BAPAK APA EMAK APA?


Binatang pun sayangkan anak mereka. Ketika kecil, jari saya hampir digigit oleh kucing kesayangan saya (yang saban hari mengikuti saya menaiki bas sekolah ke sekolah) hanya kerana saya menggangu anaknya yang baru berusia beberapa minggu.

Itulah reaksi spontan saya apabila melihat gambar tujuh dari sembilan beradik di Kuala Krai, Kelantan yang merayu kepulangan ibu dan ayah mereka dalam akhbar Berita Minggu semalam. Kesemua mereka berusia di antara 11 dan 3 tahun. Adalah tidak adil saya melabelkan mereka seperti judul entri ini, itu bukan maksud saya. Mungkin kita tidak tahu apakah permasalahan mereka berdua, pun kita tidak perlu tahupun, tetapi apabila kedua-dua memilih untuk membawa haluan masing-masing, siapakah yang harus bertanggungjawab terhadap anak-anak yang tidak berdosa ini? Tentulah tidak adil membebankan si datuk untuk terus menanggung cucu-cucunya.

Bukan sedikit yang pernah saya dengar mengenai perihal si bapa yang langsung tidak ambil pusing mengenai anak di bawah jagaan ibu mereka selepas berpisah dan mendapat isteri baru. Seolah-olah anak yang berbin dan berbintikan mereka tidak mempunyai apa-apa kesan peribadi dan sentimen pada mereka!

Kisah sembilan beradik di Kuala Krai memang menyedihkan, apakah tidak ada usaha menjejak ibu bapa mereka, apakah kedua ibu bapa ini tidak mempunyai adik beradik yang merupakan pakcik dan makcik anak-anak yang tidak berdosa ini, bukankah mereka boleh dipujuk bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka demi anak-anak.

Kalaupun sudah memutuskan untuk tidak hidup bersama, bukankah anak-anak adalah amanah Allah SWT untuk dipertanggungjawabkan. Kepada ibu dan bapa anak-anak kecil sembilan beradik ini, pulanglah demi anak-anak. Tiada yang lebih mulia apabila mereka berdua memilih untuk menjadi ibu dan ayah yang bertanggungjawab. Binatang pun tidak mungkin meninggalkan anaknya apatah lagi manusia yang mempunyai anak yang masih kecil dan memerlukan belaian ibu dan ayah mereka.

Kepada saudara Mahadi Che Mansor dan Kasmaliza Kassim, di mana sahaja anda berada, pulanglah demi anak-anak mu!

Dalam akhbar Utusan Malaysia pada Sabtu lepas, seorang bapa dipenjara kerana pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap seorang anak perempuannya yang kudung tangan kanan. Dua orang anaknya yang merupakan abang mangsa yang berusia 22 dan 24 tahun masing-masing dihukum penjara 36 tahun dan sebatan sebanyak 24 kali atas dua kesalahan yang sama. Memang menyedihkan, apabila seorang bapa pecah amanah yang digalas sebagai pelindung anaknya sendiri, moga hukuman penjara akan menjadi pengajaran kepada semua. Anak malang yang kudung tangannya masih menjadi habuan anak beranak adalah lebih teruk dari binatang!

Ulasan

siti berkata…
inilah mak bapak akhir zaman..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?