UNITED KINGDOM, AMERIKA SYARIKAT & INDIA …
Ketika mula-mula Timbalan Perdana
Menteri sekarang ini memulakan jawatan
politiknya beliau juga merangkap sebagai Menteri Pelajaran, maka harapannya
sinar dunia pendidikan seolah-olah diberi ‘tenaga diperbaharui’ yang baharu.
Memang banyak kemelut dan
rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang Timbalan Perdana Menteri menjadi
Menteri Pelajaran, namun kemelut kekurangan guru Bahasa Inggeris mencuri
tumpuan, apa tidaknya di awal tahun 2010, dilaporkan negara memerlukan ataupun
kekurangan hampir 13,000 guru Bahasa Inggeris.
Kini Januari 2013 bakal
menjelang, selepas tiga tahun, dilaporkan pula negara masih kekurangan guru
Bahasa Inggeris. Yang terkini khabarnya
akan diambil dari India pula.
Sebelum ini, kekurangan guru
Bahasa Inggeris dilaporkan akan diambil daripada United Kingdom dan kemudiannya
daripada Amerika Syarikat, malah pernah juga dilaporkan akan diambil daripada
Australia. Nampaknya Malaysia bakal merupakan
pengimport guru Bahasa Inggeris.
Apa yang mengundang kemusykilan
adalah bagaimana pihak-pihak berkepentingan seperti Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) seolah-olah gagal merancang satu pelan jangkapanjang bagi
mengatasi kemelut kekurangan guru Bahasa Inggeris.
Jika diambilkira bilangan
Institut Perguruan dan IPTA yang menawarkan latihan ikhtisas untuk guru Bahasa
Inggeris seperti Teaching English As A
Second Language (TESL) tidak kurang banyaknya, malah graduan yang mengambil
jurusan ini juga saban tahun meningkat, namun dikhabarkan pula sentiasa
mengalami kekurangan khususnya bagi guru Bahasa Inggeris.
Apakah pihak-pihak seperti The
Malaysian English Language Teaching Association (MELTA) yang merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan pada
tahun 1982 bertujuan untuk menggalakkan pengajaran dalam Bahasa Inggeris pernah
diminta membantu pihak Kementerian Pelajaran bagi mengatasi kemelut kekurangan
guru Bahasa Inggeris di negara kita.
Banyak pihak yang mempertikaikan keperluan mengambil guru
daripada negara luar kerana dikhuatiri tidak dapat mengadaptasi budaya dan
kaedah pendidikan di negara ini, apatah lagi mengambil pula daripada negara
seperti India yang bukan penutur asalnya.
Malah ada insiden lucu yang digambarkan oleh blogger Bernard Khoo di http://zorro-zorro-unmasked.blogspot.com/ mengenai
bagaimana guru Bahasa Inggeris dari India dengan sebutan pekatnya namun gagal
difahami, misalnya ungkapan lavatory yang sebenarnya merujuk kepada ‘laboratory’!
Harapnya tidak ada pihak-pihak yang berterusan
mengharapkan kemelut kekurangan guru Bahasa Inggeris di negara ini sebagai satu
usaha menawarkan atau ditawarkan peluang perniagaan yang baru!
Ulasan