JANGAN PERLEKEH KUASA & MINDA RAKYAT: SURAT TERBUKA UNTUK PERDANA MENTERI 1MALAYSIA


YAB Dato’ Seri,

Salam 1Malaysia, moga Dato’ Seri dalam keadaan sihat walafiat selepas mengemudikan Barisan Nasional untuk terus memerintah dan mentadbir Malaysia sepanjang tempoh sehingga Pilihanraya Umum ke-14 nanti.  Tahniah di atas kejayaan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang baru sahaja selesai.

Walaupun Barisan Nasional telah menang 133 kerusi Parlimen dan 270 kerusi Dewan Undangan Negeri, namun sama ada Dato’ Seri sedar atau tidak ini adalah prestasi terburuk oleh seorang Perdana Menteri dalam Pilihanraya Umum yang sulong. 

Sebagai rekod, Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam pilihanraya umum yang pertama pada tahun 1959 mendapat 71.1% atau 74 kerusi daripada 104 yang dipertandingkan; Allahyarham  ayahanda Dato’  Seri sendiri ketika mengemudi pilihanraya umum pada tahun 1974 memperolehi 87.7% atau 135 daripada 154 kerusi; allahyarham Tun Hussein Onn pula memperolehi 84.4% atau 130 kerusi daripada 154 kerusi ketika mengemudi Pilihanraya Umum ke-5 pada tahun 1978; mentor Dato’ Seri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperolehi 85.7% atau 132 kerusi daripada 154 kerusi dalam Pilihanraya Umum ke-6 pada tahun 1982.  Pilihanraya Umum ke-11 pada 2004  di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi pula mencatat 90.4% atau 198 kerusi daripada 219 yang dipertandingkan.

Dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang baru lalu, pilihanraya umum yang sulong, pencapaian Dato’ Seri hanya 60% atau 133 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.  Di samping peratusan kerusi yang rendah, peratusan undi kepada Barisan Nasional juga merudum.  Jika Dato’ Seri mengatakan bahawa pilihanraya umum yang Dato’ Seri kemudikan adalah selepas satu jangkamasa yang agak lama selepas mengambilalih teraju kepimpinan negara, jangan lupa Allahyarham ayahanda Dato’ Seri juga mengadakan Pilihanraya Umum yang ke-4 pada tahun 1974 selepas 4 tahun memegang tampuk kepimpinan negara!

YAB Dato’ Seri,

Prestasi Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13 adalah yang terburuk dengan pencapaian hanya 60% atau 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.  Selain itu, bilangan undi untuk BN pula hanya 5,302,039 atau 48.67% berbanding Pakatan Rakyat sebanyak 5,591,688 atau 51.32%.  Malah di dua kerusi DUN di Selangor iaitu di N39 Kota Damansara dan N24 Semenyih, BN mencatat kemenangan hanya kerana kecelaruan perebutan kerusi oleh PSM dan PAS serta PKR.

Ketika Dato’ Seri mula-mula menjadi Perdana Menteri, salah satu gagasan yang diketengahkan adalah gagasan 1Malaysia yang bertujuan untuk menyatukan semua kaum di negara kita, namun dalam Pilihanraya Umum ke-13 ini, jelas sekali masyarakat Cina tidak langsung terbetik untuk menjayakan gagasan 1Malaysia, ini adalah realiti yang sukar dinafikan.

Walaupun BN berjaya meneruskan usaha mentadbir Malaysia, namun usaha BN menawan semula dua negeri yang paling maju di negara kita gagal – Selangor dan Pulau Pinang.  Dengan segala tumpuan Dato’ Seri untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan ‘sayangi Selangor, yakini BN’ seperti tidak menjadi, malah sokongan kepada Pakatan Rakyat  juga meningkat di Selangor.

Calon pilihan Dato’ Seri di P108 Shah Alam, Zulkifli Nordin yang pernah menghina UMNO menambahkan derita Dato’ Seri untuk merebut Selangor ‘at any cost’.  Apa yang lebih malang adalah kekalahan Datuk Seri Ir. Mohamad Zin Mohamed di P113 Sepang juga mengejutkan kerana beliau adalah orang yang diberi kepercayaan untuk menawan semula Selangor.

Selain itu, seorang Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri juga tersungkur dalam PRU ke-13, Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor tewas di tangan Lim Kit Siang (DAP)  di P162 Gelang Patah, manakala Datuk Seri Ali Rustam pula tewas kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR) di P137 Bukit Katil.

YAB Dato’ Seri,

Dalam PRU ke-13 ini juga menyaksikan empat orang Menteri dalam kabinet Dato’ Seri kalah di kerusi Parlimen masing-masing, di samping itu empat lagi Timbalan Menteri juga turut menerima nasib yang sama.  Prestasi seorang Menteri atau Timbalan Menteri  pusat dikatakan tidak menyerlah jika tidak memenangi kerusi yang ditandingi dengan majoriti yang selesa, namun ianya akan lebih buruk jika gagal memenangi kerusi yang mereka tandingi. 

Apakah dengan kekalahan lapan orang dalam pentadbiran Dato’ Seri ini boleh dianggap rakyat masih bersama BN?  Selain itu, secara peribadi lima orang pegawai Dato’ Seri juga kalah dalam PRU pada kali ini. Tidak perlulah diulas lebih panjang kekalahan pegawai-pegawai Dato’ Seri dalam PRU pada kali ini.

Kekalahan ramai pemimpin tinggi parti komponen dalam BN juga adalah natijah paling teruk untuk BN sebagai parti yang telah berjuang dan berjasa kepada rakyat Malaysia, jika boleh dikatakan berjasa dan berjuang.

Pada Pilihanraya Umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya menawan lima negeri iaitu Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, namun dengan kebijaksanaan (?) Dato’ Seri berjaya menawan Perak semula selepas beberapa ketika.  Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan termasuk dalam senarai keutamaan Dato’ Seri untuk merampasnya pada PRU pada kali ini, namun usaha ini tidak kesampaian, malah di Selangor derita BN menjadi lebih parah apabila kerusi yang dimenangi menurun berbanding pada tahun 2008.

Begitu juga di Pulau Pinang, prestasi Pakatan Rakyat menjadi lebih baik berbanding pada tahun 2008, walaupun di saat-saat akhir Dato’ Seri masih lagi menjaja pelbagai janji termasuklah mengumumkan perjanjian membeli tanah di Air Putih, Ayer Hitam dan Paya Terubong bagi membina 2222 rumah kos rendah dan sederhana serta 1111 rumah mampu milik.

Selain itu, Dato’ Seri juga berjanji untuk membina 9999 buah unit rumah mampu milik serta janji untuk membina monorail di Pulau Pinang, malah janji monorail bukanlah sebuah janji yang baru oleh BN kerana ianya telah diumumkan seawal tahun 2006 ketika negara dipimpin oleh warga Pulau Pinang, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

YAB Dato’ Seri,

Di Selangor pula, masalah air terus dimanipulasi oleh kerajaan BN di bawah pimpinan Dato’ Seri dengan bantuan pelbagai pihak yang meracuni fikiran rakyat Selangor, misalnya dengan bantuan GPRS – Gerakan Prihatin Rakyat Selangor. 

Ini adalah petikan ucapan Dato’ Seri  - "Dengan penuh rendah diri, saya bagi pihak BN Selangor ingin nyatakan kepada rakyat Selangor, inilah pasukan yang menjadi harapan saya untuk membawa transformasi kepada Selangor... pasukan yang memenuhi harapan rakyat, membawa perubahan dan menentukan Selangor akan maju dengan lebih hebat di bawah BN," adakah dengan ini Dato’ Seri masih percaya BN lebih ‘transformasi’  berbanding Pakatan Rakyat apabila pencapaian BN di Selangor adalah sebaliknya.  Malah calon ‘transformasi’ Dato’ Seri di P108 Shah Alam juga gagal menyerlah.

Walaupun pelbagai usaha dibuat untuk memburukkan prestasi dan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor antara lain ialah memainkan isu air, elaun suri rumah yang digerakkan oleh GPRS dengan kerjasama peguam malah sehingga mengaturkan perhimpunan oleh suri rumah untuk menyertai perhimpunan aman.

Dikhabarkan pula oleh Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kerajaan negeri Selangor jelas telah menipu rakyat kerana sehingga kini masih gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 untuk memberikan elaun khas kepada ibu yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.

YAB Dato’ Seri,

Dengan kegagalan menawan Selangor adakah negara kita masih boleh menjadi negara maju menjelang tahun 2020, ini kerana menurut Dato’ Seri jika BN tidak dapat menguasai Selangor, kerajaan Pusat sukar untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi tinggi yang diperlukan Malaysia bagi mencapai status negara maju”.

BN juga gagal merebut kembali Kelantan untuk kesekian kalinya.  Kelantan jatuh ke tangan PAS ketika  pilihanraya umum ke-8 pada tahun 1990, sejak itu mimpi untuk merebut kembali Kelantan menjadi sangat menghairahkan, namun sehingga kini selepas 23 tahun, selepas 5 kali pilihanraya umum, BN masih gagal.

Ulasan Dato’ Seri mengenai prestasi buruk BN dikaitkan dengan tsunami Cina yang dikatakan tidak menyokong BN.  Sebenarnya, tidak pernah ada tsunami Cina, tanggapan bahawa kaum Cina bersifat rasis adalah tidak benar, jika Dato’ Seri dan kumpulan pemikir Dato’ Seri mengkaji dengan lebih mendalam, tidak timbul pun elemen rasis dalam pilihanraya umum ini.

Lihat sahaja bagaimana kaum Cina menyokong calon Melayu PKR di P100 Pandan menentang MCA, menyokong calon Melayu DAP di P48 Bukit Bendera menentang Gerakan dan juga di P80 Raub, seorang lagi calon DAP Melayu menentang MCA dalam kawasan majoriti Melayu begitu juga di P124 Bandar Tun Razak calon Melayu PKR menentang MCA di kawasan majoriti Melayu, adakah ini dikatakan rasis?

Realiti sebenarnya adalah kaum Cina dan majoriti golongan muda di negara kita menolak Barisan Nasional, itulah realiti sangat pahit mahu ditelan oleh Dato’ Seri.  Politik memualkan yang diamalkan oleh BN menjadi inti kebencian, lihatlah sekeliling Dato’ Seri adakah media-media Kerajaan seperti RTM dan televisyen swasta seperti TV3 dan ahli-ahli kumpulannya dalam Media Prima bersikap adil dengan pakatan pembangkang.

Iklan oleh DAP ditolak oleh akhbar The Star, walaupun pelbagai usaha untuk menepati kehendak pemilik media, akhbar Harian Metro juga melakukan tindakan yang sama, menolak iklan oleh DAP.  Tahukah Dato’ Seri, iklan kempen oleh BN juga disiarkan oleh portal Malaysiakini yang didakwa UMNO ditaja oleh dana asing!

Sikap ‘overzealous’ terhadap usaha merampas Selangor dan Pulau Pinang, politik mencari salah dalam pentadbiran di dua negeri ini juga tidak semua disenangi oleh majoriti rakyat negara ini yang tidak gemarkan politik kebencian.

BN sepatutnya lebih ikhlas dalam usaha mereka melayan rakyat di negara ini sama ada daripada kaum Melayu, India, Cina atau kaum-kaum lain di Malaysia. 

Akhir sekali, ingatan saya kepada YAB Dato’ Seri ialah supaya tidak membezakan mana-mana negeri untuk diberi bantuan atau kemudahan, janganlah hanya kerana ingin merebut negeri tersebut, semuanya diberikan dan mengabaikan negeri yang lain, sebagai bapa, adakah Dato’ Seri mengamalkan pilih kasih dalam melayan anak-anak?

Salam dan tahniah sekali lagi di atas pencapaian Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.  

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
amboi sayangnya kat piem 1malaysia..sia sia sia..
anep berkata…
kritis..
Tanpa Nama berkata…
Ko bagi la surat 10 helai panjang pun pd ajib nie....dia bukan paham pun...dia tak pernah rasa susah mcm kita....buang masa je...yg kita boleh buat ialah kita sembahyang hajat minta terbuka pintu hati dia utk terima kebenaran....salam....

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU