3 KISAH 1 PERSEPSI ...

(Gambar hiasan: Menunggu kemunculan buaya?)

KISAH 1

Beberapa tahun lalu semasa berkunjung ke bandar Muar, yang ketika itu mempunyai bayi kecil dan dua orang anak yang masih belum bersekolah, sekitar tahun 2000. Menjadi lumrah apabila mengunjungi sesuatu tempat saya membeli belah dan kebetulan pula ketika itu saya membeli belah di pinggir bandar Muar berhampiran laut.

Mengunjungi dari satu gerai ke satu gerai yang lain, menjadi kebiasaan saya untuk tidak hanya membeli di satu tempat atau satu gerai sahaja, maka ketika sampai di tengah, kedua tangan saya sarat memegang beg-beg plastik berisi barangan di samping memangku anak kecil saya, dan saya masih lalu di hadapan gerai-gerai dan ditegur oleh penjual untuk memasuki kedai mereka, namun tidak siapa pun mengendahkan beban saya memegang anak dan tangan yang sebelah lagi memegang plastik-plastik barangan yang dibeli hinggalah ke kedai yang penghujung, yang secara spontan memberikan beg yang besar yang boleh memuatkan semua barangan yang saya beli dan memudahkan pergerakan saya.

Saya agak terkejut dan gembira kerana keprihatinan si pekedai tadi berbanding mereka-mereka yang lain yang hanya mahukan saya membeli di kedai mereka. Saya tidak pun membeli di kedai tadi kerana tiada lagi keperluan berbuat demikian, namun kesan perlakuan si pekedai tadi membuatkan saya sentiasa mengunjungi kedai beliau setiap kali saya turun ke bandar Muar.

KISAH 2

Beberapa hari lepas, saya ke pejabat agen kereta saya kerana ada beberapa perkara yang perlu saya jelaskan dan memohon penjelasan beliau, saya kira semua urusan tersebut tidak akan mengambil masa yang lama, paling lama sekitar lima minit. Ketika saya sampai si agen tadi – katalah namanya En. Din (bukan nama sebenar) sedang melayan seorang tetamu yang saya kira mungkin pelanggan beliau, saya dimaklumkan oleh kakitangan En. Din untuk menunggu kerana En. Din ada tetamu. Lima minit berlalu, sepuluh minit berlalu, tiga puluh minit berlalu, masih tidak nampak tanda-tanda En. Din akan keluar dari biliknya yang boleh saya lihat dari luar.

Selepas kira-kira lima puluh minit saya dibiarkan menunggu, En. Din pun muncul, sangka saya beliau telah selesai dengan pelanggan atau tetamu tadi, tapi sangkaan saya meleset, beliau mengiringi si tetamu tadi untuk menunjukkan sesuatu dan sempat berjabat tangan dengan saya dan meminta saya menunggu sebentar. Lega saya, penantian fasa kedua saya bermula lagi: lima minit berlalu, lima belas minit berlalu masih tiada tanda-tanda saya akan dilayan, semua suratkhabar yang dihidangkan telah saya baca termasuk iklannya.

Selepas lebih empat puluh minit, En. Din keluar semula, sangka saya selesailah sudah urusan beliau dengan tetamunya , namun jangkaan saya sekali lagi tersasar jauh. Beliau mengiring si tetamu tadi untuk melihat keadaan di luar pula, dan jadilah saya seorang penunggu dalam fasa ketiga pula. Selepas menunggu selama hampir setengah jam barulah saya dapat menemui En. Din bagi urusan saya pula, memang jelas urusan saya selesai dalam masa empat minit tetapi saya harus menunggu selama hampir dua jam! Bukankah lebih manis jika En. Din meminta izin kepada tetamunya untuk menemui saya sebentar sebelum meneruskan urusannya. Saya percaya jika pun saya tetamu En. Din saya masih bertimbang rasa membiarkan En. Din menyelesaikan urusan ringkas saya daripada membiarkan menunggu terlalu lama. Bukankah kita pernah memberi laluan kepada orang di belakang kita memotong barisan jika diminta dengan alasan dan kewajaran yang munasabah misalnya pembelian hanya satu barangan ketika kita beratur untuk membayar kepada juruwang berbanding kita yang sedang membeli untuk kegunaan sebulan.

KISAH 3

Baru-baru ini saya berkunjung ke sebuah agensi Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pendaftaran kenderaan di sebuah negeri jiran. Memandangkan ini kali kedua saya berurusan mengenai perkara yang sama, saya memohon untuk bertemu dengan Pengarahnya memandangkan permintaan saya akan hanya ditolak oleh petugas kaunter yang melaksanakan tanggungjawab dan amanah berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan.

Ketika saya sampai Pengarah tadi sedang bermesyuarat dan difahamkan akan hanya selesai dalam satu atau sejam setengah lagi, namun kerana saya percaya urusan saya hanya boleh diselesaikan oleh beliau, saya bersedia untuk menunggu sehingga selesai mesyuaratnya selepas dikhabarkan oleh pembantunya. Ketika saya sedang leka membaca surat khabar yang disediakan, tiba-tiba Tuan Pengarah tadi muncul kerana keluar untuk mengambil sesuatu dari biliknya, saya terus menghampiri dan menunjukkan surat bagi urusan saya, beliau berjanji akan keluar secepat mungkin selepas ini.

Selepas hampir sepuluh minit, beliau keluar dan memaklumkan bahawa mesyuarat masih berjalan dan memohon izin untuk keluar sebentar kerana ada yang sedang menunggu beliau, saya terus mengikuti beliau dan menceritakan perihal urusan saya dan semuanya selesai dalam tempoh tidak lebih tiga minit, beliau bergegas semula ke dalam bilik mesyuarat dan saya pulang dengan hati yang lega!

Selepas melalui pelbagai pengalaman perkhidmatan pelangggan yang mengerikan saya percaya rakyat Malaysia tidak kira sama ada peniaga kecil-kecilan ataupun kakitangan Kerajaan masih begitu prihatin untuk menyelesaikan masalah tanpa dibiarkan terus menunggu begitu lama. Mungkin pada pandangan En. Din saya hanyalah pelanggan kecil berbanding urusan beliau dengan tetamunya yang mungkin juga jelek dengan tingkah lakunya yang membiarkan seseorang menunggu begitu lama. Benarlah seperti yang saban kali dilaungkan: PENANTIAN SUATU PENYEKSAAN ….

Ulasan

wanman68 berkata…
perlu banyak kesabaran dalam apa jua urusan membabitkan manusia. persoalannya setakat mana kesabaran kita. Dia jua yang Maha Penyabar..
SIS berkata…
org yang menghargai masa akan menghargai setiap penantian.. kerana selepas setiap penantian pasti akan ada kebahagiaan.. perginya satu penyeksaan...yg penting kesabaran dan keikhlasan...
NASSURY IBRAHIM berkata…
Maaf, tuan. Tegur sikit.
Elakkan guna 'mereka-mereka' sebaliknya guna 'mereka' sahaja.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?