BENDERA PUTIH BN DI SELANGOR, PULAU PINANG & KAUM CINA?


Sekurang-kurangnya itulah tanggapan umum apabila barisan kabinet yang diumumkan pada hari Rabu lepas.  Ini kerana buat pertama kalinya, tiada Menteri yang mewakili Selangor dan Pulau Pinang malah tiada wakil kaum Cina setakat ini walaupun telah disediakan kerusi Menteri Pengangkutan sebagai kuota untuk MCA.

Malah pada kali ini bilangan Menteri daripada parti MCA juga telah berkurangan berikutan keengganan MCA untuk menerima jawatan kerajaan ekoran kekalahan yang memalukan pada PRU pada kali ini.

Prestasi MCA adalah yang paling teruk apabila hanya memenangi 7 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN daripada 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandingi.  Ini adalah prestasi terburuk oleh parti komponen yang mewakili kaum Cina dalam gabungan BN.  Berdasarkan kemenangan 18 calonnya daripada 127 yang bertanding, sepatutnya Presiden parti tersebut haruslah mengundurkan diri secara terhormat.

Lain pun di Selangor, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO di Selangor dan juga Pengarah Pilihanraya tidak pula mengambil tanggungjawab atas kagagalan merampas kembali Selangor pada PRU kali ini.  Mungkin budaya akauntabiliti tidak sangat diamalkan oleh UMNO kerana lebih mengamalkan ‘transformasi’!

Lazimnya jika kekalahan atau kegagalan sesuatu misi ataupun tugasan yang harus memikul tanggungjawab adalah ketua yang mengambil tanggungjawabnya, tapi di Selangor yang menjadi mangsa adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO iaitu Datuk Noh Omar yang juga mantan Menteri Pertanian & Agrotani.  Walaupun memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya, namun kegagalan merebut kembali Selangor telah menutup pintu untuk dilantik sebagai Menteri dalam kabinet Perdana Menteri. 

Mungkin selepas ini, Datuk Noh Omar akan dilantik menjadi Pengerusi mana-mana agensi Kerajaan seperti MARA ataupun SPNB yang masing-masing dikosongkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Wira Idris Haron yang dilantik menjadi Menteri Pelajaran & Pengajian Tinggi II dan Ketua Menteri Melaka baru-baru ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pula terlepas daripada ‘hukuman’ apabila BN juga gagal merebut negeri tersebut daripada DAP.  Malah mantan Menteri Pertahanan ini dilantik menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri dalam lantikan kabinet pasca PRU baru-baru ini.

Apabila Utusan Malaysia menyiarkan soalan cepu emas kepada masyarakat Cina di negara ini dengan pertanyaan ‘Apa Lagi Cina Mahu’, rupanya ini bukanlah kali pertama pertanyaan seperti ini kepada masyarakat Cina tetapi soalan yang sama juga pernah ditanya pasca PRU ke-12 pada tahun 2008.

Segala macam bantuan dan layanan ‘kelas pertama’ oleh BN kepada kaum Cina yang kadang-kadang mengguris perasaan orang Melayu seakan tidak meninggalkan sebarang bekas, akhirnya BN ditinggalkan sebagai kain buruk.

Jika Perdana Menteri menjadikan ukuran kejayaan Selangor sebagai asas untuk memilih calon untuk menjadi Menteri, sepatutnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga seharusnya tidak terpilih untuk menjadi Menteri. 

Mungkin selepas ini Perdana Menteri tidak lagi berminat untuk merebut kembali Selangor, Pulau Pinang dan tidak lagi menghiraukan kaum Cina, jika benarlah ini pendirian kerajaan BN, maka peranan BN akan menjadi lebih kecil pada PRU yang akan datang, apatah lagi BN akan meraikan ulangtahun ke-40 pada tahun hadapan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bagusla tu akhir ahjib gor sedar diri..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU