THE LIFE & DEATH OF DEMOCRACY


Ketika berkunjung ke kediaman seorang ‘otai’ politik yang pernah menjadi Setiausaha Politik seorang mantan menteri beberapa ketika dahulu, saya terserempak dengan sebuah buku dalam bilik bacaannya.  Kenalan saya memang seorang yang rajin membaca dan membeli buku.  Entah mengapa buku “The Life and Death of Democracy” tulisan John Keane mencuri tumpuan saya.

Mungkin iklim politik di negara kita pada ketika ini mempengaruhi naluri ingin tahu saya khususnya mengenai demokrasi yang sering dipersoalkan akhir-akhir ini.  “The Life and Death of Democracy” seolah-olah ditulis untuk Malaysia yang sedang bergelut dengan slogan demokrasi yang dipersoalkan oleh banyak pihak.  Himpunan bersih sehingga tiga versi sejak 2007 adalah salah satu manifestasi yang mempersoalkan demokrasi di negara kita.

John Keane lewat The Life and Death of Democracy menolak mitos bahawa demokrasi berasal daripada Greek, tetapi menurutnya ianya lebih awal 2000 tahun yang lalu di Mesopotamia yang pada hari ini adalah Iraq, Turkey dan Iran.  Malah beliau menegaskan bahawa amalan demokrasi telah disuburkan oleh orang Islam serta  dianggap ‘sebagai satu anugerah Islam kepada dunia moden’.

Kematian atau ketidak berkesanan demokrasi tulin di banyak negara dunia mungkin menyebabkan penulis ini menulis tentang sejarah demokrasi, yang kedua selepas penulis Amerika, Nahum Capen yang menulis mengenai demokrasi dan diterbitkan pada tahun 1874.

Dalam tulisan Keane, beliau meneliti negara-negara di dunia misalnya menggambarkan India sebagai negara yang telah menyubur dan memberikan nafas baru dalam demokrasi selepas Eropah hampir ‘menguburkannya’.  Amalan demokrasi di India juga telah menidakkan teori-teori demokrasi sebelum ini, bagaimana warna kulit tidak lagi menjadi asasnya. 

Demokrasi di India menurut Keane juga, telah melalui pelbagai inovasi untuk kekal relevan misalnya  kaedah semakan kuasa seperti mahkamah rakyat (lok adalat), skim rundingan air, sebagai contoh.  Keane menggelarkan demokrasi di India sebagai demokrasi ‘pokok banyan’, yang mana pokok yang besar ini disokong oleh jalinan akar dan ranting.

Sejak Perang Dunia Kedua demokrasi telah berubah kepada ‘pemantauan’  yang merupakan cabang demokrasi yang paling kompleks pernaah dilihat membabitkan institusi yang memantau kuasa, kumpulan pendesak, pemerhati dan protes mengenai isu.  Ini menurut Keane, rakyat kini diwakili bukan sahaja oleh mereka yang terpilih malah mereka yang tidak terpilih dan badan-badan lain yang menawarkan khidmat kepada rakyat.

Membaca “The Life and Death of Democracy” kita tidak lari dari memikirkan kebimbangan mengenai peranan demokrasi dalam sesebuah negara pada masa ini.  Demokrasi tidak lagi setulin dulu, malah kini telah tercemar dalam pelbagai aspek pengendaliannya.

John Keane seorang Profesor Politik di Universiti Sydney, pada tahun 1989 beliau mengasaskan Pusat Kajian Demokrasi di London.  Beliau telah menghasilkan buku-buku mengenai demokrasi antaranya The Media and Democracy (1991), Democracy and Civil Society (1988) dan juga menghasilkan biografi yang telah memenangi anugerah Tom Paine: A Political Life (1995).

The Life and Death of Democracy mengambil masa hampir sedekad untuk penulisnya membuat penyelidikan dan penulisan yang sangat informatif mengenai  sejarah dan kebangkitan serta harapan demokrasi pada masa ini.

Sungguhpun buku ini hampir 1000 halaman, namun maklumat dan sejarah demokrasi telah dirincikan oleh penulisnya sehingga kita merasakan berada pada zaman tersebut, satu kejayaan penulisnya menggambarkan satu aspek pensejarahan dalam kaedah yang cukup menghiburkan, dengan kajian dan penyelidikan yang sangat teliti. 

Demokrasi walaupun mengalami pelbagai perubahan, namun tidak di semua negara demokrasi menjadi spesis yang terancam, pupus dan tidak dipedulikan.  Menurut Keane, demokrasi kini menjadi sangat diperhatikan dan sebutan rakyat di pelbagai peringkat.

The Life and Death of Democracy oleh John Keane, satu bacaan yang harus oleh semua yang mencintai demokrasi tulin.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
masihkah ada demokrasi di mlayasia?
Berita dari gunung berkata…
Pengakuan Ustaz yang meniti di tebing Aqidah >>> http://www.youtube.com/watch?v=tjqGwRqDPp8

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU