TOL PERCUMA, DISKAUN & SEMANGAT MERDEKA …

(Keratan akhbar Berita Harian mengenai kutipan tol semasa perayaan)

Tajuk utama akhbar Cetusan Hati Nurani Rakyat hari ini ialah mengenai tol percuma dan diskaun. Kisahnya bagaimana syarikat-syarikat konsesi tol berlumba-lumba untuk berjasa sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-53. Mendahului senarai pemberian tol percuma ialah Lingkaran Transkota Sdn Bhd (LITRAK), memberi laluan tol percuma kepada pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). bermula dari jam 12.01 pagi 31 Ogos sehingga tengah malam hari kemerdekaan. Khabarnya tol percuma di lebuh raya LDP adalah untuk semua jenis kenderaan termasuk kenderaan perdagangan.

Tiga syarikat konsesi lain iaitu Plus Expressway Berhad (Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson), Linkedua Sdn Bhd (Johor Baharu ke Singapura) serta Elite Sdn Bhd (Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah) bersetuju memberi diskaun 20 peratus pada 31 Ogos dan 1 September ini. Pemberian diskaun tol ini hanya untuk pengguna lebuh raya bagi kenderaan persendirian sahaja.

Bagi sebuah syarikat konsesi seperti LITRAK, pemberian tol percuma tidak akan meninggalkan sebarang kudis atau menjejaskan keuntungan mereka yang berjumlah 85 juta bagi tahun 2010. Walaupun dianggarkan lebih 450000 kenderaan menggunakan laluan LDP saban hari, ini hanya mungkin membabitkan perbelanjaan lebih kurang RM900,000 sahaja.

Sebenarnya usaha seperti yang dilakukan oleh LITRAK dan syarikat-syarikat konsesi lain memang kena pada tempatnya ketika Kerajaan berusaha memberikan ‘duit raya’ bagi mengurangkan beban rakyat. Tetapi jangan lupa kerana khabarnya LITRAK bakal mengemukakan cadangan bagi menaikkan bayaran tol di laluannya, maka masa itu barulah kita tahu nilai sebenar dan tanggungjawab korporat syarikat-syarikat konsesi ini, yang menjadikan perjanjian konsesi sebagai alasan mereka. Syabas dan tahniah kepada Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor kerana berjaya menyakinkan syarikat-syarikat konsesi untuk memberikan tol percuma dan diskaun kepada rakyat.

Kita tidak perlu berprasangka mengenai niat murni mereka sama ada untuk memberikan tol percuma atau diskaun kepada pengguna yang menggunakan laluan mereka sejajar dengan semangat merdeka yang dianuti mereka, tetapi bagi sebuah syarikat Malaysia seperti LITRAK yang memberikan tol percuma sempena sambutan kemerdekaan negara, sebenarnya masih dijajah mentaliti mereka, kerana syarikat milik rakyat Malaysia, berniaga di Malaysia, mendapatkan keuntungan dari Kerajaan Malaysia, mendapatkan pendapatan dari rakyat Malaysia, namun kandungan dan bahasa yang digunakan dalam laman sesawang mereka masih dalam Bahasa Inggeris! Merdeka Malaysiaku! Mungkin selepas ini Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor boleh memujuk syarikat seperti LITRAK supaya mendaulatkan Bahasa Melayu dalam urusan mereka khususnya dalam laman sesawangnya.

Ulasan

siti berkata…
sepatutnya syarikat2 konsesi lebih pemurah pun..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?