KABINET BEKERJA!


Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan barisan kabinetnya, selepas ‘kemenangan’ Barisan Nasional dengan hanya 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Menariknya, barisan kabinet  pada kali ini adalah yang benar-benar perlu melakukan kerja dan lonjakan paradigm yang agak ketara berbanding apabila BN memenanginya secara lebih selesa seperti pada tahun 2004 yang lalu.

Barisan kabinet yang menggandingkan wajah baru dan lama serta pengguguran beberapa menteri dalam barisan kabinet sebelum Pilihanraya Umum tempohari. Barisan kabinet dianggotai oleh 30 orang Menteri untuk 24 buah Kementerian dan dibantu oleh 26 Timbalan Menteri serta 5 orang Senator baru yang dilantik.
Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi ‘simpanan tetap’ BN selama ini terus mengungguli bilangan Menteri pada kali ini apabila 13 daripada 30 orang Menteri adalah daripada kedua-dua buah negeri ini.

Selepas menandatangani Memorandum Persefahaman ‘Pelan Tindakan Lima Tahun Hindraf-BN Untuk Masyarakat India’ pada 18 April yang lalu, kini Pertubuhan Hak Asasi Kaum India (HINDRAF), Pengerusinya, P. Waytha Moorthy dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam. Mungkin ini agaknya cara Perdana Menteri menyokong kumpulan pendesak seperti Hindraf!

Anehnya, Kongres India Muslim Malaysia  (KIMMA) juga merayu wakil mereka dipertimbangkan untuk menyertai kabinet pada kali ini. “Kami dengan rasa rendah diri memohon jasa baik Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan wakil kami sebagai Timbalan Menteri di mana-mana kementerian yang dirasakan sesuai”.  Khabarnya mereka membuat rayuan ini kerana berpendapat telah banyak membantu BN dalam menarik undi India Muslim sepanjang pilihanraya umum ke-13 yang lepas!

Beberapa pembaharuan sejajar dengan ungkapan ‘transformasi’ Datuk Seri Najib, diperkenalkan, antaranya ialah pengabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu Kementerian sahaja.  Kementerian Pelancongan pula kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan manakala Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan diketuai oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Selain muka-muka baru, suntikan lain dalam kabinet ini adalah apabila Presiden Transparency Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low Seng Kuan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berkemungkinan besar mengawasi usaha membanteras rasuah di Malaysia. 

Bolehkah mantan Presiden TI-M ini membantu Perdana Menteri melaksanakan usaha membanteras rasuah, rasanya yang pertama patut dilakukan oleh Najib adalah menggesa SPRM menyiasat dakwaan terhadap Ketua Menteri Sarawak, yang khabarnya memperlekehkan SPRM sebelum ini.  Adakah Datuk Paul Low yang mengetuai TI-M sebelum ini berani melakukannya atau sekadar ucapan terima kasih daripada Najib kerana momokan menandatangani ikrar integriti ketika menjelang Pilihanraya Umum yang lalu, yang hanya ditandatangani oleh BN.

Parti MCA yang kalah teruk dalam PRU pada kali ini dan bertegas tidak akan menerima sebarang jawatan kerajaan ekoran kekalahan mereka, mendapat wakil dalam bentuk yang lain, iaitu melalui lantikan Datuk Paul Low sebagai Menteri dan Datuk Mary Yap yang memenangi kerusi Parlimen Tawau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran & Pengajian Tinggi.

Walaupun kuota Kementerian Pengangkutan yang diperuntukkan kepada MCA masih belum diisi dan kini dipangku oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, manakala Kementerian Kesihatan yang sebelum ini dimiliki oleh MCA kini dijawat oleh Menteri dari MIC.

Dengan perlantikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan tentulah akan memberikan nafas baru kepada sukan di negara kita, dan mungkin kita akan berpeluang beraksi di Piala Dunia dalam sukan bolasepak, jika ada usaha terancang untuk menjadi tuan rumah secara bersama dengan negara jiran yang lain, manalah tahu! Rasanya tidak salah untuk memasang impian.

Ringkasnya, Menteri dan Timbalan Menteri dalam kabinet pada kali ini tidak mempunyai masa ‘berbulan madu’, ini kerana setiap tindak tanduk mereka akan sentiasa di bawah radar pemantauan bukan sahaja oleh Perdana Menteri dan Timbalannya malah oleh rakyat dan juga barisan pembangkang. 

Maka jika ada sesiapa daripada kalangan Menteri dan Timbalan Menteri yang berhasrat sekadar dilantik untuk jawatannya, harap dapat memikirkan semula dan tidak menjadi ‘beban’ kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia khususnya! Selamat bekerja!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
klau x kerja pun elok juga nnti pru 14 bungkus pula be end..
Tanpa Nama berkata…
apa perlunya hindraf dlm kabinet najib..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU