JELAJAH & JAJAH BUDAYA
Apabila sebuah persatuan yang
biasa-biasa dengan agenda yang luar biasa mengemukakan kertas cadangan bagi
menganjurkan pelbagai kegiatan budaya dalam sebuah negeri maju, yang peruntukan
memotong pokoknya lebih daripada peruntukan budaya, maka kertas cadangan
diterima tanpa bantahan oleh pemimpin tertinggi negeri tersebut.
Antara yang dicadangkan oleh
persatuan biasa-biasa dengan agenda kebudayaan luar biasa adalah menganjurkan
siri Jelajah Budaya sebagai satu platform ‘merakyatkan budaya’.
Siri ini dirancang untuk diadakan di setiap
daerah dalam negeri Selangor, selain itu dalam setiap siri Jelajah di setiap
daerah nanti pula akan dikenalpasti tokoh-tokoh yang akan diangkat sebagai
Tokoh Budaya Daerah.
Siri pertama telah berlangsung pada
10 & 11 November 2012 yang lalu dengan sokongan padu oleh Exco Pendidikan,
Pendidikan Tinggi & Modal Insan Selangor, YB Dr. Hajah Halimah Ali.
Walaupun mendapat sokongan padu
seorang exco, namun masalah peruntukan yang disalurkan melalui Pemerbadanan
Menteri Besar (MBI) hanya diterima dua hari menjelang acara yang dijadualkan,
itupun selepas berbalas-balas sistem pesanan ringkas yang pedas sehingga pada
satu ketika mahu sahaja diungkapkan ‘seperti nak putus sedara aje’!
Mujurlah siri pertama mendapat
juga sokongan dan kerjasama pihak Majlis Perbandaran Klang, seperti yang
diinginkan oleh Menteri Besar sendiri.
Pelbagai persiapan teknikal diurus oleh pihak MPK sehingga acara yang
dirancang berjalan lancar walaupun cuaca dan hujan malam seperti enggan berkompromi.
Dalam siri pertama Jelajah Budaya
daerah Klang, seorang tokoh telah dipilih daripada belasan yang dikenalpasti
dan tiga yang disenaraipendek, Mak Mah atau nama sebenarnya Ruminah Sidek
terpilih sebulat suara meskipun pelbagai polemik dalaman dan hujah sepanjang
malam bagi merasionalkan pemilihan tokoh ini.
Kerana komitmen daripada pemimpin
nombor satu negeri, maka ketika siri pertama bakal berlangsung, persatuan yang
biasa-biasa ini telah pun memulakan gerak kerja bagi siri kedua yang dirancang
di daerah Gombak pula.
Syukurlah, pihak masjid di Rawang
yang kebetulan sedang mahu menganjurkan Karnival Jom Pi Masjid telah mengundang
persatuan yang biasa-biasa ini untuk turut sama menyumbang program bagi
menjayakan karnival tahunan mereka.
Hasilnya ialah persatuan yang
biasa-biasa ini mencadangkan supaya Jelajah Budaya siri kedua ini digabungkan
dalam karnival tersebut, maka segala acara yang dirancang dalam siri Jelajah
Budaya dilaksanakan dalam program karnival, menjadikannya lebih meriah dan mendekati
sasarannya.
Pada siri kedua Jelajah Budaya
pula bagi daerah Gombak, telah diangkat seorang tokoh budaya yang memang layak,
Dr. Siti Zainon Ismail, seorang penyair, cerpenis, novelis dan budayawan telah
terpilih daripada belasan calon yang dikemukakan.
Ironinya, peruntukan yang
dijanjikan bagi setiap siri Jelajah Budaya masih tidak diterima sehingga
selesai program pada 2 Disember yang lalu.
Apabila laporan program dihantar, maka penyata perbelanjaan dan
penerimaan menunjukkan defisit kerana peruntukan yang dijanjikan masih tidak
diterima.
Seperti juga siri kedua yang
dimulai perbincangannya sebelum siri pertama terlaksana, perbincangan siri
ketiga juga telah dimulai serentak dengan siri kedua dan apabila telah
dikenalpasti tarikh, maka telah diputuskan bahawa siri ketiga akan berlangsung
bagi daerah Kuala Selangor pada 14 & 15 Disember yang lalu.
Mungkin kerana hubungan budaya
persatuan yang biasa-biasa ini dengan penggiat dan simpatis budaya, maka
Jelajah Budaya siri ketiga bagi daerah Kuala Selangor telah mendapat kerjasama
dan sokongan padu Pejabat Khidmat Penyelaras DUN Permatang yang diketuai oleh Sdr.
Yahya Sahri.
Seperti juga program siri kedua
yang dilaksanakan dengan program karnival Jom Pi Masjid, Jelajah Budaya siri
ketiga adalah lebih unik, ini kerana ianya diadakan serentak dengan majlis
perkahwinan anak seorang penduduk tempatan, Sdr. Torin Pejoh, malah pementasan
teater diadakan sejurus selepas majlis akad nikah, sementara ketika persembahan
malam anugerah tokoh budaya, acara persandingan pasangan pengantin juga
ditampilkan sebagai satu pengisian kebudayaan.
Jelajah Budaya telah tiga siri
berlalu, namun sikap para birokrat masih seperti dijajah mindanya. Apa tidaknya, peruntukan yang dijanjikan
oleh pemimpin nombor satu negeri Selangor pada malam bulan Ramadhan seperti
tidak punya apa-apa maknanya, malah khabarnya peruntukan pula telah dipotong
sebanyak satu pertiga!
Dengan segala kepayahan dan
senyum dibuat-buat, pembayaran kepada kumpulan dan individu yang membuat
persembahan tetap dilaksanakan walaupun terpaksa memberikan cek lewat tarikh.
Di daerah Kuala Selangor, bagi
siri ketiga Jelajah Budaya, seorang tokoh penulis khat yang istimewa telah
diangkat sebagai Tokoh Budaya Daerah Kuala Selangor, Ustaz Rahmat Safie, insan
istimewa dengan segala anugerah Allah SWT dan iltizam mengangkat martabat
tulisan jawi terpilih sebagai tokoh.
Persatuan yang biasa-biasa dengan
agenda budaya luar biasa yang ghairah menjelajah bagi merakyatkan budaya nampaknya seperti dijajah oleh birokrat yang bermesyuarat dalam bilik berhawa
dingin berkerusi empok, dan persatuan biasa-biasa pula saban kali bermesyuarat
di gerai dan restoran dua puluh empat jam dengan memesan ‘teh O kosong’!
Ulasan