KABINET BEKERJA!
Semalam Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib mengumumkan barisan kabinetnya, selepas ‘kemenangan’ Barisan
Nasional dengan hanya 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandingi.
Menariknya, barisan kabinet pada kali ini adalah yang benar-benar perlu
melakukan kerja dan lonjakan paradigm yang agak ketara berbanding apabila BN
memenanginya secara lebih selesa seperti pada tahun 2004 yang lalu.
Barisan kabinet yang
menggandingkan wajah baru dan lama serta pengguguran beberapa menteri dalam
barisan kabinet sebelum Pilihanraya Umum tempohari. Barisan kabinet dianggotai
oleh 30 orang Menteri untuk 24 buah Kementerian dan dibantu oleh 26 Timbalan
Menteri serta 5 orang Senator baru yang dilantik.
Sabah dan Sarawak yang selama ini
menjadi ‘simpanan tetap’ BN selama ini terus mengungguli bilangan Menteri pada
kali ini apabila 13 daripada 30 orang Menteri adalah daripada kedua-dua buah
negeri ini.
Selepas menandatangani Memorandum
Persefahaman ‘Pelan Tindakan Lima Tahun Hindraf-BN Untuk Masyarakat India’ pada
18 April yang lalu, kini Pertubuhan Hak Asasi Kaum India (HINDRAF), Pengerusinya,
P. Waytha Moorthy dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam barisan kabinet yang
diumumkan Perdana Menteri semalam. Mungkin ini agaknya cara Perdana Menteri
menyokong kumpulan pendesak seperti Hindraf!
Anehnya, Kongres India Muslim
Malaysia (KIMMA) juga merayu wakil
mereka dipertimbangkan untuk menyertai kabinet pada kali ini. “Kami dengan rasa
rendah diri memohon jasa baik Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan
wakil kami sebagai Timbalan Menteri di mana-mana kementerian yang dirasakan
sesuai”. Khabarnya mereka membuat rayuan
ini kerana berpendapat telah banyak membantu BN dalam menarik undi India Muslim
sepanjang pilihanraya umum ke-13 yang lepas!
Beberapa pembaharuan sejajar
dengan ungkapan ‘transformasi’ Datuk Seri Najib, diperkenalkan, antaranya ialah
pengabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu
Kementerian sahaja. Kementerian
Pelancongan pula kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
manakala Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kini dikenali
sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan diketuai oleh Datuk Ahmad
Shabery Cheek.
Selain muka-muka baru, suntikan lain
dalam kabinet ini adalah apabila Presiden Transparency Malaysia (TI-M), Datuk
Paul Low Seng Kuan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang
berkemungkinan besar mengawasi usaha membanteras rasuah di Malaysia.
Bolehkah mantan Presiden TI-M ini
membantu Perdana Menteri melaksanakan usaha membanteras rasuah, rasanya yang
pertama patut dilakukan oleh Najib adalah menggesa SPRM menyiasat dakwaan
terhadap Ketua Menteri Sarawak, yang khabarnya memperlekehkan SPRM sebelum
ini. Adakah Datuk Paul Low yang
mengetuai TI-M sebelum ini berani melakukannya atau sekadar ucapan terima kasih
daripada Najib kerana momokan menandatangani ikrar integriti ketika menjelang
Pilihanraya Umum yang lalu, yang hanya ditandatangani oleh BN.
Parti MCA yang kalah teruk dalam
PRU pada kali ini dan bertegas tidak akan menerima sebarang jawatan kerajaan
ekoran kekalahan mereka, mendapat wakil dalam bentuk yang lain, iaitu melalui
lantikan Datuk Paul Low sebagai Menteri dan Datuk Mary Yap yang memenangi
kerusi Parlimen Tawau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran & Pengajian
Tinggi.
Walaupun kuota Kementerian
Pengangkutan yang diperuntukkan kepada MCA masih belum diisi dan kini dipangku
oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, manakala Kementerian
Kesihatan yang sebelum ini dimiliki oleh MCA kini dijawat oleh Menteri dari
MIC.
Dengan perlantikan Ketua Pemuda
UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan tentulah akan
memberikan nafas baru kepada sukan di negara kita, dan mungkin kita akan
berpeluang beraksi di Piala Dunia dalam sukan bolasepak, jika ada usaha
terancang untuk menjadi tuan rumah secara bersama dengan negara jiran yang
lain, manalah tahu! Rasanya tidak salah untuk memasang impian.
Ringkasnya, Menteri dan Timbalan
Menteri dalam kabinet pada kali ini tidak mempunyai masa ‘berbulan madu’, ini
kerana setiap tindak tanduk mereka akan sentiasa di bawah radar pemantauan
bukan sahaja oleh Perdana Menteri dan Timbalannya malah oleh rakyat dan juga
barisan pembangkang.
Maka jika ada sesiapa daripada
kalangan Menteri dan Timbalan Menteri yang berhasrat sekadar dilantik untuk
jawatannya, harap dapat memikirkan semula dan tidak menjadi ‘beban’ kepada
Perdana Menteri dan rakyat Malaysia khususnya! Selamat bekerja!
Ulasan