BULAN RAMADAN BULAN BUANG BAYI?
Marahlah kepada saya, katalah apa pun jika saya menyamakan Bulan Ramadan kali ini sebagai bulan buang bayi. Tapi itulah rakaman kekecewaan saya mengenai perkembangan akhir-akhir ini, fenomena buang bayi yang kian menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan jika diimbas pada setiap hari ada sahaja kes buang bayi dilaporkan sejak bermulanya Ramadan.
Kes pembuangan bayi kini telah menjadi wabak yang membimbangkan sama seperti wabak H1N1, denggi mahupun wabak penyakit yang pernah melanda negara kita. Pelbagai pihak telah menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing, malah yang terbaru pihak polis telah mengklasifikasikan kes buang bayi sebagai cubaan membunuh atau membunuh sebagai satu usaha bagi membendung gejala ini.
Kes pembuangan bayi bagi tahun ini sahaja telah dilaporkan meningkat sebanyak 154 peratus sejak Januari berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Setakat hari ini terdapat 65 kes pembuangan bayi dengan purata lebih 8 kes bagi setiap bulan.
Kalau kita agak teliti, kes pembuangan bayi yang kini kerap dilaporkan pada tanggapan saya berpunca sama ada dari sambutan malam tahun baru (31 Disember) saban tahun atau pun selepas sambutan Hari Valentine (14 Februari), ialah kerana jika ia bermula dari kedua tarikh tersebut maka bayi yang tidak berdosa yang menjadi mangsa buangan ini mungkin berusia di antara 6 ke 8 bulan pada ketika ini dan itulah lazim usia bayi yang tidak berdosa ini menambahkan statistik kes pembuangan bayi.
Walau apa pun hukuman yang menanti si pembuang bayi atau pun usaha bagi memastikan tiada pembuangan bayi misalnya pengenalan rumah perlindungan ‘Baby Hatch’ atau pun Sekolah Pelajar Mengandung yang dicadangkan di Jasin, Melaka, pada pendapat saya tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah sosial yang kemudiannya akan juga mendorong pembuangan bayi.
Masalah pokoknya ialah pergaulan bebas remaja dewasa ini. Seperti yang pernah diungkapkan oleh seorang teman saya yang celupar, mengulas mengenai ‘Celebration’ oleh sebuah jenama rokok beberapa tahun yang lalu melabelkannya sebagai ‘Selak Burit’ mahupun kegilaan remaja (ramainya remaja Islam) terhadap sambutan Hari Valentine dilihat akan menjadi punca kehamilan luar nikah yang akhirnya menyumbang kepada pembuangan bayi.
Maaflah keceluparan saya menyamakan Bulan Ramadan yang mulia sebagai Bulan Buang Bayi, itulah bukanlah hasrat dan tujuan saya, moga tulisan kecil ini akan menyedarkan siapa sahaja hatta diri saya sendiri tentang betapa kerdilnya makhluk bergelar manusia melayari kehidupan yang serba mencabar ini!
Ulasan
jaga diri hiasi peribadi.