APAKAH DOSA SURAT SOKONGAN?
Surat sokongan bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat Malaysia, malah ramai di antara kita pernah dalam hidup mereka terjebak dengan surat sokongan. Sebutlah apa sahaja urusan berkaitan dengan Kerajaan yang pernah melibatkan surat sokongan, malah ahli-ahli perniagaan (baca: usahawan) pernah juga mendapatkan surat sokongan orang-orang politik bagi menyokong usaha mereka terhadap sesuatu projek, tender mahupun cadangan kepada pihak Kerajaan. Malah saya sendiri memang acapkali memohon surat sokongan darilah mendapatkan sekolah yang diminta hinggalah kepada urusan perniagaan.
Saya tidak nampak apa salahnya mendapatkan surat sokongan (bukankah itu juga sebahagian dari usaha kita untuk mendapatkan sesuatu). Saya percaya wakil rakyat, Ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen (ketika itu), Setiausaha Politik, Ahli Majlis Tertinggi parti-parti politik mengeluarkan surat sokongan kepada rakyat yang meminta sokongan, sebutlah apa sahaja: permohonan sekolah berasrama, pertukaran sekolah, pertukaran tempat kerja, memohon biasiswa, jawatan kosong, kemasukan ke IPTA, malah sehingga memohon pengurangan dan pensturukturan pinjaman. Malah saya percaya semua orang politik sama ada dari barisan Kerajaan mahupun pembangkang berhak dan wajar mengeluarkan surat sokongan mengikut budi bicara masing-masing.
Namun begitu, bukanlah tugas mereka memastikan bahawa surat sokongan tersebut dipatuhi atau menjadi asas pemilihan bagi sesuatu projek atau tindakan, ini kerana surat sokongan hanyalah elemen minima dalam penilaian sesuatu perkara. Surat sokongan yang dikemukakan kepada jabatan bukan bermaksud ahli politik ingin campur tangan dalam menentukan sebarang keputusan, tetapi sekadar ingin membantu menyelesaikan masalah rakyat serta memastikan tindak segera.
Tanyalah siapa sahaja orang politik yang tidak pernah mengeluarkan surat sokongan, saya amat yakin hampir seratus peratus akan bersetuju mereka pernah mengeluarkan surat sokongan kepada rakyat di kawasan mereka.
Jadi apabila timbul kekecohan berhubung surat sokongan di Selangor yang melibatkan para pemimpinnya, saya hampir sahaja tidak percaya kerana isu surat sokongan menjadi begitu hangat, macamlah para pemimpin lain tidak pernah melakukannya!
Sepatutnya surat sokongan bukanlah suatu isu yang wajar dibincangkan, malah dalam sesetengah situasi surat sokongan tidak membawa sebarang makna, hanya sekeping surat jika tidak disertai merit!
Ulasan