APABILA ‘PERDANA’ JADI MOMOKAN …


(Majlis Penyampaian Hadiah HSPM - Gambar ihsan: kubarasa.wordpress.com)

Jika dirujuk kepada Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, perdana bermaksud yang terutama. Maka apabila Hadiah Sastera Malaysia yang ditukar kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia, maka sesungguhnya ia diyakini akan mengangkat martabat sastera Malaysia. Bukan tidak pernah maruah Hadiah Sastera Perdana Malaysia tercalar dan mengguris kelompok pecinta sastera kita, apabila HSPM diberhentikan tanpa sebarang alasan dan kewajaran malah pemenang HSPM bagi tahun 2004/2005 hanya menerima hadiah mereka melalui pos dan bukan pada majlis yang sepatutnya memperdanakan sastera kita.

Catatan di atas hanyalah sebahagian dari cerita-cerita duka malah lebih banyak lagi yang sebenarnya boleh dirujuk sebagai ketidak seriusan sipenganjur yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakannya: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA! Malah, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sewaktu berucap pada majlis penyampaian hadiah HSPM, Januari lalu melahirkan rasa terkejut kerana HSPM tidak diadakan secara tetap dua tahun sekali. Majlis penyampaian hadiah sepatutnya diadakan pada 2006 dan 2008 yang lalu. Beliau menyelar DBP dan meminta (baca: mengarahkan) supaya HSPM diadakan setiap tahun dan bukan dua tahun sekali. Inilah perdananya Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Pada Sabtu lepas, satu sesi dialog telah diadakan di rumah PENA yang dikenali sebagai Dialog Orang Muda (DOM) dengan tajuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Perdana@Tidak? meminta status perdana yang total dalam semua aspek penganjurannya. HSPM yang pada peringkat awalnya dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia dilaksanakan setiap tahun dengan pengurusannya kelihatan lebih serius berbanding ketika ini. Malah ketika itu pada tahun 1970an, terdapat sebuah bilik khas yang diwujudkan di DBP untuk mengumpul karya-karya sastera dari pelbagai penerbitan di negara ini yang dilaksanakan secara sistematik oleh petugas khas. Karya-karya ini difotostat dan disusun untuk tujuan penilaian. Setiap bulan petugas-petugas akan membawa keratan-keratan ini ke rumah atau pejabat orang-orang yang telah dilantik sebagai panel hakim untuk dinilai.

Tetapi kini seperti yang didebatkan, HSPM sebagai kurang perdana apabila penulis dihendaki menghantar karya mereka untuk dinilai dan bukan dikumpul oleh sekretariat seperti masa lalu. Sesuai dengan keperdanaannya HSPM diharap akan terus mengalami penambahbaikan daripada semua aspek penganjurannya. Malah DBP yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan HSPM sewajarnya mempunyai sekretariat tetap yang mengumpul semua karya sastera yang tersiar di dalam semua pernerbitan di negara ini sebagai satu wadah memperkaya khazanah sastera negara. Selain dari mengumpul dan pendokumentasian yang sewajarnya, para juri juga haruslah sentiasa dinilai dan dipastikan agar telus dalam aspek penjurian yang kerap kali menimbulkan polemik.

Walaupun dalam setiap pertandingan nilai hadiah bukanlah suatu yang penting tetapi apabila nilai wang hadiah tidak berubah untuk sekian lamanya atau nilai hadiah jauh lebih rendah dari hadiah lain yang tidak perdana, tentulah akan mengundang pelbagai ketidakperdanaanya.

Sesuai dengan namanya Hadiah Sastera Perdana Malaysia diharap akan terus segar, bermaruah dan meriah sejajar prestij namanya!

Ulasan

anep berkata…
patut bagilah hadiah kete perdana..hahaha..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU