MENKEDAN PEMECAH TEMBOK RASIS!

Jika diteliti barisan kabinet Perdana Menteri 1Malaysia, hanya Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein  yang paling dipercayai oleh Najib.  Apa tidaknya, dua orang menteri ini bukan sahaja merupakan menteri kanan tetapi juga Naib Presiden UMNO dan  memegang portfolio penting yang menjadi nadi negara.

Biarpun ada seorang lagi Naib Presiden, Shafie Apdal, namun portfolionya  tidaklah sepenting Zahid Hamidi mahupun Hishamuddin Hussein yang bertukar portfolio masing-masing daripada yang pernah mereka pegang oleh mereka berdua. Hatta Timbalan Perdana Menteri juga sebenarnya tidak sebegitu penting kepada Najib berbanding Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein.

Sehari selepas dipilih sebagai Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan pedasnya kepada pihak yang mempertikaikan kaedah pelaksanaan pilihanraya di negara ini supaya berhijrah ke negara lain mengikut kepercayaan politik mereka.

Belum pun seminggu menduduki kerusi Menteri Dalam Negeri, telah berlaku penahanan aktivis pelajar ekoran kenyataannya dalam sebuah forum yang memperkatakan 13 Mei baru-baru ini.

Adam Adli yang pernah memalukan orang-orang UMNO kerana menurunkan bendera berwajah Perdana Menteri Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Disember 2011, akhirnya digantung pengajiannya di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Khabarnya Adam Adli ditahan di Balai Polis Jinjang, di pinggir ibu kota.  Sejak itu, nyalaan lilin di hadapan balai polis bukan sahaja oleh kaum mahasiswa tetapi juga oleh orang awam yang mewakili semua kaum, khabarnya ramainya adalah kaum bukan Melayu, yang merasakan bahawa penahanan aktivis pelajar itu di bawah Akta Hasutan tidak dapat diterima.

Tidak pernah dalam sejarah kaum bukan Melayu menyokong penahanan seorang bangsa Melayu kecuali ketika penahanan blogger Raja Petra pada tahun 2008, itu pun tidak seramai ketika penahanan Adam pada kali ini.
Jika ada sesiapa yang memperkatakan bahawa perpaduan kaum di Malaysia telah semakin lama menipis, mereka harus ke Jinjang dan melihat sendiri bagaimana kaum bukan Melayu berhimpun menyatakan sokongan kepada seorang anak Melayu!

Jika mantan Menteri Pertanian dan Agrotani dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor melabelkan bahawa sokongan kepada Adam Adli adalah ‘sokongan buatan’ atau dibayar kehadiran mereka, maka memang wajarlah dia mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan BN di Selangor, ini kerana sebagai Menteri dia gagal menterjemah apa yang dimahukan rakyat pada masa ini.

Kecenderungan pihak polis melakukan penangkapan aktivis rakyat yang berforum tempohari, di bawah Akta Hasutan yang kononnya untuk  menimbulkan suasana seperti Arab Spring adalah kejahilan yang amat teruk, jika benar pihak polis dengan segala kepakaran risikan tentulah lebih maklum situasi dan keperluan sebenar rakyat negara ini.

Walauapapun Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri telah berjaya memecahkan tembok rasis apabila kaum bukan Melayu berhimpun menyatakan sokongan kepada Adam Adli.  Ketika Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan dalam penahanan sama ada Adam Adli, Tian Chua, Haris Ibrahim mahupun Tamrin Ghafar, namun sebagai sebuah negara yang telah melalui pelbagai isu dan situasi tentulah sukar untuk Zahid Hamidi meyakinkan rakyat, seperti yang diketahui rakyat ‘lebih banyak makan garam’.


Mungkin selepas ini Jabatan Perpaduan & Integrasi Nasional boleh menimbangkan untuk memberikan anugerah perpaduan kepada Zahid Hamidi atas usahanya memecahkan tembok rasis di Jinjang!  

(Nota Kaki: MENKEDAN - Menteri Keselamatan Dalam Negeri @ Menteri Kementerian Dalam Negeri)

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
menkedan - menteri kmntrian dlam negeri, tapi hujungnya nampak macam x betul aja - edan tu (gila) dlm bahasa jawa!
Tanpa Nama berkata…
hi hi hi..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?