MEREKA TIDAK PERNAH BELAJAR?


Ketika pulang ke kampung baru-baru ini bagi membolehkan isteri saya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pengundi, saya agak terkejut dengan ‘pemotongan’ biaya pengundi luar yang disediakan oleh UMNO & BN di Parlimen Kubang Pasu. 

Isteri saya dimaklumkan bahawa peruntukan telah dipotong separuh seperti yang dimaklumkan oleh petugasnya.  Walaupun ditandakan akan menerima RM200.00, namun yang diserahkan oleh petugas tersebut hanyalah RM100.00 untuk menampung kos tol dan minyak untuk pulang mengundi.

Saya mahupun isteri saya tidak mempertikaikan jumlah yang diberikan walaupun dikhabarkan oleh seorang sahabat di sebuah negeri paling miskin seperti yang dilabel oleh Perdana Menteri 1Malaysia, saguhati yang diterima oleh pengundi luar adalah RM300.00!  Namun yang menjadi persoalan, adakah ini mencerminkan apa yang sebenarnya diterima dan diagihkan ataupun telah ‘ditol’ oleh pihak-pihak yang mengendalikan agihan ini.

Kini setelah pengumuman kabinet oleh Perdana Menteri timbul pula cerita bagaimana sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang terlibat untuk membina rumah di negara kita membelanjakan sejumlah wang untuk mengucapkan ‘tahniah’ kepada si Menteri yang terpilih semula sebagai Menteri Kewangan II.

Ironinya, Menteri tersebut dilantik untuk melaksanakan amanah rakyat dan syarikat berkaitan kerajaan tersebut juga diwujudkan untuk melaksanakan amanah rakyat seperti yang termaktub dalam objektif penubuhan mereka. 

Apa perlunya sebuah syarikat berkaitan kerajaan membelanjakan (baca dengan kuat: MEMBAZIRKAN) wang begitu banyak untuk mengucapkan tahniah kepada si Menteri yang entiti tersebut terletak dalam kuasa dan pengawasannya?

Jika diteliti dalam Media Guide 2012, kos untuk mengiklan kedua-duanya di akhbar Utusan Malaysia dan The Star adalah dalam lingkungan RM90,000.00.  Ini adalah satu bentuk penyelewengan oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan seperti agensi tersebut.  Mungkin selepas ini, agensi tersebut akan mendabik dada dan memaklumkan bahawa ‘kami tidak mengeluarkan sesen pun duit untuk mengiklannya’ kerana ditanggung oleh ‘rakan bn’!

Adakah mantan Presiden Transparency Malaysia (TI-M) yang baru dilantik menjadi Menteri berani menegur tindakan penyelewangan dan tidak berintegriti seperti ini, atau mungkin Institut Integriti Malaysia harus memberikan subjek khusus mengenai ‘akauntabiliti’ kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang  jelas sekali menggunakan dana awam untuk ‘membodek’ Menteri mereka.

Sama ada ‘kekurangan’ yang disengajakan untuk mengagihkan saguhati pengundi luar mahupun perbelanjaan bodek seperti iklan ucapan tahniah yang tidak perlu untuk seorang Menteri, nampaknya ‘penyelewengan’ dan ‘pembaziran’ oleh petugas Kerajaan BN akan terus dilakukan jika tiada sebarang bentuk tindakan oleh pihak-pihak berkenaan.

Sebagai sebuah negara  yang punya dan mendokong integriti, tindakan ini harus mendapat teguran dan amaran keras supaya wang rakyat tidak dibelanjakan sewenang-wenangnya untuk sekadar ‘membodek’ Menteri yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

Kerajaan Perdana Menteri 1Malaysia, seharusnya belajar daripada kesilapan lalu dan tidak terus mengulanginya, ini kerana rakyat semakin celik dan cerdik serta tiada ruang untuk memperlekeh kuasa dan minda rakyat!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
songlap la tu..
Tanpa Nama berkata…
lanun cam tula..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?