TOLONG BAYARKAN HUTANG SAYA!
Sama ada kita menyedari atau
tidak setiap daripada kita, rakyat Malaysia sebenarnya mewarisi hutang sejak
dilahirkan. Hutang Kerajaan Pusat ketika
ini adalah pada paras RM456.1 billion di mana bersamaan dengan 53.5% daripada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Daripada jumlah tersebut, RM438.0
billion adalah hutang dalam negeri atau bersamaan 96.0% manakala RM18.1 billion
atau 4% pula adalah hutang luar negeri.
Adalah amat sukar untuk memahami situasi ini bagi orang awam seperti
anda dan saya. Jika diambil kira, setiap
rakyat Malaysia termasuk bayi yang baru lahir akan mewarisi hutang sebanyak
RM15,645 jika diandaikan penduduk Malaysia adalah seramai 28 juta orang.
Memang ada pandangan mengenai
hutang dalam Islam yang sangat dituntut untuk membayarnya. Anehnya sekumpulan rakyat Selangor (malu
menyebutnya sebagai rakyat Selangor yang maju) yang berdemonstrasi menuntut agensi
kerajaan negeri mengambilalih hutang mereka yang keseluruhannya berjumlah RM50
juta.
Itulah yang dilaporkan oleh media
semalam, apabila sekumpulan 350 pembeli rumah Perbadanan Kemajuan Negeri
Selangor (PKNS) menuntut perbadanan itu mengambilalih hutang mereka bagi
menyelamatkan daripada rumah mereka dilelong.
Alasan yang digunakan oleh
kumpulan ini adalah jika Kerajaan Negeri sanggup membeli hutang Talam
Corporation sebanyak RM392 juta, mengapa perkara sama tidak boleh dilakukan
untuk membantu rakyat miskin. Yang lebih
menganehkan adalah kumpulan ini diwakili oleh sebuah NGO (K) yang digelar
Prihatin.
Apa yang menjadi kemusykilan
adalah hutang ini merupakan hutang peribadi oleh sipembeli rumah yang tiada
paksaan oleh mana-mana pihak untuk memeterai perjanjian jual beli dan
pembiayaan di antara pihak bank, pembeli dan pemaju. Bayaran balik bagi perumahan ini mungkin
diantara yang dimampui oleh sipembeli, jika tidak tentulah pilihan untuk
membelinya tidak dibuat oleh pembelinya.
Kini mereka berdemonstrasi untuk ‘memaksa’
Kerajaan Negeri melalui agensinya mengambilalih hutang mereka dan
menstrukturkan semula dengan perjanjian pembayaran balik sebanyak RM500.00
sebulan, apakah rasional tindakan ini jika pada masa ini pun mereka gagal
membayar balik pinjaman mereka sehingga memaksa bank bertindak untuk melelong
rumah mereka?
Sama ada kumpulan ini atau lebih
ramai lagi yang tidak faham mengenai kaedah yang digunapakai oleh Kerajaan
Selangor bagi mendapatkan balik hutang yang telah pun dijanji untuk dilunasi
sejak tahun 2006 (baca: semasa pemerintahan Kerajaan BN).
Pengambilalihan hutang daripada
sebuah entiti seperti Talam Corp bukanlah semudah mengambilalih hutang individu
seperti kumpulan pemilik rumah dari Shah Alam, Taman Datuk Harun, dan Kelana
Jaya sehingga perlu membuat demonstrasi, malah sebenarnya pihak institusi
kewangan mempunyai mekanisme mereka tersendiri untuk menstruktur semula
pinjaman perumahan mereka jika mereka sanggup berunding, dan bukanlah berdiam
diri sehingga pihak institusi kewangan mengambil langkah akhir untuk melelong
hartanah mereka.
Analogi yang ditimbulkan oleh
kumpulan ini bahawa hutang Talam Corp boleh diambilalih, mengapa tidak hutang
mereka, adalah amat dangkal, menjengkelkan dan menunjukkan sikap pentingkan
diri mereka, tanpa memikirkan perasaan jutaan rakyat Selangor seperti anda dan
saya.
Apa istimewanya kumpulan ini yang
akibatnya daripada tindak tanduk mereka sendiri sehingga perlu menuntut dan
mendesak dengan cara yang tidak bermaruah (melalui demonstrasi) untuk
diambilalih hutang mereka?
Sepatutnya hutang individu
seperti kumpulan seramai 350 orang ini adalah di bawah tanggungjawab mereka
sendiri, malah terdapat pelbagai kaedah lain yang boleh digunapakai untuk
penstrukturan semula hutang mereka, dan bukannya menggunakan desakan kepada kerajaan
negeri!
Seperti ungkapan yang sering
dilafazkan oleh seorang teman saya “pagi-pagi makan pengat, sendiri mahu ingat”! Maaf, tulisan ini ingin merayu kepada
Kerajaan Negeri untuk membantu saya membayar hutang kepada bank, tolonglah!
(Nota Kaki: Tulisan ini tidak
bermaksud untuk ‘menghina’ kumpulan yang mendesak pengambilalihan hutang mereka
oleh agensi Kerajaan Negeri, namun mempertikaikan kewajaran tindakan mereka ‘mendesak’
Kerajaan Negeri)
Ulasan
Budaya Malaysia boleh - orang lain berhutang, orang lain bayarkan atau dilupuskan terus.
kedangkalan seperti ini harus ditolak..
pendek kata ada cerdik pandai mengatakan, "aku boleh berhujah bersama-sama org2 alim dan cerdik pandai, tetapi aku tidak boleh berdebat dgn org2 yg bodoh dan mereka yg berlakon bodoh"