CERITA TAHUN BARU, BANK UNTA & SKALA JENGKEL
Sana sini orang sibuk menantikan
tahun baru 2013 yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Ironinya sana sini orang tidak sibuk pula
apabila menyambut kedatangan awal Muharam beberapa minggu yang lepas. Mungkin harga yang terpaksa dibayar dalam
sebuah negara yang agama rasminya ialah Islam.
Menariknya cerita menjelang
sambutan tahun baru adalah perayaan sambutan itu sendiri yang dimulai dengan
pelbagai program di kaca televisyen, daripada filem-filem yang dihidangkan
dalam slot ‘countdown’ sehinggalah
konsert siaran langsung ambang tahun baru.
Selain itu yang sering
diungkitkan adalah azam tahun baru, sama ada oleh rakyat bawahan seperti saya
ataupun para pemimpin di pelbagai peringkat.
Malah telah juga ada ahli-ahli politik yang ‘buta rasa’ membuat azam
untuk memperbaiki majoriti dua pertiga yang bakal dimenangi oleh parti yang
mereka wakili. Mungkin akan ada teman-teman saya yang membaca catatan ini
akan gelak ‘berguling-guling’ membaca azam si ahli politik ‘buta rasa’ itu.
Dalam senario politik ‘tidak
menentu’ pada hari ini, dapat membentuk majoriti mudah dua pertiga pun sudah
boleh dibanggakan apatah lagi si ahli politik ‘buta rasa’ mendabik dada dengan
mengatakan bahawa parti yang mereka wakilii akan menang dengan lebih selesa dan
membentuk majoriti lebih daripada dua pertiga!
Ketika kita sibuk menghitung
detik meraikan sambutan tahun baru 2013, pecah pula sebuah berita bagaimana
Parti Sosialis Malaysia (PSM) cawangan Kajang dengan kumpulan hampir 40 orang
berpiket di hadapan cawangan bank unta di Balakong membantah lelongan sebuah
kediaman tanpa sebarang notis kepada pemiliknya.
Kisah rumah dilelong oleh bank
bukanlah cerita yang baru, namun mungkin Bank Negara Malaysia (BNM) menganggap
bahawa ini adalah urusan bank dan peminjam, namun apa yang cuba dibuktikan
sebenarnya adalah pelbagai kaedah ‘kotor’ yang dilakukan oleh institusi
kewangan untuk memudahkan proses ‘lelongan’, dalam kes yang digambarkan oleh
PSM Kajang ialah bagaimana pemilik rumah tidak pernah menerima sebarang notis
bagi maksud lelongan tersebut.
Sebenarnya kisah mengenai institusi
perbankan dan kewangan negara sering disebut dan menduduki skala kejengkelan
yang sangat tinggi, tanyalah rakyat atau pengguna bank sekalipun.
Selain itu, ada pula kumpulan
yang telah melancarkan mogok lapar selama 100 jam bermula jam lapan malam tadi
sebagai bantahan terhadap projek-projek yang memudaratkan kesihatan awam. Antara yang terlibat adalah empat beradik
berusia 10 hingga 17 tahun. Projek-projek
yang dimaksudkan mereka adalah seperti loji nadir bumi Lynas, loji penapis minyak
Pengerang, projek empangan mega Sarawak, pelombongan emas sianida di Bukit
Koman, dan projek kabel ketegangan tinggi di Rawang.
Agaknya jika para pelajar ini
bersekolah di sekolah kerajaan sudah pasti akan kedengaran ugutan oleh pemimpin
politik supaya mereka digantung sekolah, namun semangat para pelajar ini yang
dipimpin oleh ibu bapa mereka seharusnya memberikan isyarat yang jelas kepada
para pemimpin khususnya dalam membuat keputusan terhadap projek-projek yang
boleh memudaratkan kesihatan awam.
Seperti juga tindak tanduk
institusi perbankan dan kewangan di negara ini, projek-projek yang boleh
memudaratkan juga menduduki carta ‘kejengkelan’ rakyat, sesuai dengan slogan ‘rakyat
didahulukan, pencapaian diutamakan’!
Selamat Tahun Baru 2013!
Ulasan