HARI-HARI TERAKHIR SEBUAH BARISAN (SIRI 2)


Saya mula merasai bahang pilihanraya umum pertama kali pada tahun 1969, ketika itu dikhabarkan bahawa prestasi parti Perikatan yang memerintah dikatakan buruk selepas kejayaan besar pertama kali pada tahun 1959.  Walaupun dikhabarkan berlakunya peristiwa hitam 13 Mei, namun kami yang tinggal di kampung jauh dari bandar tidak begitu merasakannya.


Sejak mula merasakan bahang pilihanraya pada tahun 1969, walaupun tidak begitu arif apa dan bagaimana proses sebenarnya, namun saya sangat teruja.   Pada ketika itu, keluarga saya adalah antara penyokong tegar parti pemerintah, malah arwah ayah sentiasa  menawarkan premisnya sebagai bilik gerakan tidak rasmi. 

Selain itu, keluarga saya juga tidak begitu berkira tentang soal makan dan minum para petugas sepanjang tempoh kempen, kerana selain ditanggung oleh parti, ia juga merupakan sumbangan kecil keluarga kami.

Ketika pertama kali gabungan Barisan Nasional diperkenalkan pada pilihanraya umum kali keempat pada tahun 1974, BN mendapat mandat yang besar dengan memenangi 135 kerusi daripada 154 kerusi yang dipertandingkan.

Dr. Mahathir yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada tahun 1981, mengemudikan Barisan Nasional dengan agak cemerlang dan berjaya mengurangkan bilangan kerusi yang dimenangi oleh pembangkang kepada hanya 22 berbanding 24 kerusi pada pilihanraya sebelumnya.

Selepas daripada itu, prestasi BN dalam empat lagi Pilihanraya Umum di bawah kepimpinan Dr. Mahathir tidak lagi dilihat begitu cemerlang khususnya pada Pilihanraya Umum ke-10 yang merupakan pilihanraya terakhir di bawah kepimpinan Dr. Mahathir.  Pada PRU 10, pembangkang menambah bilangan kerusi kepada 45 dan majoriti undi kaum Melayu juga merosot akibat tindakan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun sebelumnya.

Pilihanraya Umum ke-13 akan melakar sejarahnya tersendiri kepada BN, ini kerana PRU 13 adalah yang pertama kali dikemudi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keenam selepas mengambilalih tampuk kepimpinan pada April 2009.

PRU 13, pertama kali dalam sejarah, melewati mandat lima tahun malah Negeri Sembilan mencatat sejarah kerana pembubaran automatik, selepas Najib gagal mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen selepas tempoh lima tahun berakhir.  PRU 13 pada kali ini juga mencatat sejarah apabila 270 orang calon menawarkan diri sebagai calon bebas dalam perebutan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Bilangan calon wanita mewakili BN juga berkurangan, malah Ketua dan Naib Ketua Wanita tidak menjadi calon, pertama kali dalam sejarah BN, dan yang lebih manis adalah Najib sendiri mengetuai Kementerian Wanita yang khabarnya menjanjikan penglibatan wanita yang lebih dalam semua bidang termasuk politik seolah-olah menjadi bahan lawak. 

Naib Ketua Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim yang sepatutnya ditawarkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar dinafikan dan memaksa beliau bertanding atas tiket Bebas dan mengisytiharkan keluar daripada UMNO.

Selain itu juga, seramai 61 orang lagi ahli UMNO di pelbagai peringkat dipecat daripada menjadi ahli kerana bertanding sebagai calon Bebas.  BN yang lazimnya menggunakan slogan ‘tradisi membela rakyat’ kini beralih kepada ‘janji ditepati’ ‘1Malaysia’ ‘mendahulukan rakyat’ malah menukar ungkapan manifesto kepada ‘akujanji’.

Pakatan Rakyat yang mengumumkan manifesto mereka sekitar bulan Februari, manakala BN pula mengumumkan selepas pembubaran Parlimen pada April yang lalu, mendakwa Pakatan Rakyat ‘menciplak’ manifesto mereka,  sesuatu yang tidak masuk akal dan melucukan.

Akhir-akhir ini, BN kelihatannya tidak begitu ‘menjadi’ segala tindak tanduk mereka menampakkan apa yang mereka lakukan seperti tidak kena.  Perdana Menteri dan Pengerusi BN, yang menjelajah ke negeri-negeri dan berkempen demi kejayaan BN seperti tidak mempunyai modal dan kaedah pengurusan negara yang lebih baik selain ‘menaburkan’ habuan di sana sini.

Pemberian BR1M, yang sangat dibanggakan oleh BN menjadi lawak apabila, bantuan ini diperlekehkan oleh PAS yang mendakwa, seperti memberi hampas kelapa dan padi kepada ayam dan kambing.   Walaupun kenyataan Tuan Guru Nik Aziz  ini dianggap keterlaluan oleh BN, namun jika diteliti, ada asasnya. 

Selama lebih 55 tahun, tidak pernah rakyat Malaysia menerima bantuan seperti itu melainkan yang diterima oleh warga peneroka setiap kali menjelang Hari Raya, dan pertama kali menerimanya pada tahun 2012.  Jika dibandingkan BR1M sebanyak RM500, dan sumbangan 20 meter padu air yang ditawarkan oleh Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat, jumlah dan kelebihannya adalah pada pemberian air percuma oleh Kerajaan Selangor.

Dalam ‘meroyan’nya BN mendabik dada bahawa pemberian BR1M adalah lebih baik daripada pengurangan harga petrol, sesuatu yang sangat jelas memperlekehkan rakyat Malaysia secara amnya.

Tawaran oleh Pakatan Rakyat adalah lebih ‘menjejak bumi’ kerana kesemua ini adalah yang sepatutnya diperjuangkan oleh BN yang menerajui negara ini sejak 12 kali Pilihanraya Umum.  Tawaran penghapusan tol secara berperingkat bukanlah sesuatu yang mustahil, ini kerana BN pernah melakukannya.

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang ditangguhkan pelaksanaannya akibat desakan pelbagai pihak termasuk MCA, seolah-olah satu lagi ‘lubuk’  ciptaan BN yang menguntungkan kroni mereka. Walaupun tidak dapat dinafikan AES digunakan di banyak negara, namun di negara kita kaedah yang dipilih oleh BN sangat ‘terpesong’ daripada objektif asalnya untuk mengurangkan kemalangan jalanraya dan mendidik pengguna jalanraya.

Jika BN mendabik dengan mengatakan mereka memberikan ribuan jutaan ringgit dalam bentuk subsidi kepada barangan seperti gula, tepung, minyak masak dan pelbagai barangan asas yang lain, ini bukanlah satu yang menggembirakan rakyat kerana dengan tidak melihat masalah pokoknya, kenaikan harga barangan sukar dibendung dan laungan pemberian subsidi akan terus menjadi lebih nyaring seolah menggambarkan BN bukan lagi ‘penyelesai masalah rakyat’ yang terbaik berbanding langkah yang diambil oleh Pakatan Rakyat.

Tawaran Pakatan Rakyat mengenai harga kereta yang lebih rendah pertama kali dibangkang oleh para pemimpin BN malah oleh menteri mereka, namun kini dalam manifesto atau akujanji BN, perkara ini juga menjadi sebahagian yang ditawarkan oleh BN.

Ada pihak yang berpendapat bahawa pengurangan harga kereta dengan menghapuskan duti eksais secara berperingkat selama lima tahun akan menyebabkan lambakan kenderaan dan kesesakan lalu lintas, namun jika dilihat secara menyeluruh, hal ini sebenarnya akan mengurangkan beban bayaran bulanan dan disamping itu dengan pengurangan tol juga akan membolehkan rakyat bergerak lebih kerap dan pergerakan ini akan meningkatkan aktiviti ekonomi di pelbagai peringkat.

Kurang 10 jam lagi, rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk memilih pemimpin mereka sama ada sebagai Ahli Parlimen mahupun wakil rakyat.  Laluan BN sebagai parti yang memerintah tidaklah semudah seperti lazimnya.  Monopoli media dan lambakan janji serta belanja besar BN dalam PRU pada kali ini akan lebih menambahkan ‘mual’ rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang berhemah, serta dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan cara dan kaedah yang lebih praktikal, realistik dan bersifat jangka panjang.

Sebuah catatan dalam laman sosial mukabuku, oleh seorang kaum Cina, antara lain menyebut I support BN and will vote BN, but I have some matter I don't understand and need help from BN, please enlighten me before I vote for you” menggariskan 64 pertanyaan mengenai urustadbir oleh BN sebagai sebuah Kerajaan.  Rakyat secara umumnya, yang kini lebih mudah mendapat maklumat bukanlah lagi yang boleh diperlekehkan dengan pemberian sehelai kain pelikat, beras atau minyak masak berlambang dacing.

Masalah ketirisan, rasuah dan salah urustadbir adalah perkara pokok yang dimahukan oleh rakyat khususnya mereka yang terasa dengan kenaikan kos sara hidup setiap hari.  Selain daripada menaikan BR1M (Beri Rasuah 1 Malaysia), apa lagi perkara baru yang boleh dilakukan oleh BN.  Cukuplah selama 12 kali Pilihanraya Umum dimenangi oleh mereka.  Cukuplah dengan ‘nikmat’ yang mereka berikan selama 55 tahun.  Cukuplah.  Ini kalilah!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
be end..RIP!
Tanpa Nama berkata…
Insaflah wahai be end..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU