HARI-HARI TERAKHIR SEBUAH BARISAN!


Mungkin ada yang menganggap rakyat Malaysia secara umum termasuk anda dan saya tidak siuman, ini kerana pakatan pembangkang di negara ini berhasrat untuk menukar kepimpinan di negara kita yang telah sedia aman dan damai.  Itu sebenarnya hanyalah sebahagian realiti yang harus kita telan.

Tidak mungkin orang seperti saya yang telah mengharungi kehidupan yang begitu lancar dan teratur mahu mengubah kepimpinan yang sedia ada.  Ungkapan seperti ‘why rock the boat’ sering dilaungkan.  Mengapa merubah sesuatu yang cukup selesa?  

Tidak dapat dinafikan bahawa saya memang mendapat keuntungan dan faedah daripada teman-teman dalam pemerintahan pada masa ini, sebut sahaja dengan tahap saya, hubungan dengan teman-teman dalam BN sangat menguntungkan.  Malah saya mempunyai ramai rakan BN berbanding teman-teman dalam pakatan pembangkang.

Ini bukan soal mahu merubah untuk sekadar merubah, tetapi merubah kepada sesuatu yang lain dengan harapan akan memberikan anjakan paradigm yang baru.  Apakah saya memperjudikan nasib generasi akan datang, anak dan cucu saya.  Memang tiada siapa dapat menduga apakah pakatan pembangkang akan ‘lebih baik’ daripada BN pada masa ini.

Namun yang penting, sekurang-kurangnya kita telah melihat bagaimana BN mengurustadbir negara ini selama lebih setengah abad.  Tentulah pula ada yang berkata, memilih pemimpin bukan boleh dicuba-cuba.  Orang Asia sering dikaitkan dengan budaya ‘neophobia’ , yakni takut kepada benda yang baru.  

Soalnya sampai bila kita mahu ‘bergelumang’ dengan kebobrokan yang jelas dan nyata.  Berani mencuba, sekurang-kurangnya kita tahu bahawa pakatan pembangkang yang kita pilih pada PRU ke-13 ini sama sahaja, 2 kali 5 atau cakap tak serupa bikin.

Ketika perkumpulan seperti Bersih menuntut pelbagai penambahbaikan dan kajian semula oleh Suruhanjaya Pilihanraya  (SPR),  yang pertama kali pada tahun 2007, misalnya pembersihan daftar pemilih, namun sehingga ke hari ini, pada tahun 2013 selepas enam tahun, masih dilaungkan suara-suara dan kenyataan mengenai  ‘daftar pengundi’ yang diragui berserta bukti yang dinafikan mentah-mentah oleh SPR.  Malah SPR mendabik dada mengatakan Pilihanraya Umum di negara kita adalah yang terbaik di dunia.

Pemerintah dan SPR seolah-olah tidak begitu bersungguh-sungguh untuk membersihkan daftar pengundi. Tidak dapat dinafikan memang ada usaha SPR ke arah ini, namun seperti yang diungkapkan ‘tiada kesungguhan’.

Apakah amalan demokrasi di Malaysia, malah yang lebih spesifik adakah pengendalian pilihanraya umum di negara kita benar-benar telus?  Beranikah Muhyiddin dan Najib atau Dr. Mahathir  berani mengaku bahawa tidak terdapat keculasan dalam pengendalian pemilihan pucuk pimpinan UMNO.  

Beranikah Najib menafikan bahawa dia sebenarnya ‘terselamat’ dengan memenangi hanya dengan majoriti 200 undi sahaja dalam PRU 1999 dengan kapasiti seorang Menteri Kabinet kanan dengan portfolio penting.

Tawaran pakatan pembangkang mengenai penghapusan tol dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), penurunan harga minyak, menghapuskan PTPTN hanyalah sebahagian daripada janji tetapi yang lebih utama adalah usaha mengurangkan ketirisan, mengurustadbir negara dengan cekap,  agar semua yang dijanjikan dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Sebagai contoh, selama lebih lima puluh tahun rakyat di Selangor tidak pernah termimpi untuk mendapat 20 meter padu air percuma daripada Kerajaan Negeri di bawah BN namun ianya dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat selepas mendapat mandat pada tahun 2008.  Selepas itu, barulah kepimpinan Najib melaksanakan pelbagai program ‘sayangi Selangor, yakini bn’ sebagai usaha untuk merampas semula Selangor, adakah ini satu usaha yang benar-benar jujur, apabila BN mengatakan bahawa Pakatan Pembangkang tidak akan melaksanakan janji mereka sekadar mahu memenangi Pilihanraya Umum.

Lihatlah bagaimana BN menguasai kesemua saluran akhbar, radio dan televisyen untuk memenangi PRU ke-13, cuba hitungkan berapa pula yang telah dijanjikan dan dibelanjakan oleh BN dalam usaha untuk memenangi PRU pada kali ini.  Dan kesemua ini akan ditutup dan dinafikan sebagai perbelanjaan oleh BN dengan alasan ‘tajaan’ dan ‘dibiayai oleh rakan bn’.

Jika BN benar-benar mahu mengamalkan seperti apa yang mereka laungkan ‘mendahulukan rakyat’ ‘telus’ dan ‘transformasi’, kaedah dan taktik kotor untuk menakut-nakutkan rakyat bahawa pertukaran kepimpinan akan ‘membangkrapkan’ negara adalah satu penyataan yang membodoh dan memperlekehkan minda rakyat negara ini.

Jika benar BN dikatakan cekap memerintah dan mentadbir negara ini, tidak mungkin para cendikiawan dan ilmuwan malah mantan pegawai tinggi pentadbiran mereka sanggup untuk beralih arah menyokong pakatan pembangkang.  

Adakah sosok seperti mantan Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), mantan pegawai atasan tentera, mantan Pengetua sekolah, mantan Pengarah Pelajaran, mantan pegawai tinggi polis dan ramai lagi daripada kalangan ahli UMNO dan Barisan Nasional yang dipecat daripada parti mereka sebagai orang yang tidak siuman kerana memilih untuk menentang BN.

Adakah kumpulan seperti Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA) yang dianggotai oleh lebih 100 orang ilmuwan yang disegani rakyat seperti Sasterawan Negara, professor mahu memperjudikan masa depan negara ini, mempertikaikan pula usaha-usaha yang dianggap lari daripada adab dan susila masyarakat bertamadun.

Seperti yang diungkapkan oleh GATERA: Demi meraih kuasa dan mengekalkan kuasa, mereka menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian, keganasan dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan, kesumbangan, kesamsengan, dengan tidak menghiraukan batasan agama dan budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat bertamadun”

Tentulah ada sesuatu yang tidak kena dengan amalan dan gaya serta corak pemerintahan BN yang masih lagi mengamalkan budaya ‘hand out’ seperti BR1M  yang dikhabarkan lebih baik daripada menurunkan harga minyak dan mengurangkan tol!  Adakah membantu 10% rakyat negara ini lebih baik daripada membantu majoriti rakyat kesemuanya yang akan mendapat nikmat langsung dan secara tidak langsung.

Momokan bahawa Malaysia akan kucar-kacir, huru-hara dan muflis serta akan ada campurtangan kuasa asing hanyalah sebahagian usaha memperlekehkan minda rakyat Malaysia yang boleh menilai sendiri apa yang sedang berlaku di sekeliling kita.

Menegur kawan-kawan kita yang meniru di dalam peperiksaan dengan melaporkan kepada pengawas peperiksaan adalah satu yang murni, ini kerana amalan daripada peniruan dalam peperiksaan akan menjadi ‘darah daging’ yang akan mengheret dan menghantui kita selama hayat kita. Mungkin rakan yang kita laporkan akan merasa marah dan berdendam dengan kita, namun realitinya rakan kita akan merasa lebih bersyukur apabila meningkat dewasa dan lebih matang. 

Menegur BN bukan bermakna tidak sayang, tetapi seperti yang diungkapkan oleh Brutus “Not that I loved Caeser less, but that I loved Rome more”.  Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan.  Cukuplah amanah yang diberikan selama 55 tahun ini, cukuplah memenangi Pilihanraya Umum selama 12 kali.  Cukuplah.  Ini kalilah!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bisa bisa...
Tanpa Nama berkata…
Tuan kakisakat undi di kawasan mana ya?

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU