CINA BANGKIT, MELAYU UNGKIT
Jika dalam program realiti
berunsur cabaran, Survivor, hosnya,
Jeff Probst akan mengatakan “the tribe
has spoken” dalam sesi Tribal Council
apabila berlaku sesi pengundian keluar mana-mana pesertanya.
Itu dalam program realiti
televisyen yang mana Jeff Probst pernah memenangi Hos Terbaik Program Realiti
bagi tahun 2008 dan 2009. Walaupun dalam
program realiti Survivor ini,
pelbagai elemen digabungkan, fitnah, usaha menjatuhkan sesama sendiri, menikam
dari belakang, kawan makan kawan sama seperti apa yang kita lalui dalam
kehidupan seharian. Bezanya Jeff Probst
sebagai hos tidak pernah memihak kepada mana-mana peserta!
Seperti dalam realiti politik
yang berakhir dengan kemenangan ‘besar’ BN dengan memenangi 133 kerusi manakala
Pakatan Rakyat memenangi baki 89 kerusi Parlimen, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)
yang dianggap sebagai ‘komponen ke-14’ dikatakan banyak ‘membantu’ secara tidak
langsung, namun itu bukanlah sebab mengapa BN kembali berkuasa di Malaysia.
Tidak terlewat untuk mengucapkan
tahniah kerana berjaya membentuk kerajaan dengan 133 kerusi Parlimen, namun
ucapan takziah juga perlu disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak, kerana gagal merebut negeri idaman mereka, Selangor dan Pulau Pinang,
dua negeri paling maju di Malaysia.
BN boleh mendabik dada dengan
mengekalkan Malaysia di bawah pemerintahan mereka, tapi bolehkah Perdana
Menteri dan 1Malaysia menyatukan kaum di negara kita di samping menghapuskan
kebencian masyarakat Cina terhadap BN? Mungkin selepas ini Perdana Menteri dan 1Malaysianya
perlu menilai semula bagi benar-benar menyeluruh sifatnya bukan sahaja di atas
kertas tetapi juga pada realitinya.
Masyarakat Malaysia juga menolak
pihak-pihak seperti PERKASA apabila Presiden dan Timbalan Presidennya gagal
meraih kemenangan di kerusi Parlimen Pasir Mas dan Shah Alam. Pakatan Rakyat walau apapun tuduhan mereka
mengenai perjalanan Pilihanraya Umum pada kali ini perlu menerima keputusan ini
namun boleh mencabarnya di mahkamah dengan bukti-bukti bagi menguatkan dakwaan
mereka.
SPR selepas ini perlulah belajar
untuk menjadi hos yang terbaik seperti Jeff Probst dalam program realiti Survivor, walau apapun seperti ungkapan
Jeff Probst, “the tribe has spoken”. Mari kita kunyah kekalahan ini dengan minda
terbuka, mungkin Allah SWT belum meredhai kemenangan kepada Pakatan
Rakyat. Apa yang paling ketara pada PRU
ke-13 ini adalah “Cina bangkit, Melayu ungkit”.
Tahniah BN. Lain kalilah!
Ulasan