NEWSWEEK SELEPAS LAPAN DEKAD
(Majalah berita Newsweek keluaran 17 November 1972 - ketika saya mula pandai membaca!) |
Saya bukanlah daripada keluarga
yang elit, namun kerana arwah ayah saya seorang yang sangat pembaca orangnya
ditambah pula kerana tugas tambahannya sebagai wakil pos, ketika kecil, antara
majalah yang menjadi bacaan saya adalah majalah Newsweek.
Selain majalah Newsweek, saya
juga terdedah kepada majalah Time, Asia
Magazine (diberikan percuma dengan akhbar NST) dan pelbagai majalah luar
negara.
Saya sebenarnya tidak tahu
bagaimana majalah-majalah ini boleh sampai ke rumah saya. Ada juga kemungkinan dikirim oleh abang saya
kerana beliau bekerja di syarikat pengedaran majalah yang terkemuka di Malaysia
pada ketika itu.
Ketika memulakan kerjaya sebagai
pembantu penyelidik di sebuah entiti hampir dua dekad yang lalu, saya kembali
terdedah kepada Newsweek dan pelbagai
majalah luar negara bagi tujuan kerjaya saya.
Selepas 80 tahun, majalah Newsweek yang mula diterbitkan pada
Februari 1933 terpaksa tunduk kepada tuntutan peralihan zaman digital. Majalah Newsweek
versi cetak terpaksa dihentikan dengan edisi terakhir pada hari Isnin nanti.
Majalah berita mingguan kedua
terbesar di Amerika Syarikat diulit masalah penurunan pendapatan pengiklanan
dan kejatuhan pengedaran yang teruk.
Selepas meninggalkan dunia kerjaya penyelidikan saya, walaupun tidak
begitu mengikuti majalah berita Newsweek,
namun saya agak tersentak apabila membaca pula mengenai penamatan versi cetakan
majalah berita ini.
Mungkin selepas ini saya akan
mewarisi kegilaan membaca majalah berita seperti Newsweek, Time, The Economist dalam bentuk digital sesuai dengan
peralihan dan kecenderungan format digital sekarang ini.
Membaca majalah berita Newsweek dan pengunduran versi cetaknya
tentulah membuatkan saya merasa sebak kerana mengingati permulaan bacaan
majalah berita saya dimulai dengan majalah Newsweek
oleh arwah ayah saya!
Ulasan