BAPAK KAU, BAPAK AKU!
Isunya ialah apabila Menteri
Keselamatan Dalam Negeri yang belum lagi panas kerusi kabinetnya, Datuk Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta mereka
yang tidak puas hati dengan sistem pilihanraya di negara ini untuk berhijrah ke
negara lain.
“Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single
transferable vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik,
sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan
kepercayaan politik mereka.”
Tentulah gesaan yang seperti ini
dianggap tidak matang, bongkak dan angkuh oleh seorang menteri kanan seperti
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Walaupun kemudiannya dinyatakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
bahawa gesaan tersebut adalah peribadi sifatnya, dan tidak mencerminkan
pendirian kerajaan keseluruhannya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, dalam perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri
Sembilan di Seremban pada 18 Mei yang lalu, berang dengan kenyataan Zahid telah
bertanyakan soalan ini.
Zahid pada sesi sidang akhbar semalam
telah dengan lantang menjawab:
“Negeri ini pun bukan negeri bapa
dia punya. Memang bukan milik bapa saya,
Ini pun bukan negeri bapa dia”
Seronok juga melihat telatah
bagaimana menteri dan mantan menteri di Malaysia melatah dan bersikap
kebudak-budakan. Saya teringat filem P.
Ramlee mengenai isu ‘bapak kau, bapak aku’.
Mungkin ini masanya melihat semula kematangan politik cara Malaysia.
Isu yang cuba dibangkitkan oleh
pembangkang amat mudah difahami namun mungkin cara yang digunapakai adalah
terlalu ‘baru’ kepada kerajaan BN yang telah lebih setengah abad dibantu oleh
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang kelihatannya seperti komponen ke-14 BN.
Isu bagaimana para pengundi
diperdaya untuk mempercayai bahawa ‘dakwat kekal’ yang kononnya akan tahan
sehingga 5 ke 7 hari sebenarnya tidak kekal, bukankah itu penipuan yang paling
jelas, malah telah ada laporan polis yang dibuat oleh anggota tentera yang mana
Datuk Seri Zahid pernah menjadi Menterinya!
Tentulah menjadi kemarahan Datuk
Seri Zahid kerana mempersoalkan malah memperlekehkan sistem yang digunapakai
oleh SPR, kerana pada pendapat BN, ini adalah sistem terbaik dan SPR adalah
yang paling telus dan terbaik di dunia untuk mengendalikan pilihanraya di
negara ini.
Sistem yang digunapakai di negara
ini memang yang terbaik, namun pengendaliannya oleh SPR sebagai badan yang
diamanahkan untuk melaksanakan dan mengendalikan Pilihanraya Umum di negara ini
sangat mengecewakan, seperti yang dilaporkan oleh banyak pihak kecuali media
arus perdana di bawah naungan BN.
Adakah Datuk Seri Zahid tidak
tahu atau pura-pura tidak tahu bahawa rakyat sebenarnya sedar perjalanan
pilihanraya jika benar berlangsung dengan adil, bersih dan telus, mustahil
ratusan ribu rakyat akan berani dan sanggup turun ke perhimpunan Suara Rakyat
Suara Kerama, Black 505 dengan berhujan, tanpa diupah dan dalam notis yang
begitu singkat.
Apapun yang terbaik ialah
mendakap kuasa dan amanah yang diberikan dengan lebih berhemah, tanpa sikap
atau pendekatan politik yang memualkan.
Rasanya jika seorang Menteri yang benar-benar boleh menyelami hati
nurani rakyat, tentulah ungkapan-ungkapan yang tidak begitu lunak dikeluarkan
dan mengguriskan bukan sahaja pembangkang tetapi rakyat yang telah memberi mandat
kepada mereka. Ini kepala bapak kau
punya, Ini kepala bapak aku punya! Ooops, bapak-bapak tak mainlah!
Ulasan