MISI MENCARI 'AMBENG'


Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Saya bukanlah pemakan yang tegar, tetapi akan merasa seronok mencuba sesuatu, misalnya jika dikhabarkan oleh kawan-kawan tentang nasi lemak sedap bawah jambatan, nescaya akan berusaha untuk sampai ke lokasi tersebut. Sebenarnya bukan apa pun hanya merasa seronok melalui proses pencariannya!

Minggu lepas ketika menonton sebuah rancangan televisyen yang menonjolkan juadah-juadah di bazar Ramadan, telah ditonjolkan mengenai nasi ‘ambeng’ di bazar Ramadan di Tanjung Karang. Oleh kerana anak-anak saya tidak pernah merasakan keunikan nasi ‘ambeng’ ini maka saya memulakan misi mencari nasi ‘ambeng’ di Tanjong Karang yang membawa saya mengembara sejauh lebih dua ratus kilometer dari kediaman saya sekarang.

Ketika sampai, saya sempat bernostalgia tentang sekolah rendah dan menengah saya di Tanjung Karang walaupun tidak seorang pun yang mengenali saya di pekan kecil saya menghabiskan usia kanak-kanak dan remaja saya. Walaupun gerai nasi ‘ambeng’ baru sahaja dibuka tetapi deretan pelanggan yang menunggu seperti saya memang ramai, malah saya yakin gerai tersebut tidak akan menang tangan sehingga sampai waktu berbuka, itulah yang dinyatakan kepada saya ketika saya bertanyakan mengenai perniagaannya.

Nasi ‘ambeng’ yang terdiri daripada nasi, serunding kelapa, ayam kicap, mee besar dan tumisan tempe dicampur sayur memang mengujakan apatah lagi dimakan secara berjemaah (ingatkan sembahyang aja berjemaah). Oleh kerana saya membesar di persekitaran orang-orang Jawa maka kisah nasi ‘ambeng’ bukanlah kisah yang asing bagi saya kerana telah biasa menjamah nasi ‘ambeng’ dalam pelbagai upacara kenduri kendara sewaktu melewati zaman kanak-kanak dan remaja saya.

Keunikan nasi ‘ambeng’ bukanlah digemari oleh semua orang apatah lagi dijamah secara berjemaah, ini kerana mungkin ada di antara kita yang ‘tak lalu’ nak makan secara begitu. Namun konsep nasi ‘ambeng’ yang unik menerapkan permuafakatan dan perpaduan serta semangat kekeluargaan tanpa mengira pangkat dan kedudukan di dalam masyarakat.

Konsep nasi ‘ambeng’ boleh diperluaskan dalam kemelut Malaysia Indonesia sekarang ini yang seakan ada ketidakpuasan hati sehingga terjadi insiden oleh segelintir rakyat Indonesia yang bergerak atas tiket Bendera yang memijak, membakar Jalur Gemilang, malah melemparkan najis ke bangunan kedutaan Malaysia di Indonesia sehingga mencetuskan ketegangan dan kegusaran terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia.

Mungkin Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim boleh memanfaatkan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWMI) dengan menganjurkan ‘AMBENG’ PERDANA bagi memupuk dan menilai kembali semangat setiakawan, permuafakatan di kalangan rakyat kedua negara. Betullah apa yang telah saya alami mengenai keseronokan menjamah nasi ‘ambeng’ anak-anak saya begitu teruja makan di bawah tanpa pinggan dan hanya berjemaah bersama, mungkin ini pengalaman baru buat mereka, mengingatkan saya bagaimana budaya masyarakat Jawa yang amat akrab sesama mereka sama ada ahli-ahli keluarga atau masyarakat sekeliling, mungkin latihan dari berjemaah nasi ‘ambeng’!

Share this article :
 

+ komen + 3 komen

sarip dol
27 Ogos 2010 11:33 PTG

salam tuan..tabik spring kpd tuan kerana sanggup pergi begitu jauh utk memenuhi keinginan anak-anak ...nasik ambeng mmg best..

anep
28 Ogos 2010 5:51 PTG

rasanya kat kg baru pernah ternampak jugak nasi ambeng ni..

SIS
1 September 2010 2:34 PTG

cadangan yg bagus sekali utk melaksanakan 'ambeng perdana'..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger