JELAJAH & JAJAH BUDAYA


Apabila sebuah persatuan yang biasa-biasa dengan agenda yang luar biasa mengemukakan kertas cadangan bagi menganjurkan pelbagai kegiatan budaya dalam sebuah negeri maju, yang peruntukan memotong pokoknya lebih daripada peruntukan budaya, maka kertas cadangan diterima tanpa bantahan oleh pemimpin tertinggi negeri tersebut.

Antara yang dicadangkan oleh persatuan biasa-biasa dengan agenda kebudayaan luar biasa adalah menganjurkan siri Jelajah Budaya sebagai satu platform ‘merakyatkan budaya’.  

Siri ini dirancang untuk diadakan di setiap daerah dalam negeri Selangor, selain itu dalam setiap siri Jelajah di setiap daerah nanti pula akan dikenalpasti tokoh-tokoh yang akan diangkat sebagai Tokoh Budaya Daerah.

Siri pertama telah berlangsung pada 10 & 11 November 2012 yang lalu dengan sokongan padu oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Modal Insan Selangor, YB Dr. Hajah Halimah Ali. 

Walaupun mendapat sokongan padu seorang exco, namun masalah peruntukan yang disalurkan melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) hanya diterima dua hari menjelang acara yang dijadualkan, itupun selepas berbalas-balas sistem pesanan ringkas yang pedas sehingga pada satu ketika mahu sahaja diungkapkan ‘seperti nak putus sedara aje’!

Mujurlah siri pertama mendapat juga sokongan dan kerjasama pihak Majlis Perbandaran Klang, seperti yang diinginkan oleh Menteri Besar sendiri.  Pelbagai persiapan teknikal diurus oleh pihak MPK sehingga acara yang dirancang berjalan lancar walaupun cuaca dan hujan malam seperti enggan berkompromi.

Dalam siri pertama Jelajah Budaya daerah Klang, seorang tokoh telah dipilih daripada belasan yang dikenalpasti dan tiga yang disenaraipendek, Mak Mah atau nama sebenarnya Ruminah Sidek terpilih sebulat suara meskipun pelbagai polemik dalaman dan hujah sepanjang malam bagi merasionalkan pemilihan tokoh ini.

Kerana komitmen daripada pemimpin nombor satu negeri, maka ketika siri pertama bakal berlangsung, persatuan yang biasa-biasa ini telah pun memulakan gerak kerja bagi siri kedua yang dirancang di daerah Gombak pula. 

Syukurlah, pihak masjid di Rawang yang kebetulan sedang mahu menganjurkan Karnival Jom Pi Masjid telah mengundang persatuan yang biasa-biasa ini untuk turut sama menyumbang program bagi menjayakan karnival tahunan mereka.

Hasilnya ialah persatuan yang biasa-biasa ini mencadangkan supaya Jelajah Budaya siri kedua ini digabungkan dalam karnival tersebut, maka segala acara yang dirancang dalam siri Jelajah Budaya dilaksanakan dalam program karnival, menjadikannya lebih meriah dan mendekati sasarannya.

Pada siri kedua Jelajah Budaya pula bagi daerah Gombak, telah diangkat seorang tokoh budaya yang memang layak, Dr. Siti Zainon Ismail, seorang penyair, cerpenis, novelis dan budayawan telah terpilih daripada belasan calon yang dikemukakan.

Ironinya, peruntukan yang dijanjikan bagi setiap siri Jelajah Budaya masih tidak diterima sehingga selesai program pada 2 Disember yang lalu.  Apabila laporan program dihantar, maka penyata perbelanjaan dan penerimaan menunjukkan defisit kerana peruntukan yang dijanjikan masih tidak diterima.

Seperti juga siri kedua yang dimulai perbincangannya sebelum siri pertama terlaksana, perbincangan siri ketiga juga telah dimulai serentak dengan siri kedua dan apabila telah dikenalpasti tarikh, maka telah diputuskan bahawa siri ketiga akan berlangsung bagi daerah Kuala Selangor pada 14 & 15 Disember yang lalu.

Mungkin kerana hubungan budaya persatuan yang biasa-biasa ini dengan penggiat dan simpatis budaya, maka Jelajah Budaya siri ketiga bagi daerah Kuala Selangor telah mendapat kerjasama dan sokongan padu Pejabat Khidmat Penyelaras DUN Permatang yang diketuai oleh Sdr. Yahya Sahri.

Seperti juga program siri kedua yang dilaksanakan dengan program karnival Jom Pi Masjid, Jelajah Budaya siri ketiga adalah lebih unik, ini kerana ianya diadakan serentak dengan majlis perkahwinan anak seorang penduduk tempatan, Sdr. Torin Pejoh, malah pementasan teater diadakan sejurus selepas majlis akad nikah, sementara ketika persembahan malam anugerah tokoh budaya, acara persandingan pasangan pengantin juga ditampilkan sebagai satu pengisian kebudayaan.

Jelajah Budaya telah tiga siri berlalu, namun sikap para birokrat masih seperti dijajah mindanya.  Apa tidaknya,  peruntukan yang dijanjikan oleh pemimpin nombor satu negeri Selangor pada malam bulan Ramadhan seperti tidak punya apa-apa maknanya, malah khabarnya peruntukan pula telah dipotong sebanyak satu pertiga!

Dengan segala kepayahan dan senyum dibuat-buat, pembayaran kepada kumpulan dan individu yang membuat persembahan tetap dilaksanakan walaupun terpaksa memberikan cek lewat tarikh.

Di daerah Kuala Selangor, bagi siri ketiga Jelajah Budaya, seorang tokoh penulis khat yang istimewa telah diangkat sebagai Tokoh Budaya Daerah Kuala Selangor, Ustaz Rahmat Safie, insan istimewa dengan segala anugerah Allah SWT dan iltizam mengangkat martabat tulisan jawi terpilih sebagai tokoh.

Persatuan yang biasa-biasa dengan agenda budaya luar biasa yang ghairah menjelajah bagi merakyatkan  budaya nampaknya seperti dijajah oleh birokrat yang bermesyuarat dalam bilik berhawa dingin berkerusi empok, dan persatuan biasa-biasa pula saban kali bermesyuarat di gerai dan restoran dua puluh empat jam dengan memesan ‘teh O kosong’!
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

tok aki
18 Disember 2012 11:33 PG

seronok ada kementerian kebudayaan di malaysia..

18 Disember 2012 4:54 PTG

fenomena biasa2 dgn perangai2 biasa bagi yg nak keluarkan bajet...atas sbb janji tu yg kelat2 nak diberi...takut dicakap tak tepati janji...kesian yg org biasa2 yg bersusah payah melaksanakan program2 luarbiasa tuh..apa2 pun syabas...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger