MENGIMBAU BALING SELEPAS 38 TAHUN
Sejarah ditulis oleh pemenang –benarlah
aksioma ini apabila peristiwa demonstrasi Baling yang terjadi pada 3 Disember
1974 seolah-olah tidak dicatat dalam lipatan sejarah negara. Rundingan Baling, peristiwa Memali antara
yang mewarnai daerah Baling di Kedah.
Peristiwa demonstrasi Baling yang
melibatkan ribuan mahasiswa institusi pengajian tinggi negara khususnya pelajar
dari Universiti Malaya (UM) dan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah rentetan daripada kebangkitan penduduk miskin di Baling dinafikan hak mereka
sebagai rakyat di sebuah negara merdeka.
Pada 10 Disember yang lalu,
program Syarahan Baling telah diadakan dalam sebuah auditorium yang penuh bagi
mengimbau kembali peristiwa demonstrasi di Baling pada tahun 1974.
Rupanya ramai yang tidak sedar
kebangkitan rakyat di Baling, hal ini adalah mudah kerana negara yang telah
ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional seperti tidak mahu rakyat khususnya
generasi muda mengetahui mengenai kebangkitan rakyat di Baling. Ironinya peristiwa di Baling adalah rentetan ‘penipuan’
oleh kerajaan kepada rakyat miskin bandar di Johor iaitu di Tasik Utara.
Bayangkan para penduduk yang digalakkan
menetap di kawasan yang didirikan rumah beberapa bulan lalu tiba-tiba menjadi
gelandangan sebulan selepas Pilihanraya Umum 1974, iaitu dalam bulan puasa,
anehnya kampung yang diruntuhkan itu dinamakan Kampung Barisan Nasional!
Peristiwa Baling 1974 menyaksikan
ramai pelajar universiti yang ditahan ekoran demonstrasi tersebut, antaranya pemimpin pelajar ketika itu seperti Anwar
Ibrahim, Kamaruzaman Yaacob, Idris Jauzi manakala Hishamuddin Rais telah
berjaya melarikan diri ke luar negara.
Tidak banyak catatan rasmi
mengenai peristiwa Baling 1974 ini, namun rakaman ini adalah sebahagian
daripadanya.
“Pada November-Disember 1974, berlaku
Peristiwa Baling. Pada 19 November 1974, lebih 1,000 orang petani yang miskin
di Baling mula mengadakan demonstrasi. Pada 21 November, jumlahnya menjadi
lebih 13,000 orang dan menjadi 30,000 pada 1 Disember. Seramai 5,000 orang
mahasiswa mengadakan demonstrasi pada 3 Disember di Kuala Lumpur sebagai
menyokong nasib mereka dan mendesak kerajaan supaya dengan segera menyelesaikan
masalah inflasi; menaikkan harga getah ke tahap yang munasabah; dan,
mendedahkan dan menghukum semua Menteri dan Menteri Besar yang rasuah. Seramai
1,128 orang mahasiswa telah ditahan.”
Kalau Saya Mahasiswa – Saifuddin Abdullah
Walaupun Akta Kolej dan Kolej
Univeristi (AUKU) telah diperkenalkan pada 18 Mac 1971 lagi, namun peristiwa
Baling telah memberikan kesan yang hebat sehingga pindaan terhadap seksyen AUKU
1971 telah diluluskan oleh Parlimen pada 8 April 1975 yang menghalang
penglibatan para mahasiswa dalam isu-isu rakyat seperti di Baling dan Tasik
Utara.
Syarahan Baling adalah satu usaha
bagi memberikan gambaran sebenar peristiwa Baling dan rentetan peristiwa Tasik
Utara, apa yang dilakukan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) adalah satu usaha
pencerahan tentang pelbagai dasar oleh Kerajaan yang telah lebih setengah abad
memerintah Malaysia.
Kebangkitan rakyat di Baling
sebenarnya adalah manifestasi apa yang sedang berlaku akhir-akhir ini khususnya
selepas tahun 1998 yang menyaksikan peristiwa reformasi di ibu kota. Walaupun negara sedang melangkah menjadi
negara maju menjelang tahun 2020, namun isu-isu seperti perumahan, inflasi,
kenaikan harga barangan masih menjadi dasar dan rungutan berterusan dalam
kalangan rakyat negara ini.
Selepas 38 tahun, walaupun Baling
secara fizikalnya telah dijalari pembangunan ‘kosmetik’ apakah ada para
pemimpin kerajaan yang berani mendabik dada bahawa tidak ada rakyatnya yang
masih lagi di bawah paras kemiskinan!
Ulasan
(Kata sahabat ini, pengaruh termakan@terhutang budi itu tersangatlah jelas kelihatan dalam tradisi menghulurkan sebatang rokok kepada seorang Melayu - apatah lagi yang menghulurkannya sebatang rokok itu Orang Besar. Sehingga ke liang lahad pun seorang Melayu akan terhutang budi kerana sebatang rokok itu).
Kaedah dan cara jawatan PM itu digilir-gilirkan juga kelihatannya besar dipengaruhi penyakit terhutang budi ini. Apakah benar bahawa kita, rakyat Malaysia diberikan pemimpin kerana ada orang yang terhutang budi?
Apakah kaitan peristiwa Baling dan Kampung BN di Johor ini dengan cerita terhutang budi ini? Pengajarannya ialah orang-orang Melayu sewajarnya sudah cukup sedar bahawa selama ini betapa mudahnya mereka ditipu dan tertipu oleh manupulasi penyakit terhutang budi ini di kalangan mereka!
Wallahuaklam.