RAJA LAWAK SELEPAS 20 TAHUN
Beberapa minggu yang lepas ketika menonton teater Tamu Dari Medan Perang oleh para pelajar Jabatan Drama
Universiti Malaya, saya menjadi sangat beremosi, kerana setiap kali menonton
teater sama ada yang berbahasa Melayu mahupun berbahasa Inggeris, saya teringat
zaman ‘kemeriahan’ teater khususnya di Kuala Lumpur.
Beberapa tahun lepas pula ketika
Pak Lah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima, teater Wira Bukit karya
SN/SR A. Samad Said pernah diajukan untuk dipentaskan, namun beberapa hambatan
telah membantutkan usaha ini.
Hal ini mudah kerana Wira Bukit
sebenarnya adalah manifestasi kemelut para pemimpin pada ketika itu, namun Wira
Bukit tidak pernah menemui khalayak teater selepas pertama kali dipentaskan
ketika persidangan PATA pada tahun 1989. Pun begitu, Wira Bukit pernah dipentaskan di
negara jiran beberapa tahun yang lalu.
Maka apabila, Institut Terjemahan
& Buku Malaysia (ITBM) yang
diterajui oleh Sdr. Mohd Khair Ngadiron dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia
(PENA) yang dipimpin oleh Dr. Saleeh Rahamad mengumumkan pementasan teater ‘Raja
Lawak’ karya dan arahan Zakaria Ariffin, maka ‘ketagih’ teater saya bakal
terubat.
Teater Raja Lawak yang pernah
mencetuskan fenomena lebih dua dekad yang lalu, saya sendiri pernah beberapa
kali menitiskan air mata ketika menekuni pementasan ketika itu.
Raja Lawak adalah kisah kehidupan
yang diwakili oleh Osman Bombay, watak yang dipegang oleh pelakon Jalil Hamid
yang gah ketika awalnya dan mula dipinggirkan kerana perubahan masa. Gelojak emosi walaupun hanya seorang pelawak
cuba diungkapkan dalam teater Raja Lawak.
Mungkin ramai yang mengaitkan dengan sebuah filem Hindustan yang
terkenal dalam era 50an, ‘Mera Nam Joker’, tetapi Raja Lawak buah tangan
Zakaria Arifin lebih menyerlahkan realiti seniman di belakang
pentas berdepan konflik dan keperitan hidup.
Usaha ITBM dan PENA mementaskan
semula Raja Lawak adalah tepat pada masanya memandangkan ungkapan Raja Lawak
ketika ini sering merujuk kepada sebuah program realiti di Astro yang
menggunakan judul yang sama.
Diharapkan usaha yang disemai
oleh pihak ITBM dan PENA akan terus dibajai dengan karya-karya yang lain sama
ada oleh Sasterawan Negara mahupun karya bermutu penulis Malaysia.
Semoga pementasan teater Raja
Lawak selepas 20 tahun pada 16 hingga 25 Januari 2013 nanti di Auditorium DBKL,
serta usaha ITBM dan PENA akan
memberikan sinar baru untuk terus menikmati teater dalam erti kata sebenarnya!
Ulasan