AKULAH, BUKAN KAU!

Apabila Perdana Menteri 1Malaysia, menandatangani MOU dengan Pertubuhan Hak Asasi Kaum India (HINDRAF) serta bersetuju dengan ‘Blueprint – A New Dawn For Malaysians Indians’, peranan Kongres India Malaysia (MIC) menjadi seakan tidak relevan.  Parti induk bagi masyarakat India sejak 1946 itu mula merasakan kehangatan dan kegusaran apabila wakil Hindraf pula dilantik sebagai Timbalan Menteri pasca PRU yang baru lalu.

Kini terdengar pula ura-ura bahawa Perdana Menteri akan menubuhkan Unit Hal Ehwal Kaum India seperti yang termaktub di dalam pelan tindakan yang dilancarkan tempohari.  Yang lebih menariknya, MIC mahukan unit yang dicadangkan itu diletakkan di bawah mereka, yakni di bawah MIC dan bukannya Hindraf.

Apa yang gagal difahami oleh MIC adalah bahawa unit itu tidak sepatutnya diletakkan di bawah MIC atau pun Hindraf kerana urusan dan tanggungjawab meningkatkan sosio ekonomi kaum India di negara ini bukanlah tanggungjawab mutlak MIC atau Hindraf  tetapi oleh Kerajaan. 

Jika MIC yang mendakwa parti mereka merupakan parti induk untuk masyarakat India, tentulah amat malang dengan usia parti 67 tahun itu kelihatannya gagal membantu masyarakat India sehingga Perdana Menteri perlu pula menerima tawaran daripada Hindraf.

MIC sepatutnya mengenepikan ego mereka dan bekerja bersama Perdana Menteri untuk kelangsungan dan kemajuan kaum India di negara ini, atau pun mengambil pendirian untuk tidak menerima sebarang jawatan Kerajaan jika merasakan peranan mereka telah dikurangkan.

Wakil Hindraf yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebenarnya lebih layak mengetuai unit ini yang diletakkan secara khusus di bawah ‘hidung’ Perdana Menteri bagi memastikan peranannya lebih berkesan.

Masyarakat India tentu ingat bagaimana MIC di bawah mantan Presidennya yang masih mendakwa sebagai ‘winnable candidate’ menjelang Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu tetapi gagal untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Sungai Siput, akhirnya untuk kali kedua MIC rebah di Sungai Siput, begitu berusaha menghalang mana-mana parti berasaskan kaum India yang lain daripada menyertai Barisan Nasional.

Tembok halangan itu yang menyaksikan parti-parti seperti IPF, Makhal Sakhti  dan Hindraf sendiri sebelum ini tidak mampu menandingi MIC untuk berada dalam kelompok BN, kini dilihat telah runtuh ketika MIC di bawah Presidennya sekarang – Datuk Seri G. Palanivel.

Apakah Perdana Menteri 1Malaysia yang bakal ditemui oleh Presiden MIC itu akan bersedia mendengar luahan atau akan terus dengan agenda transformasi untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum India.

Adakah MIC akan bertindak drastik jika Perdana Menteri 1Malaysia berkeras meletakkan kepercayaan kepada Timbalan Menteri di bawah beliau untuk mengetuai unit hal ehwal kaum India di Malaysia berbanding memberikan kepercayaan unit itu dikendalikan oleh MIC.

Bayangkan bagaimana IPF dihalang oleh MIC ketika di bawah pimpinan mantan presidennya sehingga parti yang diasaskan pada tahun 1991 itu hanya diterima menjadi anggota bersekutu gabungan BN pada awal tahun 2011, selepas 20 tahun, itupun selepas pengasasnya, Tan Sri MG Pandhitan meninggal dunia!

Adakah siapa yang mengetuai unit tersebut lebih penting daripada agenda transformasi Perdana Menteri untuk meningkatkan sosio ekonomi  dan membela masyarakat India di negara ini.  


Mungkin yang lebih baik ialah mengambil calon neutral dan dilantik sebagai ketua agensi atau  Ketua Pegawai Eksekutif unit yang dicadangkan, dan calon yang boleh dipertimbangkan   ialah ahli Parlimen P16 Baling yang baru memenangi Pilihanraya Umum di kerusi panas PAS sebelum ini! Kepada MIC dan Hindraf, selamat berebut unit anda!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
hi hi hi...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU