SELAMAT BERTUGAS YAB!
Ucapan saya tidak hanya merujuk
kepada Perdana Menteri tetapi juga deretan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang
merupakan muka baru dalam pentadbiran di peringkat negeri.
Kedah yang dimenangi semula oleh
Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2013 telah lebih awal mengumumkan calon
Menteri Besarnya sehari sebelum tarikh pengundian. Datuk Mukhriz yang dipilih selepas memenangi
kerusi Dewan Undangan Negeri N4 Ayer Hitam.
Beliau menjadi Menteri Besar Kedah yang ke-11.
Di Kelantan pula, Tuan Guru Nik
Aziz yang telah menerajui negeri selama 23 tahun, dan mengemudikan Kelantan
dalam 5 kali Pilihanraya Umum sejak 1990, mengejutkan semua apabila melepaskan
jawatan Menteri Besar kepada Timbalannya, Datuk Ahmad Yakcop. Menteri Besar Kelantan yang baru ini telah memenangi
kerusi Dewan Undangan Negeri N3 Pasir Pekan.
Ahli Dewan Undangan Negeri N11
Pauh, Azlan Man pula dipilih sebagai Menteri Besar Perlis yang baru
menggantikan Dr. Md. Isa Sabu.
Di Pulau Pinang pula, Lim Guan
Eng kembali menerajui negeri itu untuk penggal kedua selepas mencapai kejayaan
cemerlang dalam PRU 13. Pakatan Rakyat
memenangi 30 kerusi DUN di Pulau Pinang dengan DAP memenangi 19
daripadanya. Setiausaha Agong DAP itu
memenangi kerusi DUN N23 Air Putih dengan pertambahan majoriti 7,744 undi
berbanding majoriti 4,061 pada PRU tahun 2008.
Tiada perubahan di Perak apabila
teraju negeri diketuai oleh Dr. Zambry Abdul Kadir yang memenangi kerusi DUN N52. Beliau juga berjaya mengemudikan Perak dalam
PRU kali ini dengan mengurangkan bilangan kerusi yang dimenangi oleh
pembangkang kepada 28 kerusi, namun DAP telah menang di kesemua kerusi yang
mereka tandingi.
Sehingga kini selepas 4 hari
berakhirnya Pilihanraya Umum ke-13, Selangor masih belum mengumumkan siapakah
yang bakal menerajui negeri terkaya di Malaysia ini. Beberapa nama muncul termasuk Tan Sri Khalid
Ibrahim yang menerajui Selangor selepas Pakatan Rakyat memenangi Pilihanraya
Umum pada tahun 2008. Nama-nama lain
ialah Azmin Ali serta wakil PAS.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak telah menepati janji beliau untuk memberikan yanag lebih baik kepada
Datuk Idris Haron yang tidak terpilih dalam barisan kabinetnya ketika mengambil
alih teraju negara pada April 2009.
Ketika itu, Datuk Wira Idris
Haron hanya dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad
(SPNB). Kini selepas memenangi kerusi
DUN N11 Sungai Udang, beliau diberikan
tanggungjawab menerajui negeri Melaka menggantikan Datuk Seri Ali Rustam yang
menjadi Ketua Menteri sejak Disember 1999.
Datuk Seri Khaled Nordin pula
dipilih menjadi Menteri Besar Johor selepas memenangi kerusi DUN N43 Permas
Jaya dengan pertambahan majoriti sekali ganda iaitu 5,752 berbanding 2,018 yang
dimenangi oleh Datuk M.M. Samy pada tahun 2008.
Ini bukanlah kali pertama nama Datuk Seri Khaled Nordin disebut sebagai
Menteri Besar, malah sejak PRU ke-12, beliau disebut-sebut namun bertanding di
kerusi Parlimen pada saat akhir.
Terengganu yang mencatat
penurunan kerusi DUN yang dimenangi oleh BN kepada hanya 17 kerusi berbanding 24
pada PRU 2008, mengekalkan Menteri Besarnya buat penggal kedua.
Walauapapun semua Menteri Besar
dan Ketua Menteri yang baru dilantik mempunyai tanggungjawab yang besar untuk
memastikan prestasi dan pencapaian parti yang mereka wakili dapat
ditingkatkan. Bagi negeri Selangor dan
Pulau Pinang, rekod mereka adalah lebih cemerlang berbanding apa yang mereka
kecapi pada kali pertama di PRU ke-12.
Bagi Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu perlu bekerja lebih
keras bagi memastikan negeri Terengganu tidak terlepas kepada Pakatan Rakyat
dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.
Ini bukan masanya menuding jari
mencari salah. Ini adalah masa untuk
bekerja dan membangun negeri masing-masing.
Selamat bertugas Yang Amat Berhormat!
Ulasan