JANGAN PERLEKEH KUASA & MINDA RAKYAT: SURAT TERBUKA UNTUK PERDANA MENTERI 1MALAYSIA
YAB Dato’ Seri,
Salam 1Malaysia, moga Dato’ Seri
dalam keadaan sihat walafiat selepas mengemudikan Barisan Nasional untuk terus
memerintah dan mentadbir Malaysia sepanjang tempoh sehingga Pilihanraya Umum
ke-14 nanti. Tahniah di atas kejayaan
Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang baru sahaja selesai.
Walaupun Barisan Nasional telah
menang 133 kerusi Parlimen dan 270 kerusi Dewan Undangan Negeri, namun sama ada
Dato’ Seri sedar atau tidak ini adalah prestasi terburuk oleh seorang Perdana
Menteri dalam Pilihanraya Umum yang sulong.
Sebagai rekod, Almarhum Tunku
Abdul Rahman dalam pilihanraya umum yang pertama pada tahun 1959 mendapat 71.1%
atau 74 kerusi daripada 104 yang dipertandingkan; Allahyarham ayahanda Dato’ Seri sendiri ketika mengemudi pilihanraya
umum pada tahun 1974 memperolehi 87.7% atau 135 daripada 154 kerusi;
allahyarham Tun Hussein Onn pula memperolehi 84.4% atau 130 kerusi daripada 154
kerusi ketika mengemudi Pilihanraya Umum ke-5 pada tahun 1978; mentor Dato’
Seri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperolehi 85.7% atau 132 kerusi daripada 154
kerusi dalam Pilihanraya Umum ke-6 pada tahun 1982. Pilihanraya Umum ke-11 pada 2004 di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi pula
mencatat 90.4% atau 198 kerusi daripada 219 yang dipertandingkan.
Dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang
baru lalu, pilihanraya umum yang sulong, pencapaian Dato’ Seri hanya 60% atau
133 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan. Di samping peratusan kerusi yang rendah,
peratusan undi kepada Barisan Nasional juga merudum. Jika Dato’ Seri mengatakan bahawa pilihanraya
umum yang Dato’ Seri kemudikan adalah selepas satu jangkamasa yang agak lama
selepas mengambilalih teraju kepimpinan negara, jangan lupa Allahyarham
ayahanda Dato’ Seri juga mengadakan Pilihanraya Umum yang ke-4 pada tahun 1974
selepas 4 tahun memegang tampuk kepimpinan negara!
YAB Dato’ Seri,
Prestasi Barisan Nasional dalam
Pilihanraya Umum ke-13 adalah yang terburuk dengan pencapaian hanya 60% atau
133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.
Selain itu, bilangan undi untuk BN pula hanya 5,302,039 atau 48.67%
berbanding Pakatan Rakyat sebanyak 5,591,688 atau 51.32%. Malah di dua kerusi DUN di Selangor iaitu di
N39 Kota Damansara dan N24 Semenyih, BN mencatat kemenangan hanya kerana
kecelaruan perebutan kerusi oleh PSM dan PAS serta PKR.
Ketika Dato’ Seri mula-mula
menjadi Perdana Menteri, salah satu gagasan yang diketengahkan adalah gagasan
1Malaysia yang bertujuan untuk menyatukan semua kaum di negara kita, namun
dalam Pilihanraya Umum ke-13 ini, jelas sekali masyarakat Cina tidak langsung
terbetik untuk menjayakan gagasan 1Malaysia, ini adalah realiti yang sukar
dinafikan.
Walaupun BN berjaya meneruskan
usaha mentadbir Malaysia, namun usaha BN menawan semula dua negeri yang paling
maju di negara kita gagal – Selangor dan Pulau Pinang. Dengan segala tumpuan Dato’ Seri untuk
merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan ‘sayangi Selangor,
yakini BN’ seperti tidak menjadi, malah sokongan kepada Pakatan Rakyat juga meningkat di Selangor.
Calon pilihan Dato’ Seri di P108
Shah Alam, Zulkifli Nordin yang pernah menghina UMNO menambahkan derita Dato’
Seri untuk merebut Selangor ‘at any cost’. Apa yang lebih malang adalah kekalahan Datuk
Seri Ir. Mohamad Zin Mohamed di P113 Sepang juga mengejutkan kerana beliau
adalah orang yang diberi kepercayaan untuk menawan semula Selangor.
Selain itu, seorang Menteri Besar
dan seorang Ketua Menteri juga tersungkur dalam PRU ke-13, Datuk Abdul Ghani
Othman, Menteri Besar Johor tewas di tangan Lim Kit Siang (DAP) di P162 Gelang Patah, manakala Datuk Seri Ali
Rustam pula tewas kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR) di P137 Bukit Katil.
YAB Dato’ Seri,
Dalam PRU ke-13 ini juga
menyaksikan empat orang Menteri dalam kabinet Dato’ Seri kalah di kerusi
Parlimen masing-masing, di samping itu empat lagi Timbalan Menteri juga turut
menerima nasib yang sama. Prestasi
seorang Menteri atau Timbalan Menteri
pusat dikatakan tidak menyerlah jika tidak memenangi kerusi yang
ditandingi dengan majoriti yang selesa, namun ianya akan lebih buruk jika gagal
memenangi kerusi yang mereka tandingi.
Apakah dengan kekalahan lapan
orang dalam pentadbiran Dato’ Seri ini boleh dianggap rakyat masih bersama
BN? Selain itu, secara peribadi lima
orang pegawai Dato’ Seri juga kalah dalam PRU pada kali ini. Tidak perlulah
diulas lebih panjang kekalahan pegawai-pegawai Dato’ Seri dalam PRU pada kali
ini.
Kekalahan ramai pemimpin tinggi
parti komponen dalam BN juga adalah natijah paling teruk untuk BN sebagai parti
yang telah berjuang dan berjasa kepada rakyat Malaysia, jika boleh dikatakan
berjasa dan berjuang.
Pada Pilihanraya Umum 2008,
Pakatan Rakyat berjaya menawan lima negeri iaitu Perak, Selangor, Kedah, Pulau
Pinang dan Kelantan, namun dengan kebijaksanaan (?) Dato’ Seri berjaya menawan
Perak semula selepas beberapa ketika.
Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan termasuk dalam senarai keutamaan
Dato’ Seri untuk merampasnya pada PRU pada kali ini, namun usaha ini tidak
kesampaian, malah di Selangor derita BN menjadi lebih parah apabila kerusi yang
dimenangi menurun berbanding pada tahun 2008.
Begitu juga di Pulau Pinang,
prestasi Pakatan Rakyat menjadi lebih baik berbanding pada tahun 2008, walaupun
di saat-saat akhir Dato’ Seri masih lagi menjaja pelbagai janji termasuklah
mengumumkan perjanjian membeli tanah di Air Putih, Ayer Hitam dan Paya Terubong
bagi membina 2222 rumah kos rendah dan sederhana serta 1111 rumah mampu milik.
Selain itu, Dato’ Seri juga
berjanji untuk membina 9999 buah unit rumah mampu milik serta janji untuk
membina monorail di Pulau Pinang, malah janji monorail bukanlah sebuah janji
yang baru oleh BN kerana ianya telah diumumkan seawal tahun 2006 ketika negara
dipimpin oleh warga Pulau Pinang, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
YAB Dato’ Seri,
Di Selangor pula, masalah air
terus dimanipulasi oleh kerajaan BN di bawah pimpinan Dato’ Seri dengan bantuan
pelbagai pihak yang meracuni fikiran rakyat Selangor, misalnya dengan bantuan
GPRS – Gerakan Prihatin Rakyat Selangor.
Ini adalah petikan ucapan Dato’
Seri - "Dengan penuh rendah diri, saya bagi pihak BN Selangor ingin
nyatakan kepada rakyat Selangor, inilah pasukan yang menjadi harapan saya untuk
membawa transformasi kepada Selangor... pasukan yang memenuhi harapan rakyat,
membawa perubahan dan menentukan Selangor akan maju dengan lebih hebat di bawah
BN," adakah dengan ini Dato’ Seri
masih percaya BN lebih ‘transformasi’ berbanding Pakatan Rakyat apabila pencapaian
BN di Selangor adalah sebaliknya. Malah
calon ‘transformasi’ Dato’ Seri di P108 Shah Alam juga gagal menyerlah.
Walaupun pelbagai usaha dibuat
untuk memburukkan prestasi dan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor
antara lain ialah memainkan isu air, elaun suri rumah yang digerakkan oleh GPRS
dengan kerjasama peguam malah sehingga mengaturkan perhimpunan oleh suri rumah
untuk menyertai perhimpunan aman.
Dikhabarkan pula oleh Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat
Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kerajaan negeri Selangor jelas
telah menipu rakyat kerana sehingga kini masih gagal menunaikan janji manifesto
Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 untuk memberikan elaun khas kepada ibu yang
memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.
YAB Dato’ Seri,
Dengan kegagalan menawan Selangor adakah negara kita masih
boleh menjadi negara maju menjelang tahun 2020, ini kerana menurut Dato’ Seri “jika BN tidak dapat menguasai Selangor, kerajaan Pusat sukar untuk
memastikan kadar pertumbuhan ekonomi tinggi yang diperlukan Malaysia bagi
mencapai status negara maju”.
BN juga gagal merebut kembali
Kelantan untuk kesekian kalinya.
Kelantan jatuh ke tangan PAS ketika pilihanraya umum ke-8 pada tahun 1990, sejak
itu mimpi untuk merebut kembali Kelantan menjadi sangat menghairahkan, namun
sehingga kini selepas 23 tahun, selepas 5 kali pilihanraya umum, BN masih
gagal.
Ulasan Dato’ Seri mengenai
prestasi buruk BN dikaitkan dengan tsunami Cina yang dikatakan tidak menyokong
BN. Sebenarnya, tidak pernah ada tsunami
Cina, tanggapan bahawa kaum Cina bersifat rasis adalah tidak benar, jika Dato’
Seri dan kumpulan pemikir Dato’ Seri mengkaji dengan lebih mendalam, tidak
timbul pun elemen rasis dalam pilihanraya umum ini.
Lihat sahaja bagaimana kaum
Cina menyokong calon Melayu PKR di P100 Pandan menentang MCA, menyokong calon
Melayu DAP di P48 Bukit Bendera menentang Gerakan dan juga di P80 Raub, seorang
lagi calon DAP Melayu menentang MCA dalam kawasan majoriti Melayu begitu juga
di P124 Bandar Tun Razak calon Melayu PKR menentang MCA di kawasan majoriti
Melayu, adakah ini dikatakan rasis?
Realiti sebenarnya adalah kaum
Cina dan majoriti golongan muda di negara kita menolak Barisan Nasional, itulah
realiti sangat pahit mahu ditelan oleh Dato’ Seri. Politik memualkan yang diamalkan oleh BN
menjadi inti kebencian, lihatlah sekeliling Dato’ Seri adakah media-media
Kerajaan seperti RTM dan televisyen swasta seperti TV3 dan ahli-ahli
kumpulannya dalam Media Prima bersikap adil dengan pakatan pembangkang.
Iklan oleh DAP ditolak oleh
akhbar The Star, walaupun pelbagai
usaha untuk menepati kehendak pemilik media, akhbar Harian Metro juga melakukan
tindakan yang sama, menolak iklan oleh DAP.
Tahukah Dato’ Seri, iklan kempen oleh BN juga disiarkan oleh portal
Malaysiakini yang didakwa UMNO ditaja oleh dana asing!
Sikap ‘overzealous’ terhadap usaha merampas Selangor dan Pulau Pinang, politik
mencari salah dalam pentadbiran di dua negeri ini juga tidak semua disenangi
oleh majoriti rakyat negara ini yang tidak gemarkan politik kebencian.
BN sepatutnya lebih ikhlas
dalam usaha mereka melayan rakyat di negara ini sama ada daripada kaum Melayu,
India, Cina atau kaum-kaum lain di Malaysia.
Akhir sekali, ingatan saya
kepada YAB Dato’ Seri ialah supaya tidak membezakan mana-mana negeri untuk
diberi bantuan atau kemudahan, janganlah hanya kerana ingin merebut negeri
tersebut, semuanya diberikan dan mengabaikan negeri yang lain, sebagai bapa,
adakah Dato’ Seri mengamalkan pilih kasih dalam melayan anak-anak?
Salam dan tahniah sekali lagi
di atas pencapaian Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.
Ulasan