KEMBALINYA RAJA PERCINTAAN: YASH CHOPRA
Saya bukanlah peminat tegar
filem-filem Hindustan, namun ketika menonton cerekarama ‘Ajaibnya
Cinta’ yang dicalonkan untuk Anugerah Skrin 2012 pada malam Ahad yang
lepas, saya terpanggil untuk bernostalgia tentang filem Hindustan. Apa tidaknya drama arahan Erma Fatimah ini
menyelitkan lagu-lagu nostalgik daripada filem-filem Hindustan yang popular di
era 70an dan 80an.
Pagi tadi ketika ke tempat kerja,
ada pula berita mengenai kematian pembikin filem Bollywood terkenal, Yash
Chopra yang meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Filem Hindustan dan orang Melayu memang sukar dipisahkan, tanyalah
mana-mana generasi yang lahir pada tahun 50an, 60an dan 70an tentu nostalgia
filem-filem Bollywood membesar bersama mereka.
Sasterawan Negara, A. Samad Said misalnya meminati aktres filem Hindustan zaman 50an, seperti Madhubala, Munawar Sultan, dan Suraiyaa seperti yang diungkapkan lewat novel sulongnya Salina. Begitu juga watak sampingan Munawar Bee yang disamakan kecantikkannya dengan aktres Zeenat Aman dalam novel Hujan Pagi.
Sasterawan Negara, A. Samad Said misalnya meminati aktres filem Hindustan zaman 50an, seperti Madhubala, Munawar Sultan, dan Suraiyaa seperti yang diungkapkan lewat novel sulongnya Salina. Begitu juga watak sampingan Munawar Bee yang disamakan kecantikkannya dengan aktres Zeenat Aman dalam novel Hujan Pagi.
Saya juga tidak terkecuali,
misalnya ketika kecil, saya menonton filem ‘Bobby’
pada usia 11 tahun, dan selepas itu senarai tontonan filem Hindustan menjadi
semakin panjang.
![]() |
Yash Chopra ketika ditemuramah dalam program khas mengenang penglibatan beliau dalam industri perfileman Bollywood oleh bintang yang dilahirkannya - Shah Rukh Khan pada 27 September 2012 |
Ada pula pada satu ketika saya
menginap di wad hospital, kerana desakan menonton filem Hindustan yang begitu
meruntun dan ditambah pula tayangan terakhirnya di pawagam pekan tempat tinggal
saya, saya mengambil keputusan untuk berjalan keluar daripada wad dengan
memberikan alasan ‘ambil angin’ dan menonton tayangan akhirnya di pawagam tidak
jauh daripada hospital saya dirawat.
Seingat saya filem tersebut adalah sebuah filem cinta yang popular
sekitar tahun 1980, berjudul Qurbani.
Yash Chopra adalah nama besar
filem Bollywood, memulakan karier perfilemannya pada tahun 1959 dengan filem
arahan pertama Dhool Ka Phool, dan
memenangi anugerah Pengarah Terbaik melalui filem Waqt (1965), memenanginya melalui filem Ittefaq (1969), Daag
(1973), dan Deewar (1975). Selain itu filem-filemnya juga memenangi
Anugerah Filem Terbaik melalui Lamhe
(1991), Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995), Dil To Pagal Hai (1997), dan Veer-Zaara
(2004).
Sebagai pembikin
filem, Yash Chopra adalah seorang yang sangat komited dengan bidangnya sehingga
dipilih oleh British Film Institute untuk
diabadikan di dalam buku tulisan Rachel Dwyer
dalam siri ‘Pengarah Dunia’. Buku ini adalah mengenai lima dekad penglibatan cemerlang Yash Chopra dalam dunia
perfileman.
Selain itu, Yash Chopra juga dinobatkan
sebagai Asian Filmmaker of The Year
pada tahun 2009 di Festival Filem Antarabangsa Pusan, Korea, selain
dianugerahkan Legion of Honour,
anugerah tertinggi Awam Peranchis. British Academy of Film and
Television Arts (BAFTA)
juga menganugerahkan keahlian seumur hidup kepada Yash Chopra, yang pertama
kepada warga India dalam tempoh 59 tahun penubuhannya.
Yash Chopra adalah juga pengarah yang melahirkan bintang-bintang filem Bollywood misalnya, Amitabh Bachan, Shah
Rukh Khan di samping ratusan warga kerja perfileman di seluruh India. Yash Chopra meninggalkan legasi pengarahannya
melalui anaknya, Aditya Chopra yang terkenal dengan filem-filem yang meruntun
jiwa antaranya Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995), dan Mohabbatein
(2000).
Sebagai seorang
pembikin filem tulin, Yash Chopra masih membuat kerja-kerja perfileman sehingga ke saat akhir hayatnya,
antaranya mengarahkan buah tangan terakhirnya Jab Tak Hai
Jaan (2012) yang dijangka diedarkan pada bulan November
nanti.
Yash Chopra yang
mendapat jolokan ‘King of Romance’ kerana filem-filem percintaannya yang
hebat dan menambat hati daripada pemilihan pelakon, jalan cerita dan lokasi
penggambarannya di luar negara, khususnya di Switzerland meninggal dunia kerana
demam denggi dan kegagalan fungsi buah pinggangnya pada usia 80 tahun pada Ahad
yang lepas beberapa minggu meraikan ulangtahun kelahirannya pada 27 September
yang lalu. Ironinya beliau ditemuramah
secara langsung oleh bintang yang dilahirkannya – Shah Rukh Khan sebagai satu
penghormatan pada ulangtahunnya yang kedelapan puluh.
Sesungguhnya Yash
Chopra adalah legasi perfileman India, seperti yang diungkapkan dengan mesra
oleh pelakon terkenal Amitabh Bachan yang mengenali beliau selama 44 tahun, “Yash Ji, your contribution to the millions
that had the privilege to witness your creativity shall be immortal … may
we all savour it till our end …”
Selamat bersemadi, Yash Ji!
Ulasan