THE LIFE & DEATH OF DEMOCRACY
Ketika berkunjung ke kediaman
seorang ‘otai’ politik yang pernah menjadi Setiausaha Politik seorang mantan
menteri beberapa ketika dahulu, saya terserempak dengan sebuah buku dalam bilik
bacaannya. Kenalan saya memang seorang
yang rajin membaca dan membeli buku.
Entah mengapa buku “The Life and
Death of Democracy” tulisan John Keane mencuri tumpuan saya.
Mungkin iklim politik di negara
kita pada ketika ini mempengaruhi naluri ingin tahu saya khususnya mengenai demokrasi
yang sering dipersoalkan akhir-akhir ini.
“The Life and Death of Democracy”
seolah-olah ditulis untuk Malaysia yang sedang bergelut dengan slogan demokrasi
yang dipersoalkan oleh banyak pihak.
Himpunan bersih sehingga tiga versi sejak 2007 adalah salah satu
manifestasi yang mempersoalkan demokrasi di negara kita.
John Keane lewat The Life and Death of Democracy menolak
mitos bahawa demokrasi berasal daripada Greek, tetapi menurutnya ianya lebih
awal 2000 tahun yang lalu di Mesopotamia yang pada hari ini adalah Iraq, Turkey
dan Iran. Malah beliau menegaskan bahawa
amalan demokrasi telah disuburkan oleh orang Islam serta dianggap ‘sebagai satu anugerah Islam kepada
dunia moden’.
Kematian atau ketidak berkesanan
demokrasi tulin di banyak negara dunia mungkin menyebabkan penulis ini menulis
tentang sejarah demokrasi, yang kedua selepas penulis Amerika, Nahum Capen yang
menulis mengenai demokrasi dan diterbitkan pada tahun 1874.
Dalam tulisan Keane, beliau
meneliti negara-negara di dunia misalnya menggambarkan India sebagai negara
yang telah menyubur dan memberikan nafas baru dalam demokrasi selepas Eropah
hampir ‘menguburkannya’. Amalan
demokrasi di India juga telah menidakkan teori-teori demokrasi sebelum ini,
bagaimana warna kulit tidak lagi menjadi asasnya.
Demokrasi di India menurut Keane
juga, telah melalui pelbagai inovasi untuk kekal relevan misalnya kaedah semakan kuasa seperti mahkamah rakyat (lok adalat), skim rundingan air, sebagai
contoh. Keane menggelarkan demokrasi di
India sebagai demokrasi ‘pokok banyan’, yang mana pokok yang besar ini disokong
oleh jalinan akar dan ranting.
Sejak Perang Dunia Kedua demokrasi
telah berubah kepada ‘pemantauan’ yang
merupakan cabang demokrasi yang paling kompleks pernaah dilihat membabitkan
institusi yang memantau kuasa, kumpulan pendesak, pemerhati dan protes mengenai
isu. Ini menurut Keane, rakyat kini
diwakili bukan sahaja oleh mereka yang terpilih malah mereka yang tidak
terpilih dan badan-badan lain yang menawarkan khidmat kepada rakyat.
Membaca “The Life and Death of Democracy” kita tidak lari dari memikirkan
kebimbangan mengenai peranan demokrasi dalam sesebuah negara pada masa
ini. Demokrasi tidak lagi setulin dulu,
malah kini telah tercemar dalam pelbagai aspek pengendaliannya.
John Keane seorang Profesor
Politik di Universiti Sydney, pada tahun 1989 beliau mengasaskan Pusat Kajian
Demokrasi di London. Beliau telah
menghasilkan buku-buku mengenai demokrasi antaranya The Media and Democracy (1991), Democracy
and Civil Society (1988) dan juga menghasilkan biografi yang telah
memenangi anugerah Tom Paine: A Political
Life (1995).
The Life and Death of Democracy mengambil masa hampir sedekad untuk
penulisnya membuat penyelidikan dan penulisan yang sangat informatif mengenai sejarah dan kebangkitan serta harapan
demokrasi pada masa ini.
Sungguhpun buku ini hampir 1000
halaman, namun maklumat dan sejarah demokrasi telah dirincikan oleh penulisnya
sehingga kita merasakan berada pada zaman tersebut, satu kejayaan penulisnya
menggambarkan satu aspek pensejarahan dalam kaedah yang cukup menghiburkan,
dengan kajian dan penyelidikan yang sangat teliti.
Demokrasi walaupun mengalami
pelbagai perubahan, namun tidak di semua negara demokrasi menjadi spesis yang
terancam, pupus dan tidak dipedulikan.
Menurut Keane, demokrasi kini menjadi sangat diperhatikan dan sebutan
rakyat di pelbagai peringkat.
The Life and Death of Democracy oleh John Keane, satu bacaan yang
harus oleh semua yang mencintai demokrasi tulin.
Ulasan