DANA ASING & KEBEBALAN POLITIK TAHAP TINGGI


Sejak beberapa minggu  yang lalu, kecoh mengenai suntikan dana asing ke dalam pertubuhan  bukan Kerajaan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), malah portal berita Malaysiakini juga diheret sama dalam kancah ini.

Kisah suntikan dana asing ke dalam badan-badan bukan kerajaan bukanlah perkara baru, malah tindakan Kerajaan Barisan Nasional mendedahkannya samalah seperti melangkah dua dekad ke belakang, kerana pendedahan ini seolah-olah sesuatu  perkara baru di Malaysia mungkin hanya pada Barisan Nasional.

Selepas itu pelbagai agensi digembelingkan bagi menyiasat dana asing yang diterima oleh SUARAM, malah menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Syarikat pula seperti kemaruk membuat kenyataan mendahului siasatan yang dilakukan oleh agensi di bawah kementeriannya.

Negara maju seperti Malaysia yang mempunyai hubungan politik dan ekonomi dengan banyak negara dunia termasuk kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Britain tentulah juga mempunyai hubungan sesama pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan di negara-negara tersebut.

Seperti juga negara-negara maju yang lain, tentulah juga akan ada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan bagi melaksanakan sesuatu objektif berdasarkan undang-undang tubuh badan-badan tersebut, misalnya SUARAM yang sebenarnya lahir selepas Operasi Lalang yang menyaksikan 106 pemimpin politik dan aktivis ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987.

Sejak itu, SUARAM ditubuhkan bagi menyalurkan suara rakyat Malaysia yang tertindas dengan akta dan undang-undang zalim seperti ISA.   Bolehkah pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan seperti SUARAM memanjangkan hayat mereka dengan dana sumbangan kecil rakyat negara ini, dan menjadi kewajipan penggeraknya untuk terus melaksanakan objektif penubuhan mereka walaupun mendapat tajaan, sumbangan dan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan daripada negara lain.

Hanya mereka yang bebal politik sahaja yang akan menganggap bahawa sumbangan dana asing oleh pertubuhan dan badan-badan asing sebagai campurtangan kuasa asing terhadap kedaulatan sesebuah negara.

Malah yayasan politik seperti Konrad Adenauer Stiftung yang berpengkalan di Jerman sangat aktif melaksanakan pelbagai aktiviti di Malaysia selain di lebih 120 buah negara di seluruh dunia malah mereka juga mempunyai pejabat di hampir 70 buah lokasi di seluruh dunia termasuk di Malaysia.  Adakah tindakan mereka mendanai pelbagai aktiviti bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia sebagai campur tangan kuasa asing?

Hanya kerana kesedaran di kalangan generasi muda terhadap sistem demokrasi yang kurang berpihak kepada pemerintah maka pelbagai jalan dan alasan dicari bagi menekan pihak-pihak seperti SUARAM dan portal berita Malaysiakini.

Ironinya tindakan ke atas SUARAM dilihat seperti tekanan kepada mereka kerana peranan mereka dalam pendedahan  isu pembayaran komisen pembelian kapal selam Scorpene serta pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribu.

Selepas lebih setengah abad negara mencapai kemerdekaan, apakah telah ada satu kajian bahawa sumbangan dana asing daripada pertubuhan atau badan-badan daripada negara luar mampu menggugat kestabilan negara kita.  Malah adalah lebih mengejutkan kerana terdapat juga para penyelidik daripada universiti tempatan dibiayai oleh pertubuhan dan institusi penyelidikan negara luar dengan pendekatan perkongsian akademik dan nilai intelektual.

Jika inilah wajah sebenar BN dalam usaha menyekat pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti SUARAM, dengan alasan didanai oleh sumber asing, apakah pihak-pihak seperti BN sanggup mendanai objektif penubuhan badan-badan ini atas nama memugarkan demokrasi dan kefahaman kepada generasi muda.

Bukankah memang terdapat peraturan yang melarang kemasukan dana asing misalnya seperti yang diterima oleh pihak seperti SUARAM dan portal berita Malaysiakini yang boleh digunapakai terhadap mereka, tetapi mengatakan bahawa sumbangan dana asing kepada pertubuhan di negara ini boleh mencetuskan campurtangan kuasa asing rasanya seperti kebebalan tahap tinggi!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
takut cerita scorpene terbongkar..
anep berkata…
budaya menakutkan rakyat
saripdol berkata…
klau begitu dah lama negara ini terjajah semula..hik hik hik..
ani berkata…
ameno yng bebal..
SIS berkata…
sesi nak cari salah...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?