BAM, APA KHABAR?
Badminton merupakan antara sukan popular di Malaysia selepas
bolasepak. Apabila Malaysia menjadi tuan
rumah Piala Sudirman buat pertama kali dalam edisinya yang ke-13 dalam
kejohanan dwi tahunan yang dianjurkan sejak 1989, prestasi kita menjadi semakin
buruk.
Walaupun Piala Sudirman tidak
menawarkan sebarang ganjaran kewangan, namun pencapaian di dalam kejohanan ini
akan memperbaiki ‘ranking’ para pemain apatah lagi akan mengharumkan nama
negara mereka.
Ironinya, Malaysia tidak pernah menjuarai
Piala Sudirman malah yang paling hampir ialah memasuki pusingan suku akhir pada
tahun 2009. Walaupun Piala Sudirman
adalah bagi mengingati bekas pemain dan pengasas Persatuan Bulu Tangkis
Indonesia (PBSI), Dick Sudirman, Indonesia hanya pernah memenanginya sekali
sahaja setakat ini iaitu pada kali pertama dianjurkan pada tahun 1989.
Walaupun begitu, apa yang lebih
menarik ialah bagaimana jenama oleh Indonesia yang dianggap jauh ketinggalan
dalam banyak segi daripada Malaysia berjaya ‘mengeksport’ jenamanya ke seluruh
dunia, malah hingga ke Eropah dan Asia tentunya.
Malaysia yang banyak melahirkan
jaguh badminton dunia, sehingga hari ini masih tidak mampu memenangi Piala
Sudirman, adakah kerana motivasi yang rendah kerana ketiadaan hadiah wang berbanding
kejohanan yang lain, atau faktor-faktor lain yang belum dikenalpasti.
Pada kejohanan kali ke-13 yang
diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia yang pertama kali menjadi tuan rumah, amat
mengecewakan apabila kalah kepada negara yang bukan ternama dalam sukan
badminton, yang pertama pada perlawanan
menentang Taiwan dan kemudiannya tewas di tangan Jerman.
Malaysia yang menduduki tangga
pertama ‘ranking’ dunia itu kalah kepada Taiwan yang menduduki tangga ke-26 dan
Jerman yang menduduki tangga ke-17!
Yang lebih mengejutkan ialah
bagaimana badminton yang merupakan sukan popular rakyat negara ini selepas
bolasepak begitu merudum akhir-akhir ini malah, Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) seperti gagal melahirkan bakat-bakat baru, apatah lagi ibu pejabat
Persekutan Badminton Dunia kini berpengkalan di Kuala Lumpur.
Malaysia menduduki tangga pertama
‘ranking’ dunia dalam kategori perseorangan lelaki yang diwakili oleh Lee Chong
Wei, dalam perseorangan wanita pula, nama pemain Malaysia hanya boleh ditemui
pada ‘ranking’ ke-40 iaitu melalui Sonia
Cheah Su Ya, beregu lelaki 'ranking' Malaysia adalah pada kedudukan ketiga dunia melalui pasangan Koo Kien Keat dan
Tan Boon Heong serta pasangan Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong yang berada pada
kedudukan ketujuh ‘ranking’ dunia.
Beregu perempuan pula, tangga
terbaik adalah pada kedudukan ke-25 melalui Goh Liu Ying dan Lim Yin Loo, dalam kategori beregu
campuran pula Malaysia menduduki tangga kelima melalui pasangan Chan Peng Soon
dan Goh Liu Ying.
Mungkin selepas ini BAM perlu
memikirkan dan merangka semula strategi mereka bagi melahirkan lebih ramai
bakat-bakat baru yang menduduki kelompok kesepuluh terbaik dunia dalam arena
badminton. Menteri Belia dan Sukan yang
baru, Khairy Jamaluddin harus melihat kepimpinan BAM dan melakukan sesuatu
sebelum prestasi negara merudum lebih teruk selepas kemarau piala berprestij
seperti Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada tahun 1992
ketika Menteri Belia & Sukan sekarang berusia 16 tahun!
Amatlah malang, jika kepimpinan
BAM yang hanya gah pada nama dan penganjuran namun gagal melahirkan lebih ramai
jaguh badminton daripada kalangan
generasi muda di negara kita, mungkinkah kepimpinan BAM akan mengalami
perubahan drastik menjelang pemilihan pada Julai nanti.
Khabarnya, Presiden BAM, Datuk
Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh telah menyatakan tidak akan mempertahankan
kerusinya di samping Ng Chin Chai, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan, yang juga tidak mahu dilantik ke jawatan itu pada penggal baru.
Apapun, nampaknya sukan badminton
negara memerlukan suntikan ‘darah’ yang baru, terajunya di peringkat Kerajaan
sudah bertukar, mungkin selepas ini teraju di peringkat BAM juga perlu suntikan
‘darah’ baru bagi mengembalikan semarak sukan badminton negara kita di samping
menutup mulut mereka yang merasakan kejohanan Piala Thomas tidaklah begitu
penting. Kepada mereka di BAM selamat
mengemas untuk berpindah!
Ulasan