MASIHKAH BOLEH SPR DIPERCAYAI?
Selama 12 kali Pilihanraya Umum
di negara ini, badan yang paling berkuasa adalah Suruhanjaya Pilihanraya
(SPR). SPR dibentuk pada 4 September
1957, yang mana dalam Perkara 114 Perlembagaan Malaysia memberikan kuasa kepada
SPR untuk menjalankan pilihanraya umum serta pilihanraya kecil jika terdapat
kekosongan.
Dakwat kekal tidak kekal. Gambar ihsan: malaysiakini.com |
Pilihanraya pertama di negara ini
diadakan pada 27 Julai 1955, sejak itu Pilihanraya Umum telah memasuki edisi
ke-13 pada tahun ini. Ketika himpunan
Bersih pertama kali pada tahun 2007 antara lain menuntut penggunaan dakwat
kekal bagi mengelakkan penipuan dan kebarangkalian mengundi dua kali.
Sungguhpun SPR berjanji untuk
penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, namun di saat akhir ianya tidak
digunakan atas alasan tidak bersedia.
Pada PRU 13, dakwat kekal akan pertama kali digunakan. Namun apa yang menjadi kemusykilan adalah
warna dakwat serta dakwat kekal yang sebenarnya tidak kekal.
Walaupun dinafikan sekerasnya
oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusoff, namun SPR yang didakwa sebagai
komponen ke-14 BN, pelbagai media alternatif sejak semalam telah melaporkan
pelbagai dakwaan yang menggambarkan bahawa dakwat kekal yang didakwa sebenarnya
tidak kekal.
Dakwaan mengenai dakwat kekal ini
adalah serius jika SPR dan kerajaan benar-benar mahu mengendalikan Pilihanraya
Umum ke-13 ini dalam keadaan yang telus, dan benar-benar bersih. Sudahlah daftar pemilih pun diragui daripada
segi senarai pemilihnya, kini satu lagi dakwaan mengenai dakwat kekal akan
terus memberikan keraguan kepada rakyat negara ini.
Pihak pemantau Pilihanraya
seharusnya mendesak pihak-pihak terbabit membuat laporan polis dan memaksa SPR
membuktikan bahawa dakwat kekal yang digunakan benar-benar kekal dalam tempoh
yang dinyatakan mereka. SPR mendakwa
dakwat kekal mengandungi logam ‘sliver nitrate’ yang meresap ke dalam kulit dan
akan kekal sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu.
SPR perlu berusaha meyakinkan
pengundi dan orang ramai bahawa dakwat yang digunakan dalam PRU pada kali ini
perlulah benar-benar seperti yang mereka dakwa, jika tidak integriti SPR
sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab mengenai urusan pilihanraya di
negara ini akan dipersoalkan.
Imej SPR di mata para pengundi
sebenarnya telah banyak dipersoalkan, dengan dakwaan mereka merupakan ‘komponen’
ke-14 BN. Jika benar SPR gagal bertindak
bebas, telus dan adil, seharusnya yang perlu dihukum adalah BN, maka para
pengundi sepatutnya berani untuk mengubah persepsi mereka terhadap kepimpinan
pemerintah di Malaysia sejak setengah abad yang lalu. Ini kalilah!
(Nota Kaki: Khabarnya SPR akan mengadakan demo kepad media
pada hari esok untuk membuktikan bahawa dakwat kekal mereka benar-benar kekal)
Ulasan