GRADUASI BERSAMA AES!
Jika anda seorang pemandu yang
berhemah, dengan pemanduan yang amat teliti, tidak pernah dikenakan saman, hidup
anda bakal berubah selepas ini.
Cawangan
Trafik Polis DiRaja Malaysia misalnya mengeluarkan dua jenis notis saman – POL 170A
yang diberikan secara langsung kepada
para pemandu yang melakukan kesalahan dan POL 257 atau yang lebih dikenali saman
ekor.
Mulai 23 September 2012 yang
lalu, misalnya Jabatan Pengangkutan Jalan memperkenalkan AES atau Sistem
Penguatkuasaan Automatik. Khabarnya
dalam tempoh 10 hari sahaja sebanyak 63,558 imej kesalahan telah
dirakamkan, dengan hanya 14 buah kamera!
Anda mungkin menganggap bahawa
jika anda pemandu yang berhemah dan teliti, anda tidak mungkin melakukan kesalahan, namun
jangan lupa objektif utama pemasangan sistem AES oleh kerajaan adalah ‘kononnya
bagi mengurangkan kemalangan jalan raya’, namun begitu apabilanya ianya dilaksanakan
secara inisiatif pembiayaan swasta, maka ia telah menjadi satu lagi industri
baru bagi menjana pendapatan bukan sahaja kepada syarikat swasta tersebut,
tetapi juga pihak KERAJAAN.
Sistem AES bukanlah baru, pada
tahun 1997 sahaja sebanyak 75 buah negara telah menggunakan sistem ini, malah
sesetengah negara telah melakukan uji cuba seawal tahun 70an. Di Amerika
Syarikat misalnya, penggunaan AES tidak begitu menjadi kerana kurangnya
sokongan awam dan perundangan. Di Norway
pula, sistem ini tidak diteruskan.
Walaupun di negara ini sistem AES
diperkenal bagi mencapai tujuan yang murni, namun ianya harus dilakukan secara
telus dan tidak menganggapnya sebagai satu lagi model menjana ekonomi. Salah satu aspek yang sering ditimbulkan
adalah peringatan di mana sistem ini dipasang, dengan papan tanda yang jelas
supaya para pemandu mahupun pengguna jalan tidak melihatnya sebagai satu ‘lukah’
untuk memerangkap mereka.
Pelbagai pihak telah menyuarakan ‘bantahan’
mereka, malah kerajaan negeri Pulau Pinang telah menangguhkan pelaksanaannya
sehingga satu kajian terperinci dilaksanakan.
Ahli Parlimen daripada Kerajaan dan pembangkang juga mahukan sistem AES
ini dikaji semula kerana dikhuatiri akan menjadi ‘medan penganiyaan rakyat’.
Walaupun di kebanyakan negara
dilaporkan bahawa kadar kemalangan maut mampu dikurangkan sehingga 40% dengan
penggunaan sistem AES, namun kejayaan ini mungkin hanya tinggal statistik di
negara kita, ini kerana pelaksanaan sistem ini adalah melalui usaha bersama
pihak swasta yang tidak berkongsi aspirasi murni pihak Kerajaan dalam usaha
mengurangkan kadar kemalangan maut.
Satu lagi persoalan adakah pihak
yang membangunkan sistem AES ini juga dilindungi dengan perjanjian berat
sebelah seperti yang dipraktikkan dalam isu pelaksanaan pembinaan lebuh raya
bertol – yang mengungkapkan bahawa Kerajaan akan ‘top-up’ jika tidak mencapai
angka yang dipersetujui.
Jika anda pemandu yang berhemah,
jangan cepat merasa seronok dengan pelaksanaan sistem AES, ini kerana jika kita
mengkaji ‘kejayaan’ nya merakam 63,558 imej kesalahan dalam tempoh 10 hari,
dengan hanya 14 kameranya, maka bayangkanlah jika kesemua 831 kamera yang
dicadangkan berkuatkuasa, maka kebarangkalian anda tidak terkena ‘saman’
melalui sistem AES adalah sangat tipis.
Hal ini menjadi sangat mungkin
kerana kekurangan sistem peringatan dan papan tanda serta penurunan had laju
pada keadaan yang tidak disangka, misalnya jika daripada lebuhraya ke jalan
biasa, seperti yang dilakukan di Jalan Puchong – Kajang berhampiran stesen
minyak Shell.
Mungkin saya bakal dilabel
sebagai tidak prihatin dengan soal keselamatan jalan raya kerana tidak
menyokong sistem AES ini, sekurang-kurangnya itulah yang diungkapkan oleh
Menteri yang bertanggungjawab terhadap implementasi sistem AES ini.
Dengan pengenalan sistem AES,
anda mungkin akan ‘menjadi’ salah seorang yang bergraduasi bersamanya. Mungkin selepas ini pihak yang menjaga
statsitik rekod di Malaysia boleh memasukan satu lagi kategori yang boleh
dibanggakan – ‘rekod paling banyak dirakam oleh kamera sistem AES’, selamat
mencuba, mungkin anda pemenangnya!
Ulasan