MENKEDAN PEMECAH TEMBOK RASIS!
Jika diteliti barisan kabinet
Perdana Menteri 1Malaysia, hanya Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein yang paling dipercayai oleh Najib. Apa tidaknya, dua orang menteri ini bukan
sahaja merupakan menteri kanan tetapi juga Naib Presiden UMNO dan memegang portfolio penting yang menjadi nadi
negara.
Biarpun ada seorang lagi Naib
Presiden, Shafie Apdal, namun portfolionya tidaklah sepenting Zahid Hamidi mahupun
Hishamuddin Hussein yang bertukar portfolio masing-masing daripada yang pernah
mereka pegang oleh mereka berdua. Hatta Timbalan Perdana Menteri juga
sebenarnya tidak sebegitu penting kepada Najib berbanding Zahid Hamidi dan
Hishamuddin Hussein.
Sehari selepas dipilih sebagai
Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan pedasnya kepada pihak
yang mempertikaikan kaedah pelaksanaan pilihanraya di negara ini supaya
berhijrah ke negara lain mengikut kepercayaan politik mereka.
Belum pun seminggu menduduki
kerusi Menteri Dalam Negeri, telah berlaku penahanan aktivis pelajar ekoran
kenyataannya dalam sebuah forum yang memperkatakan 13 Mei baru-baru ini.
Adam Adli yang pernah memalukan
orang-orang UMNO kerana menurunkan bendera berwajah Perdana Menteri Najib di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Disember 2011, akhirnya digantung
pengajiannya di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
Khabarnya Adam Adli ditahan di
Balai Polis Jinjang, di pinggir ibu kota.
Sejak itu, nyalaan lilin di hadapan balai polis bukan sahaja oleh kaum
mahasiswa tetapi juga oleh orang awam yang mewakili semua kaum, khabarnya
ramainya adalah kaum bukan Melayu, yang merasakan bahawa penahanan aktivis
pelajar itu di bawah Akta Hasutan tidak dapat diterima.
Tidak pernah dalam sejarah kaum
bukan Melayu menyokong penahanan seorang bangsa Melayu kecuali ketika penahanan
blogger Raja Petra pada tahun 2008,
itu pun tidak seramai ketika penahanan Adam pada kali ini.
Jika ada sesiapa yang
memperkatakan bahawa perpaduan kaum di Malaysia telah semakin lama menipis,
mereka harus ke Jinjang dan melihat sendiri bagaimana kaum bukan Melayu
berhimpun menyatakan sokongan kepada seorang anak Melayu!
Jika mantan Menteri Pertanian dan
Agrotani dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor melabelkan bahawa
sokongan kepada Adam Adli adalah ‘sokongan buatan’ atau dibayar kehadiran
mereka, maka memang wajarlah dia mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan BN
di Selangor, ini kerana sebagai Menteri dia gagal menterjemah apa yang
dimahukan rakyat pada masa ini.
Kecenderungan pihak polis
melakukan penangkapan aktivis rakyat yang berforum tempohari, di bawah Akta
Hasutan yang kononnya untuk menimbulkan
suasana seperti Arab Spring adalah
kejahilan yang amat teruk, jika benar pihak polis dengan segala kepakaran
risikan tentulah lebih maklum situasi dan keperluan sebenar rakyat negara ini.
Walauapapun Zahid Hamidi sebagai
Menteri Dalam Negeri telah berjaya memecahkan tembok rasis apabila kaum bukan
Melayu berhimpun menyatakan sokongan kepada Adam Adli. Ketika Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau
tidak campur tangan dalam penahanan sama ada Adam Adli, Tian Chua, Haris
Ibrahim mahupun Tamrin Ghafar, namun sebagai sebuah negara yang telah melalui
pelbagai isu dan situasi tentulah sukar untuk Zahid Hamidi meyakinkan rakyat,
seperti yang diketahui rakyat ‘lebih banyak makan garam’.
Mungkin selepas ini Jabatan
Perpaduan & Integrasi Nasional boleh menimbangkan untuk memberikan anugerah
perpaduan kepada Zahid Hamidi atas usahanya memecahkan tembok rasis di Jinjang!
(Nota Kaki: MENKEDAN - Menteri Keselamatan Dalam Negeri @ Menteri Kementerian Dalam Negeri)
(Nota Kaki: MENKEDAN - Menteri Keselamatan Dalam Negeri @ Menteri Kementerian Dalam Negeri)
Ulasan