BAZAR RAMADAN, BUFET RAMADAN, HALAL & HARAM ...

Setiap kali Ramadan menjelang, begitulah pula kemeriahannya dari jualan murah, jualan raya, promosi pelbagai cara sehingga ada pula saranan dari Nyonya Menteri supaya bulan Ramadan dijadikan sebagai tarikan pelancong ke negara ini hanya kerana pelbagai juadah dapat dirasai dalam bulan Ramadhan. Aduh.

Ramadan Al-Mubarak bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam malah menjadi rebutan bagi para peniaga untuk berniaga di Bazar Ramadan, sebutlah apa sahaja juadah semuanya boleh ditemui di Bazar Ramadan, sama ada juadah yang biasa dan yang luar biasa atau yang hanya boleh ditemui di Bazar Ramadan ketika bulan Ramadan. Ketika DBKL membuat undian bagi tapak Bazar Ramadan tempohari, bagi lebih 7000 tapak yang disediakan, hampir 20000 peniaga mencuba nasib. Begitulah terujanya berniaga di Bazar Ramadan.

Kisah saban tahun hotel-hotel menawarkan Bufet Ramadan dengan harga kadang-kadang mencecah RM100 bagi seorang bukanlah kisah luar biasa di negara kita dalam bulan Ramadan. Namun apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertanggungjawab mengenai urusan pensijilan Halal di negara kita mengeluarkan amaran kepada hotel-hotel agar tidak menyalah gunakan istilah Bufet Ramadan jika tidak mendapat pensijilan Halal bagi dapur hotel mereka. Apa yang lebih mengejutkan lagi banyak hotel di ibu kota masih tidak mendapat sijil Halal untuk dapur mereka, maka kita bertanya apakah JAKIM hanya beria-ia menjejaki dan memeriksa hotel-hotel ini dan menguar-uarkan mengenai isu dapur Halal hanya ketika bulan Ramadan.

Memang diakui proses mendapatkan pensijilan Halal adalah suatu proses yang rumit dan panjang, tetapi menjadikan ini sebagai alasan oleh hotel-hotel adalah amat tidak bertanggungjawab, adakah proses ini begitu rumit daripada membangunkan hotel itu sendiri.

Bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan kemuliaan umat Islam menjadi sedikit tersasar dengan pelbagai ‘cobaan’ daripada Bazar Ramadan, Bufet Ramadan yang diragui halal haramnya, lihatlah sahaja bagaimana sesaknya setiap lokasi Bazar Ramadan, maka kita bertanya itu sahajakah kemuliaan bulan Ramadan…

Ulasan

anep berkata…
cobaan Bazar Ramadan ..
warga bazar berkata…
matlamat Ramadan dah lama tersasar tuan, setuju

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?