UNITED KINGDOM, AMERIKA SYARIKAT & INDIA …


Ketika mula-mula Timbalan Perdana Menteri  sekarang ini memulakan jawatan politiknya beliau juga merangkap sebagai Menteri Pelajaran, maka harapannya sinar dunia pendidikan seolah-olah diberi ‘tenaga diperbaharui’ yang baharu.

Memang banyak kemelut dan rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang Timbalan Perdana Menteri menjadi Menteri Pelajaran, namun kemelut kekurangan guru Bahasa Inggeris mencuri tumpuan, apa tidaknya di awal tahun 2010, dilaporkan negara memerlukan ataupun kekurangan hampir 13,000 guru Bahasa Inggeris.

Kini Januari 2013 bakal menjelang, selepas tiga tahun, dilaporkan pula negara masih kekurangan guru Bahasa Inggeris.  Yang terkini khabarnya akan diambil dari India pula.

Sebelum ini, kekurangan guru Bahasa Inggeris dilaporkan akan diambil daripada United Kingdom dan kemudiannya daripada Amerika Syarikat, malah pernah juga dilaporkan akan diambil daripada Australia.  Nampaknya Malaysia bakal merupakan pengimport guru Bahasa Inggeris.

Apa yang mengundang kemusykilan adalah bagaimana pihak-pihak berkepentingan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seolah-olah gagal merancang satu pelan jangkapanjang bagi mengatasi kemelut kekurangan guru Bahasa Inggeris.

Jika diambilkira bilangan Institut Perguruan dan IPTA yang menawarkan latihan ikhtisas untuk guru Bahasa Inggeris seperti Teaching English As A Second Language (TESL) tidak kurang banyaknya, malah graduan yang mengambil jurusan ini juga saban tahun meningkat, namun dikhabarkan pula sentiasa mengalami kekurangan khususnya bagi guru Bahasa Inggeris.

Apakah pihak-pihak seperti The Malaysian English Language Teaching Association (MELTA) yang merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1982 bertujuan untuk menggalakkan pengajaran dalam Bahasa Inggeris pernah diminta membantu pihak Kementerian Pelajaran bagi mengatasi kemelut kekurangan guru Bahasa Inggeris di negara kita.

Banyak pihak yang mempertikaikan keperluan mengambil guru daripada negara luar kerana dikhuatiri tidak dapat mengadaptasi budaya dan kaedah pendidikan di negara ini, apatah lagi mengambil pula daripada negara seperti India yang bukan penutur asalnya.

Malah ada insiden lucu  yang digambarkan oleh blogger Bernard Khoo di http://zorro-zorro-unmasked.blogspot.com/ mengenai bagaimana guru Bahasa Inggeris dari India dengan sebutan pekatnya namun gagal difahami, misalnya ungkapan lavatory yang sebenarnya merujuk kepada ‘laboratory’!

Harapnya tidak ada pihak-pihak yang berterusan mengharapkan kemelut kekurangan guru Bahasa Inggeris di negara ini sebagai satu usaha menawarkan atau ditawarkan peluang perniagaan yang baru!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bisnes masyuk bai..jgn tak tahu..
ct berkata…
kpm tiada plan jp ke..ramai pula grad tesl yg tdak dipanggil musytkil..
SIS berkata…
serampang dua mata la kononnya.. tapi mata yg satu lg tu tumpul sgt2...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU