CATATAN FILEM-FILEM YASMIN AHMAD


Hari pertama Ramadan, tiba-tiba sahaja terasa begitu sunyi ialah saya sudah terbiasa berada di hadapan komputer di ruang kerja saya sehingga melewati jam enam petang dan disudahi dengan aktiviti ‘ngeteh’ di kopitiam (yang telah disahkan halal) di bawah. Aktiviti ‘ngeteh’ ini akan berlangsung sehingga menghampiri jam tujuh sebelum saya dan rakan-rakan ‘ngeteh’ kembali ke rumah.

Kini menjelang Ramadan dengan waktu pulang ditetapkan pada jam 4.30 petang, terasa begitu sunyi tanpa aktiviti ‘ngeteh’, sudahnya saya memilih untuk ke Bangsar meredah kesesakan. Tujuan saya hanya mahu ke kedai buku Ikan Perak, yang memang terkenal di kalangan pecinta buku. Walaupun ini pertama kali saya mengunjungi kedai buku Ikan Perak ini, sehingga perlu menelefon bagi mendapatkan lokasi yang sebenarnya.

Tujuan saya ke kedai buku Ikan Perak hanya satu: mahu mendapatkan buku 120 Malay Movies nukilan Amir Muhammad, yang khabarnya hanya dicetak sebanyak 500 naskhah. Di kedai buku Ikan Perak saya memilih beberapa judul lain selain daripada buku yang ingin saya miliki pada asalnya. Antara tangkapan saya di kedai buku Ikan Perak ialah: 120 Malay Movies (Amir Muhammad), Yasmin Ahmad’s Films (Amir Muhammad), Sinema (SM Zakir), dan sebuah buku terjemahan, Kisah Pembuat Lilin Melawan Matahari dan lain-lain Jenaka Ekonomi-Politik.

Saya memilih untuk menelaah buku Yasmin Ahmad’s Films – buku yang membincangkan filem-filem garapan sutradara tersohor – Allahyarham Yasmin Ahmad. Perbincangan yang dikupas oleh Amir Muhammad tidak hanya terbatas kepada filem-filem cereka malah menyentuh juga iklan-iklan komersil yang dihasilkan oleh allahyarham ketika hayatnya.

Enam filem yang dibincangkan setelah Amir Muhammad memilih untuk menonton semula secara kritis keenam-enam filem – Rabun (telefilem), Sepet, Gubra, Mukhsin, Talentime dan Muaalaf. Filem-filem garapan Yasmin Ahmad sering dilihat sebagai karya yang segar dan sarat emosi dan begitu mudah dihubungkan oleh penonton. Lazimnya karya-karya beliau samada filem iklan, mahupun cereka memang meruntun jiwa dan membuai emosi.

Yasmin Ahmad menerima anugerah Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia dua tahun berturut bagi filem Sepet dan Gubra pada tahun 2005 dan 2006 dan menerima anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem Talentime pada tahun 2009.

Buku kecil setebal 224 halaman ini mengimbas enam filem cereka Yasmin Ahmad di samping dua belas filem-filem iklan yang pernah dihasilkan oleh beliau seawal tahun 1996 melalui The Little Indian Boy yang dihasilkan untuk Petronas sempena sambutan Hari Kemerdekaan walaupun filem iklan ini tidak diarahkan oleh beliau sendiri.

Lazimnya teman-teman saya memilih untuk mengunjungi Bazar Ramadan di hari pertama Ramadan saya memilih untuk ke bazar buku Ikan Perak bagi tangkapan yang lebih bermakna sebagai santapan minda selain aktiviti sunat dan wajib di bulan Ramadan!

Selepas satu tahun kepulangan Allahyarham Yasmin Ahmad yang kembali ke rahmatullah pada 25 Julai 2009, membaca Yasmin Ahmad's Films karya Amir Muhammad mengimbas kembali kegigihan dan ketelitian seorang pencerita yang baik - Yasmin Ahmad!

Ulasan

anep berkata…
filem + iklan2 yasmin ahmad pelopor konsep 1Malaysia..
saha berkata…
rindukan iklan perayaan arwah..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?