PLKN & ANAK SAYA


Sejak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mula diperkenalkan oleh Kerajaan selepas penggubalan Akta Latihan Khidmat Negara 2003.  Kumpulan pertama para pelatih ini memulakan program latihan mereka pada Februari 2004.

Setiap tahun sebanyak tiga siri berlangsung dengan penyertaan lebih 140,000  di lebih 80 kem di seluruh negara.

Dua buah buku mengenai PLKN
Ketika program ini pertama kali diuar-uarkan dalam media massa, pelbagai cerita mengenai program ini sentiasa mengisi dada media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik.  

Daripada kisah yang menyeronokkan sehinggalah cerita-cerita tragis mengenai insiden-insiden di kem-kem latihan seperti kecederaan, kematian dan keengganan menyertai program ini.

Malah kisah Ahmad Harizal Ahmad Fauzie, remaja yang mencuri tumpuan rakyat Malaysia kerana menjadi orang pertama dijatuhi hukuman denda RM600 atau penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Kangar selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara kerana gagal menyertai PLKN di Kuala Nerang, Kedah pada tahun 2005.

Ironinya, kisah Ahmad Harizal bersulam cerita tragis bagaimana dia memilih untuk dipenjara kerana tidak mampu membayar denda kerana kemiskinan.  

Kes tersebut mencetuskan kegemparan sehingga Menteri Besar Perlis ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim membantu remaja itu menjelaskan bayaran denda dan melanjutkan pelajaran di Akademi Binaan Malaysia di Jitra.  Ahmad Harizal kemudiannya menyertai PLKN di Kem Tasoh pada Julai 2006. 

November lepas, ketika anak sulong saya masih sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia telah maklum terpilih sebagai pelatih PLKN bagi Siri 1/2013, melalui semakan di dalam laman sesawang mengenai PLKN.

Walaupun telah bersedia secara mentalnya, bagi menimbulkan keghairahan dan ‘enjoy’ menyertainya, saya sengaja mencarikan bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengan PLKN, antara yang saya temui ialah buku nukilan bekas pelatih, buku berjudul Diari Khidmat Negara, nukilan Ilyana Hamdan.  

Ilyana Hamdan pelatih PLKN Siri 1/2007 sebenarnya menghasilkan sebuah buku yang merupakan dokumentasi mengenai kehidupannya selama mengikuti program PLKN selama tiga bulan.

Buku berwarna penuh ini saya temui di dalam internet, walaupun ada cerita bagaimana penulisnya merasa bangga buku ini didapati di kedai buku besar seperti MPH, namun apabila saya menghubungi pihak MPH dan bertanyakan buku ini, tidak satu pun naskhah yang terdapat di mana-mana kedai buku MPH di Semenanjung kecuali di sebuah di Sarawak!

Mungkin ini adalah nasib penerbit kecil seperti Excel Writers yang menerbitkan buku Diari Khidmat Negara, khabarnya penerbitan ini dimiliki oleh keluarga penulisnya, kerana bagi menembusi kedai-kedai buku seperti MPH, minimum komisen yang diminta agak tinggi kadang-kadang mencapai sehingga 60 peratus. 

Kerana tiada pilihan, saya memesan dengan mengikut langkah-langkah dalam laman sesawang diarikhidmatnegara.blogspot.com, walaupun penulisnya mengikuti program PLKN pada tahun 2007, penerbitan bukunya hanya direalisasikan pada tahun 2009, dua tahun selepas selesai program ini.

Buku Diari Khidmat Negara sebenarnya sebuah buku ‘pembuka mata’ bagi bakal para pelatih, kerana buku ini menggambarkan secara rinci apa yang bakal ditempuhi oleh seorang pelatih PLKN.

Sebuah lagi buku, Celoreng Biru nukilan jurulatih PLKN, Azzah Abdul Rahman juga dihasilkan pada tahun 2009, yang saya pesan daripada penulisnya sendiri kerana gagal mendapatkan di kedai-kedai buku.  Sehingga tulisan ini dimuatnaik, saya masih menantikan buku kerana kelewatan membuat pesanan daripada penulisnya.

Saya memang yakin dengan program PLKN, maka apabila ada anak-anak kawan mahupun saudara mara yang dikatakan ‘bernasib baik’ kerana terlepas daripada mengikuti program ini, maka saya telah memasang azam untuk memastikan anak saya akan terpilih menyertai program PLKN, hatta jika pun perlu merayu kepada pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN)!

Pada saya adalah satu kerugian kerana tidak dapat menyertai program PLKN yang sangat bermanfaat khususnya ketika gejolak zaman teknologi dan internet apabila remaja lebih senang mendakap iPad, tablet dan telefon bimbit!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
tahniah tuan kerana menyokong plkn..
Tanpa Nama berkata…
bapa misali,..
SIS berkata…
buku ohh buku...klau diberi sykt tn ks yg terbitkan buku tu pun tak pe kan..mesti byk promosi dan byk terjual...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?