RAJA LAWAK SELEPAS 20 TAHUN


Beberapa minggu yang lepas ketika menonton teater Tamu Dari Medan Perang oleh para pelajar Jabatan Drama Universiti Malaya, saya menjadi sangat beremosi, kerana setiap kali menonton teater sama ada yang berbahasa Melayu mahupun berbahasa Inggeris, saya teringat zaman ‘kemeriahan’ teater khususnya di Kuala Lumpur.

Beberapa tahun lepas pula ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima, teater Wira Bukit karya SN/SR A. Samad Said pernah diajukan untuk dipentaskan, namun beberapa hambatan telah membantutkan usaha ini. 

Hal ini mudah kerana Wira Bukit sebenarnya adalah manifestasi kemelut para pemimpin pada ketika itu, namun Wira Bukit tidak pernah menemui khalayak teater selepas pertama kali dipentaskan ketika persidangan PATA  pada tahun 1989.  Pun begitu, Wira Bukit pernah dipentaskan di negara jiran beberapa tahun yang lalu.

Maka apabila, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)  yang diterajui oleh Sdr. Mohd Khair Ngadiron dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang dipimpin oleh Dr. Saleeh Rahamad mengumumkan pementasan teater ‘Raja Lawak’ karya dan arahan Zakaria Ariffin, maka ‘ketagih’ teater saya bakal terubat.

Teater Raja Lawak yang pernah mencetuskan fenomena lebih dua dekad yang lalu, saya sendiri pernah beberapa kali menitiskan air mata ketika menekuni pementasan ketika itu.

Raja Lawak adalah kisah kehidupan yang diwakili oleh Osman Bombay, watak yang dipegang oleh pelakon Jalil Hamid yang gah ketika awalnya dan mula dipinggirkan kerana perubahan masa.  Gelojak emosi walaupun hanya seorang pelawak cuba diungkapkan dalam teater Raja Lawak.  

Mungkin ramai yang mengaitkan dengan sebuah filem Hindustan yang terkenal dalam era 50an, ‘Mera Nam Joker’, tetapi Raja Lawak buah tangan Zakaria Arifin lebih menyerlahkan realiti seniman di belakang pentas berdepan konflik dan keperitan hidup.

Usaha ITBM dan PENA mementaskan semula Raja Lawak adalah tepat pada masanya memandangkan ungkapan Raja Lawak ketika ini sering merujuk kepada sebuah program realiti di Astro yang menggunakan judul yang sama.

Diharapkan usaha yang disemai oleh pihak ITBM dan PENA akan terus dibajai dengan karya-karya yang lain sama ada oleh Sasterawan Negara mahupun karya bermutu penulis Malaysia.

Semoga pementasan teater Raja Lawak selepas 20 tahun pada 16 hingga 25 Januari 2013 nanti di Auditorium DBKL, serta  usaha ITBM dan PENA akan memberikan sinar baru untuk terus menikmati teater dalam erti kata sebenarnya!

Ulasan

ct berkata…
nostalgia..
SIS berkata…
akan dipastikan utk hadir teater nih..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU