AES – AKU, ENGKAU & SAYA
Bisnes saman yang dipelopori oleh
kerajaan Barisan Nasional yang berkuatkuasa sejak 23 September lalu,
dikhabarkan amat lumayan. Apa tidaknya
atas nama kerjasama swasta dan kerajaan dan inisiatif pembiayaan swasta, dua
buah syarikat yang sangat dibela oleh menteri yang berkaitan seolah-olah
berlumba-lumba untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka.
Setakat ini lebih 10,000 saman
telah dijelaskan daripada 274,000 yang dikeluarkan, mungkin ini isyarat
bagaimana sistem AES sebenarnya adalah protes senyap rakyat terhadap sistem
ini.
Akhir-akhir ini banyak unsur ‘dramatik’
dalam bisnes saman ini, sama seperti ‘twist’
dalam filem. Yang terkini adalah apabila
Jabatan Peguam Negara mengarahkan semua prosiding mahkamah berkaitan saman AES
dibekukan. Anehnya pembekuan ini tidak
meliputi sistem operasinya, ini bermakna bahawa sistem ini akan terus
beroperasi dan notis saman tetap akan dikeluarkan.
Insiden penerimaan saman dan
nombor kenderaan yang tidak sama adalah satu lagi kelemahan yang kini dikesan
dalam sistem AES ini. Ini dimaklumkan
dalam satu sidang akhbar oleh Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching baru-baru
ini.
Sebenarnya daripada peringkat
awal lagi sistem AES ini telah dikesan dengan segala macam kemelut, walaupun
sistem ini digunapakai secara meluas di banyak negara. Soalnya di negara luar, pihak swasta tidak
terbabit dalam sistem implementasinya dan sepenuhnya adalah oleh kerajaan
sebuah negara, namun di Malaysia usaha ini seperti ‘dikawal’ oleh pihak swasta
iaitu dua buah syarikat yang dianugerahkan konsesi oleh Kerajaan.
Ironinya bisnes saman Barisan
Nasional ini ditentang bukan sahaja oleh pihak pembangkang malah juga oleh ahli
parlimen Kerajaan yang mahukan sistem ini dihentikan serta merta bagi
membolehkan kajian terperinci dilakukan.
Malah, semalam Presiden MCA menempelak Jabatan Peguam Negara yang
mengarahkan semua prosiding berkaitan AES ini dibekukan.
Apa yang menarik, ketika
mempertahankan implementasi sistem AES ini, dikhabarkan bahawa pihak
Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan telah beberapa lama
mengkaji sebelum pelaksanaanyanya, mungkin yang hanya dikaji begitu ‘mendalam’
adalah bahagian masing-masing apa yang bakal diperolehi sama ada oleh syarikat
konsesi mahupun oleh Kerajaan.
Sistem AES yang dikhabarkan dapat
mengurangkan kemalangan jalan raya di beberapa buah negara rupanya tidak mampu menyakinkan
rakyat negara ini, sehingga ada pihak-pihak yang bersedia menjadi ‘budak jahat’
sekiranya diperlukan dengan berani untuk membantu pesalah yang dikesan oleh
sistem AES.
Sama seperti hasrat kerajaan
melalui penswastaan sistem AES ini, si pesalah pula membentuk koloninya
sendiri, Aku, Engkau & Saya!
Ulasan