MERDEKA YANG BIMBANG ...
Setelah lebih separuh dekad menghirup udara kemerdekaan, selepas saya mula pandai membaca dan menghayati kemerdekaan seadanya (mengikut citarasa, acuan dan minda saya). Saya mula menghargai erti sebuah kemerdekaan dan menghargai udara kebebasan sebagai seorang manusia.
Seperti biasa saban kali sambutan merdeka menghampiri, pelbagai cara dan kaedah dipamerkan sebagai ‘mitos’ sambutan merdeka yang kononnya meningkat dan mempamerkan jati diri. Merdeka boleh disambut di mana sahaja dalam apa keadaan sekalipun asalkan berbatas dan menurut norma kehidupan sebagai seorang insan yang benar-benar merdeka. Ini tidaklah bermakna saya tidak senang dengan cara sambutan rakyat Malaysia sekarang ini, misalnya menghias kereta penuh dengan bendera, atau memasang Jalur Gemilang di bumbung rumah, atau membalut Jalur Gemilang gergasi di bangunan dan pelbagai cara lagi.
Selepas 53 tahun kita merdeka, saya tidak pernah merasa sebimbang sambutan merdeka kali ini, benar selalu merdeka saya penuh keceriaan dan semangat yang menggunung tinggi, tetapi merdeka kali ini saya diselubungi merdeka yang amat membimbangkan. Ialah selepas sekian lama kita menjadi jiran tetangga yang saling bertegur sapa, saling hormat menghormati, saling faham memahami, tiba-tiba sahaja beberapa hari menjelang kemerdekaan negara, Jalur Gemilang dipijak dan dibakar oleh jiran yang kita hormati selama ini. Memang perlakuan tersebut dilakukan oleh segelintir anak buah jiran kita yang jarang kita temui di rumahnya, tetapi bukankah mereka juga adalah anak buah jiran tersebut yang merupakan tanggungjawab jiran tersebut.
Perilaku anak-anak jiran yang membakar dan memijak Jalur Gemilang memang merobek hati merdeka kita, namun sebagai jiran yang baik tidak mungkin kita bertindakbalas dalam nada dan perlakuan yang sama, bukankah itu akan merendah adab dan martabat seorang jiran. Itu kisah jiran kita, belum lagi anak-anak sekampung dengan kita yang pelbagai ragam dan karenah, menuntut apa yang telah lama dipersetujui dengan alasan kampung ini milik semua sejajar dengan slogan yang baru diperkenal 1 Kampung!
Walauapapun perlakuan jiran atau anak-anak di kampung kita sendiri, sememangnya semangat Merdeka harus menjalar dan berkembang dalam diri kita semua dengan perasaan yang tulin dan tanpa prasangka, bukankah kita telah hidup begitu aman damai sehingga dikagumi oleh seluruh dunia! Semoga Merdeka ini dan merdeka seterusnya akan terus menjadi cermin kesyukuran untuk kita terus menghargai merdeka! 1 Malaysia Menjana Transformasi. Salam Hari Merdeka. Merdeka jiwa dan raga. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Ulasan
Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka
Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka
Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka
Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka