TAMU DARI MEDAN PERANG & BURUNG CAMAR


Memang sudah lama saya tidak menonton teater, sebabnya mudah kerana tidak banyak persembahan teater di ibu kota, malah Istana Budaya yang dibanggakan lebih seronok mempersembahkan teater muzikal atas nama komersil.

Poster Tamu Dari Medan Perang & Neerparavai 
Malah ketika ketandusan menonton teater dalam erti sebenarnya, saya kadang-kadang seperti ketagih, malah menonton apa sahaja asalkan ianya teater dalam erti sebenarnya.

Ketika dipanjangkan jemputan dan hebahan mengenai persembahan teater Tamu Dari Medan Perang (TDMP) karya Dinsman oleh para pelajar Jabatan Drama Universiti Malaya, saya segera sahaja mahu menontonnya, kerana ketagihan terhadap persembahan teater selepas sekian lama.

Tamu Dari Medan Perang (TDMP) pernah dipentaskan oleh penulisnya pada tahun 2006 di Stor DBP (apa malangnya teater Melayu hanya layak dipentaskan di stor berbanding istana).

Teater ini memperlihatkan sikap ‘tidak apa’ ‘tidak peduli’ ‘tidak ambil tahu’ para pemimpin negara Islam yang melihat jihad dalam ruang lingkup yang sempit dalam konteks negara masing-masing walaupun sempadan dunia telah lama ditiadakan.

''Hari ini dunia tanpa sempadan, tuan. Tidak cukup kita berjihad di dalam sempadan negara kita sahaja. Faham Demokrasi-kebendaan yang dijulang oleh Amerika dan Eropah yang bukan Islam itu disebarkan ke merata-rata, seluruh dunia, segenap tempat. Dan itu bukan sekadar sebuah faham sekular yang tidak bersifat agama tetapi yang sebenarnya itu adalah anti-agama, anti-Islam dan against Islam”

petikan dialog Queen Jihadis ‘Tamu Dari Medan Perang’

Watak Sultan (seperti merujuk kepada sebuah negara paling kaya di Asia Tenggara seperti Brunei, hanya penulisnya yang tahu!) yang telah begitu selesa dengan keadaan negaranya seperti gagal melihat penderitaan umat Islam di negara lain dan tidak peka dengan pergolakan dan keresahan umat Islam yang dilabel sebagai pengganas.

Watak Queen Jihadis pula adalah hanya sebagai lambang kehadiran suara-suara yang menuntut keterlibatan para pemimpin dan umat Islam di seluruh dunia untuk turut berjihad  dengan perjuangan menentang kezaliman yang dipelopori oleh Barat khususnya Amerika. 

Usaha untuk membunuh ‘Bush’ Presiden Amerika hanyalah sebagai pencetus bagi mengajak umat islam dan para pemimpin negara  Islam untuk bersatu menentang sebarang bentuk kezaliman terhadap umat Islam.

Teater TDMP dipentaskan oleh para pelajar Jabatan Drama Universiti Malaya sebagai satu projek untuk penilaian mereka, pun begitu persembahan oleh pelajar-pelajar ini tidak mengecewakan apatah lagi untuk mengubat ‘ketagihan’ saya terhadap teater dalam erti kata sebenarnya.

Dalam TDMP, hujah terhadap Islam, umat Islam, para pemimpin Islam memang begitu menonjol, apatah lagi ditulis oleh Dinsman yang naskhah lainnya yang diangkat daripada hadis ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ telah lebih 60 kali dipentaskan.

Berbeza pula dengan sebuah filem Tamil yang saya tonton pada minggu lepas, Neerparavai yang bermaksud Burung Camar, latarnya adalah sebagai sebuah filem yang menonjolkan watak-watak Kristian di dalamnya.  Malah kisah cinta dalamnya berlatarbelakang gereja dan perkampungan nelayan majoritinya orang Kristian.  Kisah kecekalan seorang anak pungut yang ditemui di tengah lautan namun ditegah menjadi nelayan hanya kerana tidak dilahirkan di kampung tersebut.

Namun berbekalkan  semangat yang tinggi dan cinta yang membara, Arulappasamy seorang kaki botol yang tegar mampu berubah dan ingin membuktikan bagaimana dia mampu memiliki bot sendiri untuk turun ke laut dan menjadi anak laut. 

Filem ini mengangkat isu bagaimana ribuan nelayan di India yang hilang dan mati dibunuh di tengah lautan dan hilang tanpa jejak.  Cinta isteri Arulappasamy lakonan mantap  Nandita Das (Fire, Earth) yang dituduh oleh anaknya membunuh bapanya kerana menemui rangka tulang bapanya yang ditanam di belakang rumah mereka.

Sebenarnya mayat Arulappasamy ditemui bapanya mati ditembak di dalam bot dan dibawa pulang serta ditanam di belakang rumah mereka kerana cintanya yang mendalam. Tiada siapa pun yang tahu kerana si isteri tetap saban hari menanti kepulangan suaminya di pantai.

Neerparavai seperti juga Tamu Dari Medan Perang adalah dokumentasi protes terhadap ketidakadilan dalam hidup bagaimana anak laut yang tidak diketahui leluhurnya dihalang menjadi nelayan, dan dalam TDMP protes umat Islam terhadap Amerika dan ‘Bush’ kerana memfitnah Iraq dengan penemuan kononnya terdapat senjata pemusnah massa (WMD) dan menghalalkan serangan ke atas Iraq.

Menonton Neerparavai dan Tamu Dari Medan Perang, memang saling menyerlah bagaimana penulis menyuntik elemen dan kepercayaan masing-masing di dalam karya mereka, Dinsman sebagai seorang Islam dalam Tamu Dari Medan Perang dan Seenu Ramasamy dalam Neerparavai!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
jihad penulis..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?