan yang bersifat adil, dilihat adil dan
mendengar keluhan dan denyut nadi rakyatnya, bukan sekadar memberi sahaja.
Ketika kemelut dan tempelakan
terhadap masyarakat Cina, akhbar Utusan Malaysia yang didokong oleh UMNO rakan
kongsi terbesar dalam gabungan BN menyiarkan muka depan akhbar mereka dengan
pertanyaan “apa lagi Cina mahukan” sekadar menambah kebencian terhadap BN dan
UMNO serta secara tidak langsung terhadap Kerajaan.
MCA yang mewakili kaum Cina pula
yang hanya memenangi separuh daripada kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU
2008 telah bertekad untuk tidak menerima jawatan dalam Kerajaan, malah ramai
pemimpin mereka di peringkat akar umbi mengumumkan perletakan jawatan antaranya
sebagai ahli majlis, ketua kampung, lembaga pelawat hospital malah bertindak
menutup pusat khidmat mereka di beberapa kawasan.
Anehnya, Perdana Menteri
1Malaysia seolah-olah merestui tindakan akhbar Utusan Malaysia malah menyamakan
tindakan ini seperti apa yang dilakukan oleh akhbar Cina pula, sesuatu yang
menjadikan saya kehilangan kata-kata!
Rupanya, bukan sahaja wanita
bersalin dikatakan meroyan selepas ‘bersalin’ tetapi juga para politikus pasca
Pilihanraya Umum ke-13, Cina Bangkit, Melayu Ungkit! Cukup-cukuplah minda rakyat diperlekeh oleh
BN dan Utusan Malaysia. Malaysia Boleh!
Ulasan